
Perbahasan sama ada Malaysia sebuah negara sekular atau negara Islam hanya menghabiskan masa dan tenaga. Kita patut sudah lama berhenti berbahas mengenainya, sebab ia telah menjadi punca perbalahan dan perpecahan umat Melayu Malaysia.
Namun elok disentuh sikit pada peribahasa “ada apa pada nama” : Sebelum penyatuan semula Jerman, nama rasmi Jerman Timur adalah “The German Democratic Republic” sedangkan nama Jerman Barat ialah “The Federal Republic of Germany.” Nama rasmi Korea Utara pula ialah “The Democratic People’s Republic of Korea” manakala nama rasmi Korea Selatan hanya “Republic of Korea”. Adakah Jerman Timur lebih demokratik daripada Jerman Barat? Adakah Korea Utara lebih demokratik daripada Korea Selatan?” Demikian juga, adakah Kota Bharu Bandaraya Islam lebih Islamik daripada Putrajaya dari segi kebersihan, keindahan, kemajuan dan masjid-masjidnya. Seorang yang bernama “Soleh” semestinya lebih “soleh” daripada seorang yang bernama “Awang Kechik”? Itulah analogi.
Kita sepatutnya memandang ke hadapan dan bergerak ke hadapan, bukan berlegar di tempat yang sama dengan menunjuk-menunjuk kepada pengundi siapa yang lebih Islamik. Dengan bergerak ke hadapan, bermaksud berusaha mengisi negara kita dengan perkara-perkara yang sesuai dengan kehendak Islam untuk mencapai maqasid Syari’ah setinggi-tingginya.
Satu jawatankuasa yang ahli-ahlinya terdiri daripada dua belas orang cendikiawan Islam dari empat benua menghabiskan beberapa tahun cuba mentakrifkan “negara Islam” untuk mengadakan satu formula untuk mengukur keIslaman sesebuah negara. Akhirnya mereka meninggalkan usaha itu dan, sebagai ganti, cuba mengukur pencapaian maqasid Syari’ah di sesebuah negara. Anihnya, negaranegara yang menduduki tempat tertinggi dalam skala itu adalah negara-negara seperti Sweden, Norway, Belgium dan Jepun. Malah Norway dan Sweden terpaksa menutup beberapa buah penjaranya kerana kekurangan banduan, tetapi dinegara-negara Islam penjara penuh sesak dan penjara baru terpaksa dibina saban tahun untuk menampung banduan yang sebahagian besarnya beragama Islam. Di Jepun, jika anda keciciran dompet atau barangan berharga, anda biasanya boleh mendapatkan semula barangan anda di balai-balai polis yang berdekatan. Tetapi di negara Islam, wang tabung masjid pun dicuri, selepas solat Jumaat di masjid ada makmum yang terpaksa balik berkaki ayam dan berjalan kaki kerana selipar dan motosikal dicuri saat sedang bersolat.
Itu hanyalah cubaan untuk mengukur. Ia bukan “exact science”. Tetapi, pandangan kasar pun menjurus ke arah itu, tertakluk kepada faktor-faktor yang kita beri perhatian. Demikian juga apabila Sheikh Muhammad Abduh pulang ke Mesir dari lawatannya ke Eropah, beliau berkata, “Di sana saya lihat Islam tanpa Muslim. Di sini saya lihat Muslim tanpa Islam”. Pandangannya itu juga tertakluk kepada faktor-faktor yang menjadi asas ukurannya. Jika beliau menumpukan perhatian kepada orang-orang perempuan yang berpakaian tidak menutup urat, kepada banyaknya kedai-kedai yang menjual arak dan orang yang meminumnya dan kepada bilangan masjid, tentulah beliau tidak akan berkata demikian. Tetapi, adalah jelas bahawa beliau memberi tumpuan kepada keadaan negara yang aman, tenteram dan selamat, perkhidmatan awam seperti pelajaran, kesihatan, pengangkutan yang baik, taraf kehidupan yang tinggi, tentulah Eropah (pada masa itu) “lebih Islam” daripada Mesir.
