Roy buat lagi! Berdemonstrasi lagi. Kali ini di UKM, di dalam kampus. Kehadiran Roy atas jemputan Jawatan Kuasa Demo Mahasiswa universiti berkenaan. Bukan saja mahasiswa universiti Roy dijemput, mahasiswa semua universiti di Lembah Kelang telah dijemput sama. Kalau semua mahasiswa universiti itu hadir, mahu tenggelam kampus UKM tu.
Demo kali ini Roy hadir sebagai seorang pejuang, kerana Roy yang menganggap dirinya pejuang. Roy pejuang yang meminta Akta Universiti dihapuskan. Dihapuskan Akta itu kerana Akta itu tidak membenarkan pelajar menganjurkan apa-apa aktiviti. Ini menjadikan pelajar dungu, tolol dan bodoh sosial. Kesannya mahasiswa pun bersungut-sungut kerana tidak laku di pasaran kerja, oleh sebab itu perangai dan fikir mereka bertukar bagai gaya orang gasar.
Hari tu Roy mengikat kepalanya dengan kain putih. Di kain putih itu di tengah-tengahnya tanda bulat berwarna merah. Ketika mengikat kain putih itu, bulatan merah berada bertentangan dengan dahinya. Dan kelihatanlah Roy macam Ronin yang tebal semangat samurainya. Dengan tidak berbaju dan di bawah pancaran mentari terpacak di kepala, Roy bertempik memarahi kerajaan kerana mengimplimantasikan Akta Universiti sejak tahun 1971 dulu lagi.
Roy, Roy! Kalaulah bapa kamu lihat kamu ni begini, mahu dia sunat sekali lagi. Sebab sunat yang dulu tu sikit saja, pendek. Kalau sunat kali ni biar sunat betul-betul. Biar sampai kamu terkentut-kentut kerana sunat yang betul itu. Barulah Roy menjadi mahasiswa yang betul-betul.
Menjerit melolonglah Roy di tengah panas matahari tu. Roy diberi pembesar suara untuk dia bercakap bagi membangkitkan semangat kawan-kawan yang lain supaya terus berjuang. Bagaikan orang dahaga diberi tembikai, Roy baham cukup-cukup pembesar suara tu. Roy godam sungguh-sungguh dengan pembesar suara tu. Pada Roy nanti biar satu kampus dapat mendengar suaranya. Biar terbakar kampus yang dibina Tun Razak dan Datok Harun itu.
Sebermula Roy pun memulakan pidato demonya dengan suara perlahan tapi jelas dan tegap tutur katanya. Roy memberi kata aluan selamat datang dan selamat berjuang kepada saudara mahasiswanya.
“Sesiapa yang berada di bawah matahari terik ketika ini bersama dengan saya berjuang mengutuk akta, maka mereka adalah saudara-saudara seperjuangan saya,” tempit Roy meniru kata-kata Cegubara.
“LIhat saudara saudara, kegagahan kita berpanas bermandi peluh ini menunjukkan perjuangan kita bukan perjuangan anak kecil yang berhenti menangis kerana diberi ais krim. Perjuangan kita adalah perjuangan yang bermatlamat. Matlamat kita adalah untuk menjadi mahasiswa merdeka yang tidak di belenggu oleh akta yang menyerupai lanun bermata sebelah,”
Roy mendapat tepukan gemuruh dari para anggota demo tengahari tu. Ramai peserta demo tertanya-tanya siapa yang berpidato itu, kerana bukan saja dia dapat menyampaikan makna dan tujuan berdemo dengan kata-kata besar tetapi dapat menyentuh hati dan rasa perjuangan pendemo. Sehingga para siswi pendemo yang berada di sebelah kiri pentas turut mengangkat tangan melambai memberi ucapan syabas terhadap kebolehan Roy berpidato. Roy seperti biasa, jika siswi yang memuji, Roy akan tersenyum-senyum sambil melambai tangan dan mengucup telapak tangannya, kemudian memberikan kucupan terbang pada siswi yang memujinya. Roy terasa macam hero yang baru saja mengalahkan satu ketumbukan kereta kebal musuh.
Tiba-tiba tekak terasa sesak, matanya disambar pedih yang sangat-sangat dan seluruh kawasan telah dipenuhi asap putih. Seluruh kawasan demo telah tenggelam dek asap putih yang memedihkan. Tahulah Roy bahawa mahasiswa yang sedang berdemo telah diserang dengan Gas Pemedih Mata. Dan lintang pukanglah para pendemo lari menyelamatkan diri dari serangan asap yang memedihkan mata itu. Roy turut sama lintang pukang malah Roy mendahului yang lain lari menyelamatkan diri.
Roy sampai di sebuah warung di hujung kampus. Roy mampir sekejab di warung berkenaan lalu memesan milo ais. Tiba-tiba dia disapa dari belakang..
“Hello Brader! Tahniah kerana berdemo dan tahniah juga kerana punya kebolehan berpidato yang luar biasa,” sapa satu suara.
Belum sempat Roy memberi apa-apa reaksi, siswi berkenaan terus menghulur tangan dan memperkenalkan dirinya..
