You are here
Home > Satira > Hangus dibakar teka-teki alam

Hangus dibakar teka-teki alam

Man Toje terasa penat berkebun. Tambah pulak mentari dah terpacak di atas kepala. Dah sampai waktu makan tengahari, makan bekalan isteri. Dia berjalan perlahan menuju keteduhan pokok cenderai. Di situ tempat dia makan tengahari dan juga tempat melepakrehat bila disinggah penat. Semasa berjalan dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Nampak gelengnya tak henti-henti macam badak hippo Afrika yang ketiadaan air.

Gelengnya kerana hal semalam di rumah orang kahwin, orang nikah. Ada ke yang pengantin perempuan tu punya le cantik, melepak putih tepung pun kalah. Badannya langsing, rambutnya ikal, pipi pauh di layang, dagu pulak lebah berjuntai, lesung pipit macam kueh lompang, matanya bulat macam mata penyu. Dan hidungnya tinggi mancung boleh sangkut baju. Pendek kata dan panjang pun kata, pengantin perempuan Minah Lawa tu sememangnya cantik. Lebih cantik dari cantik tau!

Man Toje makan bekalnya, masa makan kepalanya masih tergeleng-geleng hippo. Dia tetap teringat hal Minah dengan suaminya. Katanya dalam hati yang Tuhan pun kenapalah beri pasangan Minah tu tak padan sangat. Badan dah macam ikan paus, bulat tak ada potongan pun. Kulit hitam legam berkilat dan merelit pulak tu, macam kayu arang. Kalau le jatuh ke laut ikan jerung tak makan sebab kata haiwan tu itu tongkol arang! Man Toje berkumit-kumit mulutmya… “Alahai..tak padannya depa berdua tu ya Tuhan!”

Selepas makan Man Toje baring-baring rehat di bawah pokok cenderai besar tu, sambil makan sepotong tembikai pencuci mulut bekalan isteri. Ketika berbaring sambil makan itu, matanya terlihat buah cenderai yang sedang lebat meranum. Man Toje terus merenung dan berfikir hal kejadian buah cenderai pulak. Kemudian dia terus berkata, “Macamana cenderai ni…, pokoknya besar tapi buahnya kecik saja.” Aduhai kejadian cenderai ni macam tak kena saje..!

Kemudian Man Toje membandingkan buah cenderai dengan buah tembikai yang sedang menjadi pencuci mulutnya. “Mak Datuk! Konsep lebih kurang sama dengan hal Si Minah Lawa. Buah tembikai pokoknya kecil tapi buah besar. Cenderai pula buahnya kecik tapi pokoknya besar. Alahai!”

Man Toje penin memikirkan.

Oleh kerana penat bekerja dan banyak pulak berfikir, Man Toje pun tertidur dalam baring-baringnya. Dan dia pun lena selena-lenanya, nyenyak! Namun walaupun nyenyak tidur tapi akalnya masih lagi berdebat-debat pasal hal Minah dengan jodohnya itu, hal betapa tak sepadannya pasangan yang telah berjodoh itu. “Ikan duyung kahwin dengan ikan paus,” akalnya Man Toje berkata.

Tersenyum-senyum kambing Man Toje semasa tidurnya. Tiba-tiba di akalnya datang sebiji buah tembikai bergolek-golek perlahan. Bersama buah tembikai itu terlihat dia sebiji buah cenderai yang ranum itu turut sama bergolek-golek bersama berlumba dengan buah tembikai itu. “Alahai.., kalaulah dilanda dek buah tembikai akan buah cenderai tu, tentu penyetlah si cenderai tu. Kasihan si cenderai ye!”

Tiba-tiba ada sesuatu yang menimpa hidungnya sedang ia tidur itu. Man Toje terus terkejut dan terjaga.  Dia meraba hidungnya yang ditimpa entah benda apa. “Tidak berdarah dan tak cedera pun, tentu kecik saja benda tu.”

Dia melihat kekiri dan kekanan mencari benda yang telah menimpa hidungnya. Dicarinya…, rupanya buah cenderai yang ranum itu telah jatuh menimpa hidungnya.

“Wah! Kalaulah buah tem….yang jatuh!?!?” Man Toje terdiam dan terkedu.


Kata Bestari:

“Secara ironinya, orang yang mengeluh tentang kebosanan adalah orang yang amat membosankan.”- Mark Twain.

“Tidak sepatutnya seorang langsung menginginkan apa saja yang dilihatnya. Anda jangan selalu percaya pada pandangan, kerana seluruh kesalahan berasal dari mata..” Hafez.

“Your attitude speaks so loudly  that I can’t hear what you  say.” Robert Kennedy.

“Jika seseorang yang jahil itu mengetahui sebab-sebab kejahilannya maka ia akan jadi seorang yang bijak.” Kung Fu Tze.

“Lumba-lumba dari seberang, Riaknya sampai di Inderagiri, Cuba-cuba bertanam mumbang, Kalau tumbuh turus negeri,” Pantun Melayu.

“Kesedihan dan kepedihan membuat diri kita kacau, tetapi sebagai imbalan mereka memberi kita kesempatan untuk membina kembali pengertian kita mengenai nilai dan erti kehidupan ini.” Kent Nerburn.

Leave a Reply

Top