Peruntukan-peruntukan dalam Perlembagan mengenai agama Islam sebagai agama Persekutuan, mengenai larangan penyebaran agama lain di kalangan orang Islam, pemberian kuasa kepada Badan Perundangan Negeri untuk membuat undang-undang mengenai pemakaian hukum syarak. Jika diberi peluang kepada orang-orang bukan Islam, atau sekutu mereka , maka perkara pertama yang mereka akan lakukan ialah memansuhkan peruntukan-peruntukan itu dan menggantikannya dengan satu ayat: “Malaysia adalah sebuah negara sekular.” Seperti yang ditegaskan oleh Lim Kit Siang dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, anehnya ucapan beliau turut disokongi oleh ahli Parlimen Islam yang bersekutu atas nama Pakatan Rakyat.
Berkat adanya peruntukan Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan itulah yang telah membuatkan Malaysia hari ini dikenali dunia sebagai sebuah “negara Islam”. Malah, di peringkat antarabangsa, Malaysia dikenali sebagai sebuah “negara Islam” dan mengaitkan Islam dengan Malaysia, sama ada mengenai perkara yang baik atau tidak baik. Malaysia dianggapkan sebagai contoh sebuah negara Islam maju di zaman ini.
Kerajaan mengeluarkan berjuta-juta ringgit untuk pembangunan dan perkembangan perbankan Islam, kewangan Islam dan takaful sehingga kita berada paling di hadapan dalam bidang itu.
Dalam negara, kita boleh melakukan aktiviti-aktiviti keislaman dengan menggunakan dana awam, termasuklah membina Universiti-Universiti dan Kolej Islam, menubuh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Jabatan Kemajuan Islam, Institut Kefahaman Islam , Institut Latihan Islam ,mengadakan tilawah Al-Qur’an, Majlis Agama Islam, Masjidmasjid,surau-surau , sekolah-sekolah agama Islam, rancangan agama dalam radio dan televisyen milik kerajaan, hinggalah kepada majlis-majlis tahlil dan ceremah agama dalam waktu pejabat, di dalam bangunan pejabat. Semuanya dibuat dengan dana awam. Semua itu dilakukan atas dasar bahawa “Islam adalah agama bagi Malaysia.” Ini semua boleh dibuat kerana adanya peruntukan dalam perlembagaan yang berbunyi “ Islam adalah agama Persekutuan”.
Inilah jasa besar dan kehebatan perancangan UMNO untuk Islam di Malaysia yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Malah lebih “real” buat bukan sekadar “gimik Islam” menutup pasar malam 10 minit pada waktu maghrib, memacak papan tanda “ subhanallah” , “Alhamdulillah” disepanjang jalan, menaikkan papan tanda membangun bersama Islam. Sedangkan gaji Para Imam dan bilal pun terpaksa dibayar oleh wang persekutuan walaupun soal Agama adalah dibawah bidang dan tanggungjawab negeri.
Bayangkanlah jika tidak ada perutukan-peruntukan itu dalam perlembagaan. Bolehkah semua itu dilakukan dengan memakai dana awam, waktu pejabat, bangunan pejabat dan kakitangan kerajaan tanpa menimbulkan masalah? Bagaimana jika penganut agama-agama lain juga mahukan perkara yang serupa? Kita bina masjid, surau dan bilik solat dalam kampus universiti dan asrama pelajar. Bagaimana jika mereka juga menuntut dibina tokong, gereja dan gurdwara di kampus-kampus universiti awam kerana mereka juga mempunyai hak mengamalkan agama mereka mengikut cara mereka? Oleh kerana agama mereka tidak menjadi agama persekutuan, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya mengguna dana awam untuk kemajuan agama mereka.
Lebih penting lagi adalah peruntukan yang menghalang penyibaran agama bukan Islam di kalangan orang Islam dan mengenai pemakaian Hukum Syarak seperti yang tersebut dalam Jadual Kesembilan Senarai II. Perlembagaan memperuntukkannya dan udang-undang telah pun dibuat mengenainya. Maka bertindaklah jika terdapat gerakan dakwah bukan islam terhadap orang Islam .
Selama lebih kurang empat dekad selepas Merdeka, kita boleh lakukan semua itu kerana kita kuat. Kita kuat kerana sebilangan besar orang Melayu masih bersatu.
