
Kami tiba di stesen keretapi Gemas pada jam 1.00 pagi, menurut jam besar yang tergantung di stesen berkenaan. Anak-anak buahku seramai 26 orang yang terdiri dari mahasiswa ahli Kelab Akhbar Mahasiswa (KAM) Universiti Putra Malaysia (UPM) mundar mandir meninjau stesen yang menjadi pertemuan antara jalan keretapi pantai barat dengan jalan keretapi pantai timur semenanjung itu.
EKSPEDISI MENCARI KHAZANAH BANGSA LEMBAH SUNGAI LEBIR
Mereka kelihatan gembira sekali meninjau dengan meronda-ronda stesen tua ini sambil memperagakan diri masing-masing sebagai mahasiswa menerusi tulisan UPM yang tertera dibaju panas dan kemeja-T yang mereka pakai. Ketika inilah saat yang paling gembira bagi mereka kerana boleh memperaga citra seorang mahasiswa kepada orang lain, apa lagi jika ada yang memandang mereka dengan pandangan memuja. Aduhai mahasiswa…! Aku pasti mahasiswa universiti lain juga begitu.
Aku bersama Sani, mahasiswa jurusan fizik yang dilantik oleh rakan-rakannya sebagai setiausaha kepada aktiviti Ekspedisi Mencari Khazanah Bangsa Lembah Sungai Lebir, Kelantan. Kami berdua turut turun di stesen berkenaan sambil menuju ke restoran yang tidak berapa ceria di stesen tua itu dan kemudian memesan minuman kami.
“Saya gembira kerana aktiviti kita yang dirancang berbulan-bulan lamanya telah dapat kita gerakkan, walau pun baru melalui fasa awalnya,” kata Sani padaku.
“Ada apa-apa lagi ke yang membuatkan kamu gembira ni, Sani?” aku bertanya.
“Pertamanya kita sedang dalam perjalanan mencari bukti-bukti bagi satu fakta sejarah yang kabur mengenai Sungai Lebir yang dulunya semasa keagungan Kerajaan Melaka telah menjadi laluan para pedangang. Mereka telah menggunakan sungai itu sebagai laluan kemudian merentasi gunung sedikit lalu menghilir Sungai Pahang dan kemudian menghilir pula Sungai Muar dan terus dengan barang dagangan mereka ke Melaka,” jawab Sani yang mula meminati sejarah, bermula sejak aktiviti kami ini masih di peringkat perancangan.
“Semua ini kerana menghindari lanun yang ganas di laut kan!?” balasku memberi sebab musabab adanya jalan perniagaan itu.
“Betul! demikian struktur kehidupan yang disusun Tuhan. Bila ada yang buruk mengenai sesuatu pekara maka akan ada pula yang baik di dalamnya. Mungkin Lembah Lebir menerima manafaat dari lanun-lanun yang kerjayanya melanun di Laut China Selatan itu,” jawab Sani yang juga meminati bidang falsafah, kemudian dia meyambung…
“Tapi saya terkilan kerana tidak dapat bersama Encik dan Nik berjumpa dengan profesor Universiti Malaya tempohari tu,”.
“Apa sebabnya?” aku bertanya.
“Yaalah..,mendapat maklumat dari seorang profesor secara terus tentulah satu keistemewaan yang dicari-cari buat mahasiswa seperti saya, kerana profesor itu ialah salah seorang ahli akademik yang yang tersohor dan menjadi idola hidup mahasiswa saya,” jawab Sani sambil memperlihatkan sedikit wajah sesalnya.
Kami berdua diam seketika. Sambil menjamah minumam dan kuih pau berinti kacang merah yang masih panas itu, kami sempat memerhati gaya dan tingkah laku rakan-rakan mahasiswa yang lain. Ada yang berbual-bual sesama sendiri dan ada juga yang berbual dengan orang-orang awam di stesen, sementara sebahagian yang lain sedang menyemak dan memeriksa kelengkapan dan alatan ekspedisi kami yang bertimbun banyaknya. Semuanya itu kami bawa dari Serdang untuk keperluan kami selama dua belas hari berekspidisi.
“Boleh saya turut sama minum dan berbual-bual dengan Encik dan Sani,” kami disapa oleh Meng Soo, bendahari merangkap penolong setiausaha ekspidisi. Dia memohon untuk turut sama berbual dan bersembang-sembang sambil minum-minum dengan kami.
“Silakan, kalau dah mahu,” kataku.
“Kalaulah puteri dari Lembah Lebir yang putih kuning ini memehon untuk bersama kita dengan mencemar duli kerana cuma nak berbual-bual, beritahu pada saya siapa yang di dunia ni punya keberanian tergamak melarangnya!” Sambut Sani dengan gaya seorang jejaka budiman. Sani bangun berdiri dan membongkok menghargai kehadiran ‘sang puteri’ sambil memegang sebuah kerusi kosong di meja kami dan kemudian mempersilakan Meng Soo duduk.
“Sani ni selalu macam tu dengan saya, kadang-kadang masa kuliah pun dia bangun buat begitu, bila saya sampai. Malu saya tau!” kata Meng Soo sambil membetulkan duduknya di kerusi yang dicadang Sani dan kemudian menyambung..
“Gaya Sani ni, macam gaya dari satu ilmu tinggi yang mandul dan tak masak. Entah siapa gurunya!” Meng Soo mengomel meluat dan wajahnya dijebek pada Sani.
“Hanya dengan abang Sani ni aje Meng Soo memperolehi rasa-rasa romantik ni, Soo tak pernah layan pun rasa romantik abang Sani tu. Sebab itu rasa tu mandul. Kalau dengan abang Nik jangan haraplah,” kata Sani dengan nada bergurau sambil berkelakar dengan membulatkan matanya merenung Meng Soo.
“Memang pun, abang Nik tu macam kayu aje. Lurus tak berseni kalau dengan siswi, skima memanjang saja,” Meng Soo mengakui kata-kata Sani.
“Haa kan, kamu pun mengakuinya. Betapa betulnya kata abang Sani ni tadi kan?” kata Sani dengan gaya sombong yang disengajakan, sambil bertanya minuman dan makanan yang diingini Meng Soo.
“Yang tak elok mengenai abang Nik tu selalu Sani ni sokong, nak mengusik saya lagi lah tu!” Meng Soo membalas Sani dengan memberitahuku.