You are here
Home > Featured > Laman Maya Menggugat Keharmonian Rumah Tangga

Laman Maya Menggugat Keharmonian Rumah Tangga

Melayari kehidupan suami isteri penuh cabaran sehingga ada yang tidak mampu bertahan dan akhirnya menyebabkan berlakunya kes percerian. Banyak sebab punca berlaku perceraian yang sepatutnya dapat diatasi sekiranya pasangan bijak menyelesaikan masalah yang timbul.

Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN) mendapati sebanyak 41.8 peratus kes perceraian di negara ini kerana tiada persefahaman. Manakala pasangan curang serta enggan dimadu masing-masing enam peratus dan tidak bertanggung jawab 11.4 peratus.

Jika pasangan itu benar-benar ikhlas untuk mempertahankan ikatan perkahwinan yang dibina atas dasar cinta, soal perbezaan dan masalah yang dihadapi harus dilihat sebagai rahmat yang akan lebih memperkasakan rumahtangga.

Biarpun perceraian dibenarkan di dalam Islam, tetapi ia adalah perkara yang paling dibenci di sisi Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sebenci-benci perkara halal di sisi Allah ialah talak.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Perceraian bertentangan dengan matlamat asal perkahwinan yang perlu dipertahankan sepanjang hayat dan ingin mengelak kesan buruk yang berlaku disebabkan oleh perceraian, terutama yang melibatkan anak-anak. Anak-anak paling menderita berpanjangan kesan perceraian ibu bapa.

Sekarang terdapat satu lagi cabaran yang menjadi punca kes perceraian yakni laman sosial yang menjadi kegilaan masyarakat sekarang. Kes seumpama ini bukan saja berlaku di negara kita, bahkan dilaporkan di seluruh dunia melibatkan semua peringkat masyarakat dan agama.

Sebelum ini sistem pesanan ringkas (SMS), menyebabkan banyak pasangan bercerai kerana suami atau isteri menerima SMS berbentuk cinta yang dihantar orang lain. Sekarang, kemunculan laman sosial seperti Facebook, WhatsApp dan sebagainya yang membolehkan hubungan lebih ‘dekat’ mencetuskan fenomena lebih buruk menggugatkan keharmonian rumahtangga.

Banyak pasangan bekas kekasih bertemu semula di laman sosial kembali menyulam rasa cinta walaupun masing-masing telah berkahwin. Begitu juga banyak kes suami atau isteri bertemu cinta baru dengan rakan laman sosial sehingga menggugat keharmonian rumah tangga.

Menggunakan laman sosial untuk menambah kenalan memang baik, selain membina kembali persahabatan dengan rakan yang telah lama terpisah. Kata pepatah, berkawan biar seribu, bekasih tetap satu, musuh jangan dicari. Namun, bagi individu yang telah berkahwin, perlu menjaga batasan hubungan agar tidak mencetuskan ribut dalam rumah tangga.

 

Perlu diingatkan, isteri tidak boleh berkawan dengan lelaki lain tanpa pengetahuan suaminya dan menjaga batasan walaupun sekadar di laman sosial untuk mengelak fitnah. Kemajuan teknologi laman sosial hari ini membolehkan ‘pertemuan’ itu seperti bertemu bersemuka di alam nyata. Mereka boleh berbual dan melihat paparan visual secara langsung. Malah masing-masing boleh melakukan aksi berahi dan lucah untuk ditonton oleh pasangan laman maya masing-masing.

Sesungguhnya, laman maya yang disalahgunakan boleh mendatangkan kesan buruk yang lebih berbanding cara perhubungan konvensional. Bayangkan, mereka boleh berhubung bila-bila masa tanpa perlu berselindung dan sembunyi-sembunyi. Suami atau isteri boleh berhubung secara ghairah dengan pasangan gelap masing-masing ketika berada di rumah.

Justeru, individu yang telah berkahwin tidak sepatutnya menyembunyikan status perkahwinan dan sepatutnya meletakkan gambar bersama pasangan sebagai makluman bahawa mereka telah berkahwin. Gambar yang dipaparkan di laman sosial itu mestilah sopan dan tidak mengundang dosa.

Rasulullah SAW memberi amaran agar tidak mengambil mudah soal amanah dalam perkahwinan. Sesungguhnya rasa cinta dan keikhlasan tidak boleh dijual beli yang lahir dari hati yang murni. Suami isteri yang ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing akan merasai kebahagiaan yang dijanjikan melalui perkahwinan dan tidak perlu mencari pasangan lain.

Allah SWT menjanjikan kebahagiaan hidup suami isteri melalui perasaan kasih sayang sepertimana firman yang bermaksud: “Antara tanda-tanda kebesaran Allah ialah Dia telah mencipta untuk kamu pasangan daripada golongan kamu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram. Dan dijadikan antara kamu perasaan cinta dan kasih sayang.” (Surah ar-Rum, ayat 21).

Semua makhluk berhak mendapat kehebatan erti kasih sayang jika mereka benar-benar memahami anugerah yang Allah SWT berikan ini.

Leave a Reply

Top