You are here
Home > Sastera > XPDC Lebir – 2 – Lembah Sungai Lebir

XPDC Lebir – 2 – Lembah Sungai Lebir

“Encik kita ni sedang nak bercerita mengenai hasil perjumpaannya dengan Profesor Dr. Khoo Kay Kim,” Sani pantas mematikan jalan bicara rakannya. Memang Sani begitu sejak akhir-akhir ini, mengurangkan kelakar-kelakar kosong kerana dia sedang kuat belajar bagi mendahulukan pemikiran akademik dari yang lain.

“Waktu perjumpaan itu saya bersama Nik pengarah, dialah yang banyak bertanya dan berbincang,” aku memulakan dengan agak cepat kerana bersetuju dengan cara fikir Sani yang mahu mematikan usik mengusik terhadap Meng Soo sebentar tadi, aku menyambung lagi..

“Mengikut profesor idola kamu itu, ada pedagang tidak mahu memilih jalan laut kerana Laut China Selatan pada waktu itu dipenuhi dengan lanun. Bagi mengelakkan dari dilanun maka mereka memilih jalan darat yang lebih selamat. Dengan demikian wujudlah jalan perdagangan darat itu, dan terbinalah beberapa penempatan di Hulu Lebir,” jelasku sepertimana yang disampaikan oleh pakar Sejarah Malaysia itu.

“Pada saya encik, gulungan pedagang dan peniaga ni adalah gulungan paling kreatif dan sangat berani. Di rimba Lembah Lebir juga ada lanun, cuma namanya penyamun. Tapi kerana keberanian mereka jalan perniagaan darat dari Teluk Siam dan Laut China Selatan dengan Melaka telah mereka bina,” Sani memberi reaksi sejarahnya sambil memandang pada siswi penolongnya.

“Setuju Sani, kamu memang pandai mengulas. Tentu ada lagi ulasan lanjutan yang lebih menarik,” Meng Soo memuji Sani semacam tidak mahu lagi permainan usik mengusik antaranya dengan Sani berlanjutan.

“Saya pernah terbaca satu artikel tulisan profesor itu yang menyatakan bahawa mengikut catatan Siam terdapat satu yang boleh dipanggil tamaddun di lembah Sungai Lebir ekoran dari adanya jalan perniagaan darat dengan kerajaan Melaka. Artikel itu diberi Nik pada saya,” kataku memberitahu keduanya.

“Ooo… jadi dari tulisan itulah encik dan abang Nik mengajak kami berekspedisi ke sana tu,” Meng Soo bertanya dengan penuh minat.

“Sebenarnya Nik yang sangat berminat, saya ni hanya membantu dia dan menemani minatnya itu,” jawabku mahu mengukuhkan keyakinan mereka terhadap kebolehan Nik memimpin ekspedisi ini.

“Artikel itulah yang menyebabkan kami berjumpa dengan profesor itu di pejabatnya di Jabatan Sejarah Universiti Malaya. Menurut beliau, dia yakin ujudnya jalan perdagangan itu dan boleh jadi masih ada kesan-kesan penempatan di hulu sungai tersebut sebagai tempat hentian para pedagang dahulu yang berulang alik ke Melaka,” kataku menambah.

Kedua-dua mahasiswa itu mengangguk-ngangguk mendengar dengan teliti, aku meneruskan…

“Profesor itu juga menyebut ada satu catitan lama dalam Sejarah Pahang menyatakan pedagang menggunakan Sungai Pahang dari arah Kelantan dan terus ke Sungai Bera dan kemudian ke Sungai Muar,” kataku dengan harapan mereka dapat menggambarkan di minda mereka dengan jelas mengenai sungai-sungai berkenaan di Semenanjung Tanah Melayu ini, agar pemahaman ekspedisi ini nanti menjadi jelas pada mereka.

“Apa lagi yang dikata oleh pensyarah idola saya tu, encik?” Sani bertanya.

“Wah Sani, sejak bila pulak ahli akademik menjadi idola kamu, ni? Kalau tidak idola kamu orang-orang politik saja,” bertanya Meng Soo seperti hairan dengan perubahan pemikiran mendadak Sani.

“Sejak ahli-ahli politik memperlihatkan tafsiran mereka yang politik itu adalah ilmu serba mungkin, bukan ilmu bagi satu pegangan,” jawab Sani selamba dengan pandangannya masih tetap padaku sebagai tanda menanti jawapanku terhadap soalannya.

“Haa, ada sepekara lagi, Professor tu hairan kenapa kita yang yang bukan mahasiswa sejarah berminat dengan hal Lebir ini,” jawabku.

“Apa jawapan encik pada pensyarah itu?” tanya Meng Soo ingin tahu.

“Nik yang menjawab, kata Nik sejarah negara adalah milik semua rakyat Malaysia bukan milik mahasiswa sejarah saja,” aku memberitahu jawapan yang diberi oleh Nik.

“Wah., ganas juga jawapan pengarah kita tu, Soo banggalah dengan abang Nik kita!” kata Meng Soo suka.

“Mestilah bangga dengan abang Nik dia tu! Sepatutnya abang Nik kamu tu menjadi mahasiswa International Relation, bukannya jurusan seperti kita ni,” Sani memberi komennya sambil memandang dengan sengih pada Meng Soo.

“Ini yang menjadikan rindu saya bertambah kuat kat pengarah kita ni, lambatnya nak berjumpa dia..!”  kata Meng Soo dengan nada yang bergurau.

“Ahaaa, tadi kamu kata abang Nik kamu tu lurus macam kayu tak berukir, sekarang dah lain pulak. Kalau dah selalu memuja rambulan di langit, kata-kata oleh si pemujanya selalu menjadi sukar kita nak faham,” kata Sani mahu bergurau dengan Meng Soo lagi.

Meng Soo tersipu-sipu malu. Wajahnya kemerahan kerana tanda tidak mampu menyimpan apa pun rasa yang ada dalam hati gadisnya.

“Jangan kata begitu, Sani. Nanti kekasih abang Nik marah,” kata Meng Soo seperti mahu menghindar diri dari makna kata-kata Sani tadi.

“Apa? Abang Nik kamu ada kekasih? alaaaahai! Betapa akan mogoknya semua beruk kelapa di negara kita Malaysia selama setahun tak mahu memanjat kelapa lagi tau, kalau beruk-beruk tu tahu yang abang Nik tu telah punya kekasih!” bersungguh Sani bercakap mengenai sahabatnya itu memberitahu pada Meng Soo yang rakannya Nik, setahunya belum pun punya kekasih.

Sebuah senyum kecil terukir dibibir Soo yang mongil. Lesung pipitnya terserlah di kedua belah pipinya. Putih kuning wajahnya menjadi kemerahan pula.

Keretapi dari Singapura telah pun sampai. Kerja-kerja pertukaran koc katanya akan mengambil masa dua puluh minit. Setelah menunggu sekian lama akhirnya kami berada dalam keretapi yang sedang menuju ke pantai timur. Hentian pertama ekspedisi kami nanti ialah Gua Musang, sebuah bandar di daerah selatan Kelantan.

 

Leave a Reply

Top