You are here
Home > Sastera > JAJA Pendekar Melaka – Bab 18

JAJA Pendekar Melaka – Bab 18

Pagi berikutnya Jaja dan rakan-rakannya meneruskan perjalanan menuju Melaka. Menurut beberapa penduduk yang ditanya, mereka boleh sampai di Melaka dalam masa empat atau lima hari perjalanan.

Semasa perjalanan itu Jaja terfikir-fikir mengenai apa yang didengarnya malam tadi. Terkedu Jaja mendengar betapa liciknya siasat perang Patih Majapahit, seolah-olah jika terjadi siasat itu Melaka tidak mungkin boleh hidup.

Jaja teringat nama-nama negeri yang disebutkan oleh mata-mata Majapahit itu. Jaja tidak pernah mendengarnya seperti Rokan, Inderagiri, Ligor, Palawan dan lain-lain.

“Besar dan luas Nusantara ini rupanya,” bisik Jaja pada dirinya.

Jaja terfikir kenapa sesaorang seperti pemilik warung itu sanggup menjadi mata-mata Majapahit. Sedangkan dia orang Melaka dan mencari makan di bumi Melaka. Keamanan Melaka membolehkan dia berniaga dan mengambil untung lagi. Kenapa dia jadi begitu, menjadi mata-mata pihak musuh?

Jika begitu apa tanggungjawab rakyat pada raja, pada negeri. Raja pula tentu ada tanggungjawab baginda pada rakyat tapi sampai mana tanggungjawab itu. Bagaimana pula rakyat di negara yang dijajah, kesetiaan mereka pada siapa?” Jaja terus saja berfikir.

“Paduka RajaTun Perak tentu boleh menjawab hal ini.” Jaja berfikir.

Tiba-tiba Buyong mengajukan soalan.

“Abang Jaja, kenapa pada pagi ini tidak segembira semalam. Tentu ada sesuatu yang abang sedang fikirkan,” bertanya Buyong.

“Bijak kamu menelah, aku sedang berfikir makna negeri. Aku hanyut dalam fikiranku itu. Apa dia yang bernama negeri, maksudku apakah bagian-bagian yang membentuk sehingga sesuatu tempat itu boleh disebut sebagai negeri,” Jaja memberitahu rupa yang membelenggu fikirnya. Jaja menyambung lagi..

“Apa tanggungjawab rakyat pada negeri dan pada raja. Apa pula tanggungjawab negeri dan raja pada rakyat?”

Lama juga Buyong mengambil masa untuk menjawab Jaja.

“Saya fikir mata sastera saya kelamlah abang Jaja. Saya tak mampu menjawab,” jawab Buyong sedih.

“Soalan abang tu sangat penting untuk dijawab. Pengertian terhadap perkara itu akan membuatkan kita lebih faham dan lebih sayang kepada Melaka ini,” tambah Buyong.

“Kalau begitu, ini adalah soalan cepu emas kepada adik guruku. Bendahara Tun Perak, kami datang!” Jaja meninggikan suaranya memberitahu Buyong.

Tiba-tiba kedengaran kaki kuda berlari pantas di belakang mereka. Kuda itu memintas mereka yang sedang berjalan. Penunggang bersama kudanya berlari pantas mendahului mereka, dijarak sepelaung penunggang kuda itu memberhentikan kudanya. Penunggang memalingkan kudanya menghadap Jaja dan rakan-rakannya. Penunggang kuda itu pun memandang  mereka tanpa apa-apa gerakan, memandang dan merenung mereka.

“Abang Jaja, penunggang kuda itu seperti pendekar berpakaian serba putih di warung makan malam tadi,” kata Lati memberitahu.

“Saya rasa begitu juga Abang Jaja,” Tiar, abang Lati memperkuatkan kata adiknya.

Sejurus kemudian, penunggang kuda itu memusingkan kudanya dan terus memecut meneruskan perjalanannya. Sebaik saja kudanya memecut penunggangnya sempat berpaling sekejap melihat mereka dan kemudian meneruskan perjalanan.

“Betul katamu Tiar. Si penunggang kuda itu ialah pendekar berpakaian putih yang berkelahi dengan para pendekar mabuk di warung malam tadi. Kalau dia ada keperluan dengan kita tentu dia menengur dan menemui kita. Tapi tidak begitu nampaknya,” kata Jaja.

Mereka meneruskan perjalanan, pekan tempat mereka bermalam telah mereka tinggalkan dan kini mereka tiba di hujung sawah dan sekejab lagi mereka akan meredah hutan untuk mendapatkan Sungai Muar. Mereka berharap dapat menumpang sampan atau perahu yang akan membawa mereka ke satu tempat bagi mereka meneruskan perjalanan untuk ke sungai Melaka. Dari situlah mereka akan menghilir ke muara langsung ke Melaka.

Mereka berhenti seketika di sebuah anak sungai melepaskan rasa penat perjalanan. Mereka bermain-main air di anak sungai berkenaan bagi menyejukkan badan.

“Abang Jaja, di sini nampaknya banyak burung punai dan merbah sedang makan buah remuyu dan keriang. Mari kita jerat untuk makan kita,” Lati mengajak.

“Abang Tiar sangat pandai memanjat pokok, tentu saja dia boleh meletakkan getah getah jerat di dahan dan ranting pokok itu,” tambah Lati lagi.

“Nanti dulu Lati, aku mendengar berkali-kali bunyi bunyi yang anih. Ada orang sedang mengintai kita. Mereka mengikut kita sejak dari hujung sawah lagi. Aku mahu melihat mainan mereka dan aku mahu tahu siapa mereka itu,” Jaja memberitahu Lati dan dua rakannya yang lain.

Rakan rakan Jaja kelihatan terkejut.

“Pendekar berpakaian putih agaknya abang Jaja,” Lati segera bertanya.

“Boleh jadi, tapi dari bunyi gerak kaki bukannya seorang. Lebih dari dua, tapi kita jangan peduli. Mereka akan keluar juga sekejap nanti..,” kata Jaja sambil terus memasang pendengarannya.

 

 

Leave a Reply

Top