Sebenarnya, semenjak Merdeka, kita banyak mengambil faedah daripada peruntukan-peruntukan Perlembagaan itu dan mengisinya dengan perkara-perkara yang berbentuk keIslaman. Perhatilah sekeliling dan bandinglah dengan apa yang telah dilakukan oleh negara-negara lain. Masalahnya kita mencari sesuatu yang berbentuk Arab sebagai Islam dan kita lebih kagum dengan apa yang kita nampak dari jauh daripada apa yang ada di sekeliling kita, disaat negara-negara Islam lain kagum melihat Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang hebat, kita sendiri di Malaysia masih bergelut dengan definisi yang rumit tentang negara Islam. Memang rumit untuk mendefinisikan apakah itu lembu, tetapi dengan melihat dengan mata kepala sindiri, dengan mudah kita katakan inilah lembu. Begitu juga Negara Islam Malaysia.
Bagi PAS pula, ia perlu berfikir dengan mendalam apakah sebenarnya “negara Islam” yang hendak ditubuhnya (jika ia masih bertujuan sedemikian.) Adakah melaksanakan hudud sahaja ciri-cirinya? Bukankah tidak kurang, mungkin lebih “Islamnya” sebuah negara yang aman, tenteram, selamat, makmur, mempunyai standard of living yang tinggi, kemudahan kesihatan, pelajaran dan sosial yang baik? Bukankah hari ini pun Malaysia sudah berada di situ? Bukankah Malaysia sudah pun dipandang sebagai negara Islam moden contoh di zaman ini? Tidakkah ia patut dipertahankan daripada melepaskannya langsung semata-mata kerana tidak mahu berlembut mengenai pelaksanaan hudud? Bukankah untuk menjalankan hudud di Malaysia memerlukan pindaan perlembagaan? Dan untuk meminda perlembagaan diperlukan sokongan 2/3 dari ahli parliman , atau dalam konteks sekarang memerlukan 148 daripada 222 ahli parlimen. Sedangkan jumlah ahli parlimen Islam dari blok kerajaan dan pembangkang tidak sampai pun 148 kerusi, malahan diburukkan lagi dengan kesemua Ahli parlimen Melayu/Islam dari blok pembangkang yang didominasi DAP secara terang-terangan menentang hasrat PAS untuk melaksanakan hudud, malah RUU355 yang berjaya dibentangpun atas ehsan dan kebijaksaan Speaker Dewan (BN) dan sokongan UMNO. Jika UMNO dan PAS bersatu pun belum tentu hudud boleh dilaksanakan (kerana tak cukup 2/3 majoriti) apatah lagi jika asyik bermusuhan.
Fikirlah, apabila Kerajaan Persekutuan yang dikuasai oleh orang Melayu/Islam jatuh, ketangan DAP atas bantuan proksinya, impian PAS untuk melaksanakan hudud pun akan hancur. Inilah masanya untuk pemimpin-pemimpin Melayu/Islam dalam UMNO dan PAS membuat keputusan sebagai negarawan bukan sekadar beretorik untuk menarik penyokong dan pengundi tetapi fikirkan isu sebenar yang lebih besar yang mengancam ummat Islam.
Keadaan berubah dengan penubuhan BERSATU, BERSATU telah berjaya menarik orang-orang yang kecewa, yang tidak mendapat tempat dalam UMNO, golongan opportunist dan yang marah kepada pemimpin-pemimpin UMNO tidak kira sama ada alasannya munasabah atau tidak. BERSATU telah membuktikan bahawa ia hanya mempunyai satu matlamat: berjuang untuk menjatuhkan Kerajaan BN untuk membolehkan Dato’ Seri Najib digulingkan. Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai hasrat mereka, segala benda dijadikan isu, isu kecil diperbesarkan, dengan satu tujuan, agar rakyat membenci kerajaan. Mereka sanggup mengorbankan hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam demi dendam.
