You are here
Home > Sastera > Kisah Ahli Sufi Dan Lelaki Atas Sampan

Kisah Ahli Sufi Dan Lelaki Atas Sampan

Ada seorang ahli sufi yang sememangnya terkenal dengan doanya yang mustajab sehingga tiada satu pun doanya yang tidak dimakbulkan oleh Allah. Pada suatu hari ahli sufi tersebut keluar dari rumahnya dengan berjalan kaki hinggalah beliau sampai di depan sebatang sungai dan beliau mahu menyeberanginya. Sekiranya beliau mahu, beliau boleh saja berdoa kepada Allah supaya beliau dapat berjalan di atas air dan menyeberangi sungai itu dengan sekelip mata sahaja. Namun begitu beliau tidak melakukannya dek bimbang akan timbul perasaan riak dalam hatinya.

Tidak berapa lama kemudian datanglah sebuah sampan yang kelihatannya sarat membawa penumpang yang mahu ke seberang. Di atas sampan tersebut kelihatan beberapa orang yang mempunyai tujuan yang sama. Tiba-tiba ada seorang lelaki yang bertanya kepada ahlii sufi tersebut, “Wahai ahli sufi, bagaimanakah cara kamu berdoa sehingga semua doa kamu termakbul?”

Ahli sufi hanya mendiamkan diri tanpa menjawab pertanyaan lelaki tersebut sehinggalah pada ketika itu hanya tinggal tiga orang saja di dalam sampan, iaitu  pendayung sampan, lelaki yang bertanya kepada ahli sufi itu dan ahli sufi itu sendiri. Tiba-tiba ahli sufi menolak lelaki yang bertanya itu  sehingga menyebabkannya terjatuh ke dalam sungai. Lelaki itu pun menjerit meminta tolong kerana dia tidak tahu berenang dan ternyata, dia sememangnya bersungguh-sungguh menjerit meminta tolong. Dalam kekalutan itu, pendayung sampan pun terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkannya.

Lelaki itu berjaya diselamatkan dan kembali berada di dalam sampan. Selepas menghilangkan penat selepas tercungap-cungap menahan diri daripada kelemasan, dia pun kembali bertanya kepada ahli sufi, “Wahai ahli sufi, mengapakah engkau menolak aku ke dalam sungai?”

“Aku hanya bertanya satu soalan kepada engkau, iaitu bagaimanakah cara engkau berdoa dan semua doa engkau itu mustajab?” sambung lelaki itu lagi.

“Itulah jawapan aku kepada soalan kamu itu tadi,” jawab ahli sufi ringkas.

Jawapan itu membuatkan laki-laki itu terpinga-pinga. Ahli sufi kemudian menyambung semula kata-katanya dengan bertanya, “Bagaimanakah keadaan kamu ketika di dalam sungai sebentar tadi?”

“Ketika di dalam sungai sebentar tadi, aku menjerit-jerit meminta tolong. Aku benar-benar berharap supaya aku dapat diselamatkan kerana aku sedar bahawa aku tidak pandai berenang. Aku berdoa kepada Allah supaya ada orang yang akan datang menyelamatkan aku. Aku berdoa dengan bersungguh-sungguh di samping meminta pertolongan dengan menjerit meminta tolong,” jawab lelaki yang telah hampir kelemasan itu.

“Itulah cara yang sebenarnya ketika berdoa kepada Allah. Sekiranya kita berhajat sesuatu daripada Allah maka kita seharusnya meminta dengan bersungguh-sungguh dan penuh dengan keyakinan dalam doa kita kepadaNya,” balas ahli sufi.

Akhirnya lelaki yang bertanya itu pun faham dengan penjelasan yang cuba disampaikan oleh ahli sufi itu tadi.

Sebagai pengajaran dari cerita yang disampaikan, maka berdoalah kepada Allah dengan bersungguh-sungguh. Berdoalah dengan penuh keyakinan dan percayalah bahawa Allah sentiasa mendengar doa daripada hamba-hambanya.

 

Dipetik dari buku: Hebatnya Ahli Sufi

Oleh:Syed Mahadzir Syed Ibrahim.

Leave a Reply

Top