You are here
Home > Sastera > Roy, Kamu ni Sakit ..!

Roy, Kamu ni Sakit ..!

Nama siswa tu Roy. Itu bukan nama sebenar dia. Itu nama sempena masuk universiti. Nama diberi senior kolej. Biasanya tentu ada sebab, ada pasal kenapa senior beri nama tu. Bukan tak tentu pasal beri nama student baru, dalamnya ada rasa keibubapaan. Masa nak menamakan dia Jawatan Kuasa Tertinggi Pelajar Kolej bermesyuarat marathon bermalam-malaman, sampai pagi. Mencari nama yang cocok, nama yang padan dengannya. Akhirnya tercocoklah nama Roy. Baru le cocok!

Mahasiswa berasal dari Indera Kayangan ni lorat sikit orangnya. Tapi tak kolot. Loratnya macam ni, bila dia pakai baju dia suka tanya seniors baju yang dia pakai tu ok atau tak ok. Macam tu juga dengan seluar dia. Kasut yang dia pakai tu cocok ke tak cocok ke dengan pakaian dia. Semua senior dia tanya. Kalau ada, senior kata baju yang dia pakai tu ok, Roy akan tanya pulak kenapa ok. Begitu sebaliknya. Akhirnya semua senior meluat tengok mahasiswa Perlis ni.

Begitulah lorat si kawan kita Roy ni. Baju, seluar, kasut Danok Siam saja dah mahu bergaya macam itik pulang petang. Tapi baru-baru ni ada satu lagi yang buat kawan kita ni lorat sangat iaitu tentang namanya. Nama panggilan kat dia iaitu Roy tu… satu kampus dia jaja, dia kenalkan dirinya sebagai Roy. Kalau ada kawan kolej panggil dia Roy Keane, dia pasti sahut. Kalau panggil dia Mc. Clearoy pun dia menyahut. Dia suka. Suka sangat! Tapi kalau panggil nama IC-nya, Roy pandang pun tidak, apa lagi sahut. Alahai!  Mahasiswa ganteng dari Indera Kayangan.

Nama sebenarnya Bedun bin Bidin. Asal kampung Lubang Kelam Perlis. Agaknya sebab nama dia Bedun tu yang dia tak nak pakai. Dia tak suka. Sebab nama tu tak rock. Kalau nama Roy barulah rock. Ella yang sudah dua tahun jadi Presiden Majlis Tertinggi Kolej (MTK) pun melirik matanya melihat Roy bila dirinya disapa dengan nama Roy. Mesti begitu. Barulah semuanya kembang!

Satu hari Ella mahu berjumpa dengan Roy. Sukanya Roy! Al-maklum Presiden MTK tiba-tiba mahu buat temujanji dengannya. Lagi pun Cik Presiden ni bukan saja cantik tapi sangat ayu. Ayunya sampai kaum sejenis Roy boleh langgar tiang Dewan Makan Kolej kerana terpukau memandang kejelitaan Ella. Itulah  penangan turunan puteri Melayu campur Panjab India.

Roy pun sama jugak, turunan Melayu campur Siam perut hijau. Masa nak keluar bilik nak jumpa Cik Presiden, Roy langgar daun pintu, di pintu yang tertutup. Dia sangka daun pintu dah terbuka. Bergolek-golek jatuh dalam bilik, baju Danok Siam Roy tersagat dek lantai bilik yang dah satu semester tak bersapu.

Alahai Roy!

Ketika berjalan dalam Bilik Mesyuarat MTK kerana nak jumpa Cik Presiden, entah berapa kali Roy tersepak kaki kerusi dan kaki meja bilik tu. Itulah Roy kita. Lorat!

“Kenapa warga kolej panggil kamu Roy?” Ella bertanya.

“Saya tidak tahu?” Roy menjawab.

“Kamu tidak gemuk dan perut kamu tidak pun boroi. Tapi dia orang tetap panggil kamu Roy. Mengapa ye?” bersuara lagi Ella bertanya.

“Tak dapet le den nak jawap, sobab MTK yang bori,” Roy speaking negori.

“Apa nama kamu sebenar Roy?” Ella bertanya.

“Cukuplah you tahu I dengan nama Roy saja,” jawab Roy

“Nama ic taklah secantik nama yang MTK beri. Tapi cantik ke tak cantik ke, yang pasti tuan tubuh tu handsem dan ganteng!” Ella memuji.