“Saya anak Mami Jarum dari Pulau Mutiara. Mami saya menamakan saya Ellyn Chombi Meerican. Panggil saja Chombi. Saya mahasiswi undang-undang UKM tahun dua.
“Hooo…hang orang Utara ropanya no, sekapai la kita! Saya Roy,” Roy menjawab sambil bangun dan menggenggam erat tangan siswi itu.
“Mengapa kamu berdemonstrasi, Roy?” Chombi bertanya terus.
“Minum dulu Chom, nanti kita sembang sampai pagi..,” tersenyum saja Roy menjawab.
Selepas menengok tiga empat kali untuk menghilangkan dahaga, Roy pun berkata..
“Saya berdemo kerana Kementerian Pendidikan tidak mau memansuhkan Akta Universiti. Akta ini menyebabkan para graduan menjadi seperti orang gasar,” jawab Roy.
“Apa yang kamu faham dengan makna perkataan gasar?” Chombi bertanya.
“Orang yang tidak bertamaddun atau barbarian.” Roy menjawab.
“Apa kamu dan saya ini orang gasar?” Chombi menyoal serius.
“Tidak le, kita berbudaya bertamaddun!” Roy jawab mengendur.
“Kamu telah bermesyuarat atau berbincang dengan kementerian hal ini,” Chombi mahu tahu.
“Setahu saya tidak pun, menghantar memorendom pun tidak, Saya pasti itu, kerana saya telah menyemak hal itu dengan urusetia,” Roy menjawab.
“Kamu bagus kerana menyemak sebelum bertindak…, Chombi memuji, “Tapi kenapa kamu lakukan juga?” Roy diam. Terasa kata-kata Chombi telah mengepung mindanya.
“Apa demo tu ada memohon dari Pihak Berkuasa Universiti bagi mendapat kebenaran berdemo,” Chombi bertanya lagi.
“Mereka tak minta!” Roy menjawab.
“Ertinya kamu meyertai perhimpunan haram. Salah tu, dan boleh bawa ke mahkamah universiti,” Chombi memberitahu.
Roy terdiam. Jauh di hatinya mula terasa macam bersalah terhadap ilmu.
“Begini Roy, saya bukan mahu bercerita hal itu, saya mahu kamu faham satu perkara lain, iaitu anti intelektual. Maksud saya demo ialah anti kepada ilmu,” Chombi mula mahu menyampai maksud sebenar pertemuan mereka.
“Teruskan, aku ingin mendengarnya,” Roy meminta, memang begitu sifat Roy. Sifatnya yang selalu senang dengan ilmu.
“Akal kita ini untuk menghazam ilmu Tuhan. Lalu kita ke universiti untuk mengasah akal dan menguasai ilmu. Tapi bila kita berdemo maka itu bermakna akal sengaja kita matikan supaya tidak berfungsi. Kerana akal dimatikan maka ilmu segera surut pergi dan alam intelektual pun tertutup. Lalu makna apa lagi yang tinggal kepada mahasiswa. Kosong!” Panjang Chombi menghurai.
Menung sungguh Roy. Terasa sangat kosong dirinya dalam berfikir tentang apa yang ada di papan tulis di sebalik kehidupan mahasiswa.
“Akhirnya siapa yang sebenar mencipta mahasiswa gasar atau graduan gasar? Kita sendiri kan!” Chombi menutup hujahnya lalu minta diri untuk pergi.
Roy termangu.
“If you think you are rich, there are many who are richer than you. If you think you clever, there are more people cleverer than you. But if you think you are honest, than you are among the few and in this instance, it is best to be among the fewer,” Tunku Abdul Rahman.
“Talk dosen’t cook rice,” Perpatah China.
“Complain to one who can help you,” Perpatah Serbia.
“Pinjam saya pisau raut, Hendak meraut bingkai tudung; Gila apakah ikan di laut, Melihat umpan di kaki gunung,” Pantun Melayu.
“Lidah siapa yang manis bermadu dulu, Mungkir janji, Wajah siapa terbayang seribu rupa, Meragut kalbu,” Mimpi Yang Pulang-IKLIM
“Kekuasaan yang baru adalah kemampuan menyesuaikan diri, mengambil tanggungjawab, mempunyai wawasan bersama, memberi kekuasaan pada orang lain, merunding hasil yang berjaya, memengang pengendalian atas perilaku dan kehidupan anda. Pengetahuan adalah kekuasaan. Pernyataan ini harus dipanjangkan di pejabat, di kilang, di sekolah dan di mana-mana,” Denis Waitley.
“Alangkah jarangnya kita memikirkam apa yang kita miliki dan alangkah seringnya kita memikirkan apa yang tidak kita miliki,” Schopenhauer.
“Nak mengaji ilmu senang. Nak mengaji adab sangat susah,” Ustaz Shamsuri Ahmad.
“Apakah ertinya ilmu tanpa kebenaran dan kejujuran,” Sheikh Qadir al-Jailani.
Apa yang memicu aksi yang dilakukan para mahasiswa?