
KASSIM AHMAD tidak pernah saya temui secara peribadi. Namun buah fikirannya saya tekuni sejak lama dulu setelah saya membaca salah sebuah bukunya berjudul “Teori Sosial Islam”. Ianya berlaku sewaktu di tingkatan enam, jika tidak salah ingatan. Buku ini antara buku awal yang sedikit mencerahkan kefahaman terhadap sisi baru pemikiran Islam yang seterusnya mendorong saya untuk menghala perkembangan tersebut ke Indonesia. Sebagaimana dimaklumi, pemikir Islam Indonesia menyediakan pelbagai ramuan yang memperkayakan khazanah pemikiran samada pembaharuan atau sisi konservatifnya.
Bukan untuk memperkecilkan Kassim, tetapi untuk ukuran Indonesia, yang saya peroleh kemudiannya, pandangan-pandangan Kassim menjadi agak biasa dan tidak lah terlalu menggoncang tiang iman konservatif saya (pada masa itu), walaupun pandangan-pandangan Kassim masih berada dalam lingkungan fikiran pembaharuan Islam.
Sekalipun sedemikian, ia tidak lah mengurangkan sedikit pun kehebatan Kassim. Saya mengenali dari karya-karyanya serta dari pelbagai cerita, bahawa Kassim seorang yang memakai banyak topi. Kassim seorang Presiden Parti Sosialis, sasterawan khususnya sajak (ingat lagi “Sidang Roh”), serta pemikir Islam pembaharuan. Saya yakin banyak lagi peranan Kassim yang belum terdedah kepada umum.
Maka apabila membaca buku beliau itu faham lah saya sedikit sebanyak mengapa Kassim menjadi seorang Kassim. Dari lingkungan tradisional di sebuah kampung di Kedah, Kassim menjalar ke Singapura seterusnya ke luar negara (United Kingdom). Pengembaraan fizikal beliau membawa bersama-samanya pengembaraan dan perkembangan pemikirannya sekalipun sampai sekarang saya yakin Kassim masih lagi setia dengan perjuangan sosialisnya.
Malahan, sewaktu menulis pengenalan kepada sebuah buku tulisan Kassim, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir menganggap Kassim telah melalui pelbagai fasa dalam kehidupannya sebagai seorang pemikir yang bermula dari aliran kiri, moderate seterusnya ke arah kanan. Ini juga satu sudut pandangan menarik sebagai sifatnya Dr Mahathir yang cuba memudahkan seseorang untuk memahami perkara yang kompleks sesimple mungkin. Tapi dalam masa sama pastilah tidak semudah itu membaca fikiran Kassim.
Menarik juga untuk diperhatikan perjalanan politik Kassim yang tidak terlalu cemerlang jika diukur dari aspek menang kalah sesebuah parti yang bertanding. Selaku sifatnya sebuah parti yang berasas ‘keintelektualan’, agak sukar bagi parti beraliran sosialis pimpinan Kassim untuk memenangi hati rakyat Malaysia, khususnya Melayu yang lebih menyenangi feudal, politik naungan atau politik berkiblat agama. Terbukti parti komunis atau sosialis yang berjaya mendapat tempat di negara-negara tertentu merupakan parti yang berjaya membuka ideologi dan menyusun strategi untuk memikat massa, tidak jauh berbeza dengan parti lain yang bukan berasas intelek. Mengambil contoh perjuangan Mao di China, perjuangan tersebut begitu merakyat, melibatkan hampir kesemua lapisan terutamanya kalangan rakyat teramai seperti petani dan peladang.
Parti Kassim tidak sampai ke mana kecuali beberapa kerat kalangan intelektual di pusat pengajian tinggi, serta kalangan pemimpin kesatuan. Itu pun tidak begitu meluas, atas pelbagai sebab. Menurut rakan saya yang melakukan kajian terhadap kesatuan sekerja, Dr Azizan Bahari beliau Berjaya membuktikan bahawa melalui tesisnya bahawa sebahagian pemimpin kesatuan buruh di Malaya (seterusnya Malaysia) telah dibeli oleh pihak British sekaligus mengurangkan agresif kepimpinannya.
Mungkin juga kesan parti komunis Indonesia dan propaganda di pihak pemerintah pada masa itu (contohnya sewaktu kecil di Kelantan, saya masih ingat orang-orang tua mengatakan jika pangkah parti tanduk kerbau, dunia akan menghampiri kiamat) begitu berkesan di jiwa penduduk kampung sehingga mereka begitu alergik dengan bendera tanduk kerbau hitam berlatar merah.
Dalam hal ini, mungkin Kassim terlalu lurus berpolitik. Hal ini diakui juga akhirnya oleh beliau dalam bentuk pengakuan bahawa beliau seorang idealisme yang kurang memahami politik praktikal dan realiti (realpolitic). Sebagai seorang yang terpengaruh dengan teori sosialis melalui kitab-kitab klasiknya (Kassim membaca hampir kesemua pandangan sosialis bermula ekstrim kiri hingga kanan) mungkin Kassim kurang berjaya dari aspek aplikasi politik dan politik aksi. Mungkin Kassim ‘hairan’ bagaimana berlakunya satu hubungkait pemberian gula dan kain pelikat dengan kemenangan PAS di Kelantan atau jalan penyelesaian pelabur MAIKA HOLDINGS dengan sokongan pengundi India seterusnya membawa kemenangan kepada BN di Hulu Selangor suatu ketika dahulu.
Kassim akhirnya secara rasmi memasuki UMNO. Mungkin inilah yang disifatkan Dr Mahathir sebagai peringkat akhir hayat politik seseorang – ke arah kanan. Bersalahan dengan kenyataan tersebut, Kassim sendiri di dalam buku itu mencatatkan bahawa terdapat cubaan-cubaan sewaktu pemerintahan Tun Razak, malah sewaktu pentadbiran Tun Mahathir untuk menyerapkan Parti Sosialis pimpinan Kassim ke dalam Barisan Nasional!
Namun disebabkan alasan yang tidak dinyatakan beliau, semua perancangan itu gagal. PSM menjadi PSRM akhirnya berpecah dan diserapkan ke dalam PKR di bawah pimpinan Syed Husin Ali, seorang sahabat baik Kassim. Saya tidak pasti apakah elok jika aliran sosialis masuk ke dalam BN, namun idea-idea Tun Razak dikatakan lebih condong kepada moderate sosialis). Mungkin Kassim ada peranannya di situ, siapa tahu.
Disebabkan tulisan ini tidak dibuat untuk menilai Kassim, maka elok lah ianya ditutup dengan kesimpulan sebegini: Kassim seorang yang hidupnya terlalu bewarna-warni. Beliau melampaui pemikiran seorang Melayu biasa dalam ukuran masa lampau mahu pun masa kini. Saya cemburu kepada kehidupannya.