“Iye ke?” Roy bertanya bersama matanya yang terbeliak merenyam.

“Iye betul!” Ella macam berterus terang.

Roy punya seronok dipuji. Lantas dia bangun dari kerusi duduknya lalu menari Banggali. Berpusing-pusing dia menari  macam Banggali mabuk susu. Itulah Roy, bukan saja lorat tapi juga keloloh! Perasan! Orang Utara kata orang macam ni macam orang tak cukup seringgit.

Ella senyum.

“Roy, kamu dah ada kekasih?” Ella bertanya.

“Belum!”

“Kenapa belum?”

“Saya nak ke orang. Tapi tak sorang pun suka pada saya!” Roy jawab.

“Nanti saya beri sebabnya,” Ella memberitahu.

“Besss..!” Kata Roy terkulat-kulat.

“Roy. Kamu mahu tahu kenapa kami memanggil kamu Roy?” Ella bertanya.

“Mahu sangat,” jawab Roy.

“Kami panggil kamu Roy adalah akhiran kata pada CEROI. Ceroi ni lembut, tidak kuat. Bukan kerana kamu ni pondan tapi kerana kamu selalu memberi macam-macam alasan bila diminta memberi sumbangan sukarela pada Kolej atau pada aktiviti MTK. Akhirnya kamu kami lihat orang yang penting diri sendiri, tak nak susah-susah hal orang lain dan hal kolej,” Ella menjelaskan.

Terkejut badak hippo si Roy.

“Alasan menyebabkan fikiran dan pendirian kamu tidak tegap, Kerana tidak tegap itulah pendirian itu menjadi longgar, menjadi ceroi! Kerana banyak sangat alasan kamu.

“Macam santan ceroi, buat nasi lemak tak akan sedap. Santan ceroi buat kari tentu tak ada uummpph. Santan ceroi buat dodol tentu beri malu orang Melaka saja. Ceroi bermakna juga lembut. Kalau buat simen bina Menara Berkembar Petronas tentu runtuh bangunan itu kerana simen itu lembut. Jambatan Ke Dua di Pulau Pinang juga runtuh, samalah dengan Highway Trans Borneo. Mendap dia, tak boleh guna. Kasihan kamu Roy kerana banyak sangat alasan dalam hidup kamu,”

Roy terpukau mendengar. Tak percaya dia, yang dia itu begitu.

Roy memanggil kembali kisah dan riwayat hidupnya di Kolej. Dia cuba ingat satu persatu…

Satu masa tu, seorang siswi bernama Cassandra. Turunan Orang Asli jati dari clan Senoi, berkulit hitam, berambut kerinting halus, meminta Roy tolong dia mengangkat begnya karana banyak barang yang nak dibawanya. Roy kata lusa saja sebab sekarang dia tak senang.

Bila Roy kenang-kenangkan, memang betullah kata Ella. Hal gotong royong di kolej dia tak pernah kesah. Ada saja alasan yang diberi bila MTK bertanya. Macam tu juga dengan Hari Terbuka Kolej, tak mau Roy nolong, macam-macam alasan diberinya.

“Roy, kamu ni sakit. Sakit alasan..!” Kata Ella memberitahu.


“Excuses are the nails used to build a house of failure.” Don Wilder.

“Ninety-nine percent of failures come from people who have the habit of making excuses.” G. Washington Caver.

“Hanya aku sendiri, bukan orang lain, yang paling bertanggungjawab atas kekalahanku. Musuh terbesarku adalah diriku sendiri.” Napoleon Bonaparte (Pulau St. Helena).

“Setiap kerusakan dan kekurangan yang melekati atau mengubah kemuliaan dan keagungan fitrah merupakan keburukan yang mesti dihilangkan, bukan untuk diketahui atau dibiarkan sahaja. Manusia dan seluruh semesta mesti berjalan di atas pola dan ketetapan ini.” Syeikh Muhammad Al-Ghazali.

“Kita dapat menyerahkan tanggungjawab kita kepada orang lain, tetapi kita tidak dapat menyerahkan budi bicara kita yang terkandung di dalamnya,” Benvenuto Cellini.

“Gunung Bentan gilang gemilang, Air laut tenang-tenangan; Budi sedikit tak ‘kan hilang, Itu menjadi kenang-kenang,” Pantun Melayu.

 

Leave a Reply

Top