You are here
Home > Serius > Bila Sultan Mizan bertanding…

Bila Sultan Mizan bertanding…

Bila Sultan Mizan Zainal Abidin mengambil bahagian dalam Sukan Sea ke-29, satu pertanda dalam dunia permikiran tercipta. Penulis tidak mempunyai rekod tentang  adanya Sultan-Sultan Negeri Melayu yang bertanding dalam acara individu dalam temasya sukan peringkat antarabangsa yang sebesar ini, sebelum ini. Mungkin ada atau sebaliknya.

Sultan Mizan telah bertanding dalam acara individu ekuestrian endurance. Baginda mencatat masa 3 jam 48 minit 38 saat sekali gus memenangi pingat emas untuk negara. Baginda secara solo telah menghadiahkan sebutir pingat emas untuk rakyat Malaysia.

Baginda Sultan Mizan telah mencemar duli dengan mengambil bahagian dalam sukan yang digemari baginda. Raja-Raja Melayu telah biasa sangat mencemar duli. Raja dan rakyat berpisah tiada! Demikian Raja dengan rakyat.

Tapi mencemar duli oleh Sultan Mizan ini luar biasa. Baginda mencemar duli dalam satu pertandingan yang disertai oleh peserta peserta lain di bawah satu peraturan yang sama dan terpakai untuk semua peserta termasuk Baginda sendiri. Sesiapa pun boleh bertanding atau mengambil bahagian asal cukup syarat dan warga Asean.

Bayangkan jika seseorang peserta melanggar peraturan pertandingan maka peserta itu dibatalkan penyertaannya. Hal ini tidak terkecuali kepada Baginda. Bayangkan jika Baginda terlanggar peraturan maka tentulah baginda terhukum, kerana aturan itu begitu. Baginda tahu hal aturan ini, sebelum bersetuju untuk bertanding lagi. Namun baginda sanggup dan mahu. Kesanggupan Baginda inilah menjadikan rakyat kagum. Inilah kisah mencemar duli yang tulin dan sejati.

Pertandingan bermaksud tiada pilih kasih, tiada berat sebelah walau pun bermain di negara sendiri, tiada tumbuk-tumbuk rusuk, tiada beri peluang atau sebagainya yang bersifat mendahulukan Baginda. Semuanya profesional.

Bukan sahaja hal mencemar duli yang tulen dan sejati itu sahaja, rakyat mesti melihat jauh kedalam dari semata hal itu. Hal pemikiran yang mendasari  kepada mencemar duli yang tulen dan sejati ini. Itu yang patut dilihat.

Ya, Kita sedang berbicara mengenai hak dan kewajipan. Dalam kehidupan di dunia ini setiap manusia sihat punya kewajipan dan haknya. Seseorang yang sangat tua, dia mempuyai hak untuk ditolong atau diberi ubat tapi dia tidak punya tanggungjawabnya. Kerana dia tidak bertenaga lagi. Demikian juga bayi yang baru lahir, dia punya hak untuk makan minum, hak untuk hidup, namun dia tidak punya tanggugjawab. Seorang kakitangan kerajaan mempunyai kewajipan untuk membahagiakan rakyat dan mempunyai haknya seperti termaktub dalam peraturan.

Bagaimana pula Sultan Mizan yang bertanding dalam Sukan Sea ke 29. Baginda dalam hidupnya sentiasa mempunyai kewajipan dan hak. Hak baginda ialah hak baginda kerana baginda ialah baginda. Baginda mempunyai kewajipan dan sentiasa melaksanakan kewajipan baginda. Kewajipan yang dilaksanakan Baginda selalu berprotokol bagi memudahkan pergerakkan, keselamatan, keutamaan kepada  Baginda.

Tapi bila mengambil bahagian di Sukan Sea, Baginda memenuhi satu kewajipan sebagai warga negara Malaysia. Tiada lagi protokol di dalam tanggungjawab ini. Inilah Sultan Mizan! Baginda mencetuskan fikiran besar untuk kita mengerti tentang hak dan tanggugjawab seseorang insan. Rasa bebas dan merdeka telah menyelinap keseluruh tubuhnya dan kerana itu Baginda adalah insan yang mengenali jatidirinya. Syabas dan tahniah Tuanku!

Leave a Reply

Top