Melihat perpecahan orang Melayu, orang Cina khususnya, yang memang pandai membuat perkiraan, telah bersatu di belakang DAP, mengambil faedah daripada undi penyokong PKR, PAN dan BERSATU untuk menjatuhkan BN. Selepas itu DAP menjadi parti dominan dalam Pakatan Rakyat yang akan memerintah samada secara jelas atau secara proksi.. Kerajaan Boneka DAP Perak selepas PRU12 adalah contoh yang terbaik untuk direnungkan. Wakil PAS di jadikan sebagai Menteri Besar menyebabkan penyokongpenyokong PAS merasa bahawa mereka telah berjaya menubuhkan sebuah “Kerajaan Islam”. Maka bertakbirlah mereka di sepanjang jalan menunjuk perasaan. Hakikatnya majoriti ahli Exco adalah ahli-ahli DAP dan merekalah yang sebenarnnya berkuasa. Dalam sebulan sahaja memerintah kesemua beratus ribu hektar Tanah Kampung Baru China telah diberi pemilikan kekal. Jika dulu, juga di Perak “Pak Kadok menang sorak kampung tergadai, sekarang Haji Kadok menang takbir negeri tergadai.”
Bukan itu sahaja, hasrat PAS untuk menjalankan dakwah terhadap DAP ternyata gagal, malah PAS sendiri telah berjaya dikotak-katikkan oleh DAP dan seterusnya PAS terpaksa menanggung siksaan atas dosa kesilapannya, PAS sepatutnya insaf atas ketelanjurannya. Terimalah hakikat bahawa UMNO yang memperjuangkan Melayu dan PAS yang mengaku memperjuangkan Islam, telah lama bergelumang dengan permusuhan yang sia-sia.
Di Malaysia, hubungan antara “Islam” dan “Melayu” sangat rapat, malah seperti tidak boleh dipisahkan. Hinggakan takrif “Melayu” dalam Perlembagaan Persekutuan pun mensyaratkan bahawa seseorang itu mestilah beragama Islam sebelum ia tergolong dalam takrifan “Melayu”. Dalam kata-kata lain, jika seseorang itu tidak beragama Islam, maka dia bukan Melayu. Saya tidak pernah temui peruntukan seperti ini dalam Perlembagaan negara-negara lain.
Maka, adalah amat dikesali apabila ada pihak, semata-mata kerana kepentingan politik, sanggup memberi gambaran seolah-olah perkataan “Melayu” dan “bangsa Melayu” itu menyalahi ajaran Islam, diberi takrifan assobiah, dan berdosa.
Saya dilahirkan seorang Melayu dan Islam. Itu bukan pilihan saya. Itu takdir Allah s.w.t. terhadap saya. Saya akan mati sebagai seorang Melayu. Saya juga tiada pilihan mengenainya. Saya ada pilihan mengenai agama, tetapi saya memilih Islam sebagai agama saya, dengan izin Allah s.w.t. Berdosakah jika saya kata “Saya Melayu dan Islam?” berdosakah jika saya kata “Saya hendak mempertahankan hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan kita?”
Kita mesti ingat bahawa, dalam konteks Malaysia sesuatu yang merugikan orang Melayu ia akan merugikan umat Islam dan sesuatu yang merugikan umat Islam, merugikan orang Melayu. Jika orang Melayu berpecah belah, umat Islam berpecah belah. Jika umat Islam berpecah belah, orang Melayu berpecah belah. Yang untung ialah orang bukan Melayu dan bukan Islam yang bijak mengambil kesempatan atas perpecahan Melayu. Itulah yang sudah pun terjadi sekarang. Masihkah kita tidak boleh nampak?
Kemuncak kekuatan dan perpaduan orang Melayu selepas Merdeka adalah selepas peristiwa 13 Mei. Berbagai program untuk membangunkan orang Melayu dan Islam telah dilaksanakan. Malah, untuk memperkuatkan lagi benteng pertahanan orang Melayu dan Islam Akta Hasutan telah dipinda untuk memasukkan seksyen 3(1)(f).
Hal ini sudah berubah, terutama sekali dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan ini. Akibatnya, perhatilah apa yang dilakukan oleh orang bukan Islam terhadap agama Islam di kebelakangan ini. Perkara-perkara yang tidak pernah terbayang di fikiran kita akan berlaku telah dilakukan sewenang-wenangnya. Kerana mereka tahu kita sudah lemah. Mengapa kita lemah? Sebab kita berpecah. Kerana Perpecahan Melayulah Punca timbulnya bermacam-macam Tuntutan Melampau kaum Bukan Melayu. Hari ini orang Melayu dan umat Islam di Malaysia berada dalam satu situasi yang paling mencemaskan dalam sejarah pasca merdeka. Ia berhadapan dengan kemungkinan paling serius ia itu terlepasnya kuasa memerintah. Sebabnya bukan kerana bilangan orang Melayu dan Islam semakin kecil tetapi sebab parahnya perpecahan dan matinya semangat ukhuwah diantara hati-hati mereka.
