You are here
Home > Featured > PRU APRIL 2018: Analisis Parlimen Pasir Puteh

PRU APRIL 2018: Analisis Parlimen Pasir Puteh

Kelab Penyelidikan Politik Malaysia (KPPM) menjangkakan calon Barisan Nasional (BN) di Pasir Puteh (P28) akan kalah kecuali berlaku sesuatu sentuhan mukjizat, manakala PAS akan mengekalkan kerusi dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia ( BERSATU) jadi pemecah undi.

Pertandingan tiga penjuru di Pasir Puteh juga tidak menguntungkan BN, walaupun kepercayaan umum BN yang akan mendapat manfaat besar.

Mengapa begitu?

Dalam pilihan raya umum lalu di Pasir Puteh menyaksikan calon PAS, Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad mendapat 33,579 undi mengalahkan calon BN, Tuan Mustaffa Tuan Mat atau Cikgu Pa dengan mendapat 31,691 undi, iaitu majoriti 1,888 undi.

Begitupun, tidaklah Pasir Puteh ditandakan sebagai ‘kawasan hitam’ kepada BN kerana berasaskan rekod PRU yang lepas, kerusi Parlimennya silih berganti antara PAS dan UMNO.

Jika dipecahkan kepada empat DUN di Pasir Puteh, pembahagiannya seimbang iaiatu dua DUN dimenangi BN manakala dua lagi dimiliki PAS.

DUN Semerak dimenangi calon BN, Datuk Zawawi Othman atau dikenali sebagai Cikgu Awi yang juga Ketua Bahagian UMNO Pasir Puteh. Cikgu Awie, atau lebihmesra di kalangan kawan-kawan memanggilnya Awie Jepun mendapat 8,444 undi mengalahkan calon PAS, Wan Hassan Wan Ibrahim (7,459), iaitu majoriti 985 undi.

DUN Selising dimenangi calon BN, Zulkifli Ali mengalahkan calon PAS, Saipol Bahrim Muhamad dengan majoriti 107 undi. PAS memenangi kerusi dengan majoriti yang memuaskan di DUN Limbongan dengan calonnya, Mohd Mazlan Mohamed Hasbullah dengan majoriti 1,042 undi,mengalahkan calon BN, yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Rujhan Salleh.

Kemenangan dengan majoriti empat angka di peringkat DUN merupakan suatu kemenangan yang luar biasa, apa lagi mengambil ukuran seluruh DUN di Kelantan dan negeri lain.

Manakala di DUN Gaal, PAS memenangi kerusi dengan majoriti 302 yang dimenangi oleh Tuan Mazlan Tuan Mat mengalahkan calon BN, Redzuan Stapha dengan mendapat 6,876 undi.

Data di atas hanya terpakai untuk PRU-13 yang tentunya landskap politik hari ini telah banyak berlaku perubahan.
Calon BN disebut-sebut sekarang ini yang akan bertanding di parlimen Pasir Puteh ialah tokoh muda berpotensi iaitu YB Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Batang tubuhnya memberikan aura tersendiri kerana banyak pengundi muda sukakan orang muda yang berlatar belakangkan agama. Mendengar khabar Dr Asyraf Wajdi akan bertanding di situ, PAS terpaksa menawarkan seorang nama besarnya dan kini disebut-sebut sebagai calonnya ialah Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh.

Untuk Pakatan Harapan pula, kerusi Pasir Puteh akan diberikan kepada Bersatu, yang dijangka mencalonkan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Kamarudin Md Nor. Beliau dulunya Ketua Bahagian UMNO Pasir Puteh, sebelum ditewaskan oleh penyandang Ketua Bahagian sekarang, Datuk Zawawi Othman dalam pemilihanUMNO Bahagian yang sengit..

Dikatakan Kamarudin akan membawa bersamanya seramai 2,000 pengikut setianya yang kebanyakannya sebelum ini pengundi tegar UMNO. Jika ini berlaku akan menyebabkan berlaku pertambahan majoriti undi PAS kepada
sekitar 4,000 orang yang angkanya tidak jauh dengan PRU-12.

Jika sebaliknya calon dari PAN yang bertanding di Pasir Putih, ada kemungkinan bilangan pengundi PAS akan berkurangan. Sebaliknya, dalam kes pertandingantiga penjuru di Pasir Puteh, sekiranya berlaku, sesungguhnya akan menguntungkan PAS.


Bagaimanapun, masih ada harapan untuk UMNO menawan Pasir Puteh jika bahagian UMNO memperlihatkan kesatuan yang kukuh. Masalahnya, sebagaimana berlaku sebelum ini, perpecahan dalaman dikatakan berlaku antara ahli jawatankuasa UMNO bahagian Pasir Puteh.

Misalnya, perang dingin antara ADUN Selising, Zulkifli Ali dengan Ketua Wanitanya,Zurina Ripin masih belum berjaya diselesaikan oleh Cikgu Awie. Kini, calon DUN Selising untuk PRU April 2018 dikatakan menjadi rebutan tiga pihak iaitu penyandangnya, Zurina dan Ketua Pemuda Pasir Puteh, Muhammad Yusri Ismail.

Masing-masing tidak mahu mencari kawasan kelabu atau hitam, sebaliknya memilih untuk kerusi yang lebih besar kemungkinan menang (terutamanya di kerusi DUN) dan ini menjejaskan kekuatan BN dalam usaha mengambil balik kawasan Parlimen.

Tinjauan KPPM juga mendapati trend pengundian bagi pengundi luar Kelantan tidak berubah atas pelbagai faktor, iaitu mereka akan terus mengundi PAS. Pengundi luar yang digelar undi ‘touch&go’ menjadi agen pengubah kepada
strategi yang telah diatur sekian lama oleh penggerak UMNO Bahagian Pasir Puteh kerana mereka melihat tidak ada ruginya mengundi PAS. Kerajaan BN akan terus menyalurkan peruntukan pembangunan untuk Pasir Puteh walaupun dimenangi PAS.

BN pun tidak mampu untuk melakukan pelbagai program mengajak pengundi luar yang bukan hanya tertumpu di Kuala Lumpur. Membayar tambang minyak tidak cukup untuk menukar pengundi yang sudah totok PAS atau yang kelabu, apa lagi jika tiada ‘peruntukan’ untuk petrol anak beranak balik mengundi.

Masih ada beberapa bulan sebelum April untuk memunculkan mukjizat mengubah trend politik yang menghala kepada pengekalan status quo, kecuali berlaku beberapa perubahan lain seperti orang muda Pasir Puteh mahukan seseorangwakil yang dapat menjadi penghubung negeri dengan persekutuan, menyelesaikan isu berbangkit termasuk perpindahan pasar lama Pasir Puteh dan beberapa isu signifikan dan dirasakan dekat di hati pengundi.

Barisan Nasional boleh menang sekiranya berlaku kesatuan khususnya di peringkat G7 untuk bukan sahaja memenangi DUN, tetapi yang lebih utama dapat menawan kembali Parlimen Pasir Puteh, selain menyelesaikan isu-isu kecil yang  penting dalam tempoh saat-saat akhir menjelang hari membuang undi seperti duit poket mencukupi untuk petugas-petugas parti, t-shirt parti atau isu tuntutan tambang tiket bagi setiap pengundi luar yang pulang mengundi.

Leave a Reply

Top