Syukurlah, kali ini, NGO-NGO dan individu-individu Melayu/Islam telah berjaya mempengaruhi Persidangan Agung UMNO hingga YAB Perdana Menteri mengisytiharkan bahawa Akta Hasutan akan dikekalkan dan diperkukuhkan lagi.
Malangnya, Timbalan Yang Di Pertua PAS pada masa itu pula mengisytihakan bahawa PAS akan menentang pengekalan Akta Hasutan berhabis-habisan, tak cukup dengan itu, ADUN PAS Selangor (semua Melayu/Islam) dan ADUN PKR Selangor (kebanyakanya Melayu/Islam) bersama-sama ADUN DAP meluluskan usul untuk menghapuskan Akta Hasutan. Kepentingan siapa yang mereka perjuangkan? Sampai perkara yang terletak dalam bidang kuasa Persekutuan pun Dewan Undangan Negeri hendak campur tangan! Mereka ini jugalah yang mahu sejarah tanahair ditulis semula untuk mengiktiraf pemimpin-pemimpin Parti Komunis Malaya sebagai wira kemerdekaan. Saya ingian bertanya: Jika Parti Komunis Malaya berjaya, apakah bentuk kerajaan yang akan ditubuh mereka? Jawabnya, sebuah negara Komunis ala-China. Itukah yang mereka mahu? Takkanlah itu pun tak boleh nampak? Untunglah PAS mulai insaf atas ketelanjurannya menyokong DAP dan sekutunya sebelum nasi menjadi bubur. Kita patut merasa bangga atas keputusan yang hebat yang dibuat PAS ini.
Kita bukan hanya menuntut Akta Hasutan dikekalkan. Kita juga tuntut supaya Perkara 3 (agama Islam sebagai agama Persekutuan) juga dimasukkan ke dalam seksyen 3(1)(f) dan ia telah dipersetujui oleh UMNO. Orang Melayu patut samasama menyokong UMNO dalam hal ini. Supaya orang bukan Islam bukan boleh sewenang-wenangnya mempersenda Islam. Tetapi, dalam hal ini pun orang Melayu/ Islam berpecah. Sudahlah dalam menghadapi isu kalimah “Allah” pun merka berpecah. Apa lagi hendak dikatakan? Begitu juga hak dan keistimewaan orang Melayu yang jelas termaktub dalam perkara 153 persekutuan turut dipersolkan oleh DAP, tetapi anehnya ianya disokong dengan lantang oleh Ahli Parlimen Melayu/ Islam dari Pakatan Rakyat, jelas disini mereka diperalatkan, atau menjadi tentera upahan DAP. Tidak akan tumbang sebatang pokok jika tidak ada dahan yang sanggup menjadi hulu kapak.
Saya katakan, dalam konteks Malaysia, untuk dapat mengisi negara kita dengan prinsip-prinsip dan nilai-nilai Islam orang Melayu dan umat Islam sendiri perlu bersatu dan sekata. UMNO dan PAS perlulah berfikir untuk bercantum, bergabung atau bekerjasama, sekurang-kurangnya di peringkat Persekutuan, untuk mempertahankan Kerajaan Persekutuan daripada jatuh kepada Pakatan Rakyat yang didominasi oleh DAP sebagaimana BN didominasi oleh UMNO.
Tetapi, bersatu sahaja tanpa tahu apa yang hendak dilakukan dan tanpa melakukanya tidak memberi apa-apa makna.
Saya minta setiap Ahli politik berhenti sejenak dan berfikir sebagai Negarawan bukan berfikir sebagai ahli politik murahan yang mementingkan diri lebih dari agenda bangsa dan Negara.
Saya mendoakan kepemimpinan negara terus teguh, utuh dan UMNO-PAS sentiasa saling sokong menyokong, bukannya saling mencari kesalahan.