You are here
Home > Sastera > XPDC Lebir – 4 – Sembang-sembang Kereta Api

XPDC Lebir – 4 – Sembang-sembang Kereta Api

“Wahh…Encik kita juga macam geng kita lain kat sana tu, telah tidur rupanya dia!” kedengaran sayup di telingaku suara Sani yang sedang berjalan melintasi kerusi atau bangku dudukku.

“Encik kita ni, waktu tidurnya pun dengan senyum, aduhai, lihatlah..!” kedengaran suara saorang siswi menyambut kata-kata Sani, aku pasti pemiliknya adalah Meng Soo.

“Pegawai HEP tidurnya macam ni lah!” kata Sani sambil mengambil tempat duduk di belakang kerusiku bersama Meng Soo.

“Pegawai HEP tidurnya dengan duduk saja tau, tidak baring. Kalau kamu Meng Soo mahu menjadi pegawai HEP, kenalah belajar tidur duduk macam Encik kita ni,”  kedengaran Sani berkata lagi.

Aku terus saja memejamkan mata. Aku berpura-pura tidur sambil mendengar sembang sembang kedua pelajarku itu. Aku memasang telingaku dengan baik, mahu mendengar bualan dua remaja yang menjadi tulang belakang ekspedisi kami; yang  belum mahu tidur lagi.

“Mengarutlah kamu ni Sani, pegawai HEP juga manusia biasa. Mestilah tidur mereka macam orang lain tidur juga,” aku dengar Soo menyanggah Sani.

“Betul Soo.. bila dia dengan orang lain, dia menjadi manusia biasa. Tapi bila dengan pelajar, seperti waktu ini dia menjadi orang lain pula dan tidurnya pun mesti tidur secara lain. Malah aku pernah menyaksikan dia tidur dengan berdiri, semasa kami dalam perjalanan dengan keretapi ke Pulau Pinang dulu. Jadi bukan mudah mahu jadi pegawai HEP tau. Kena tidur macam kuda,” Sani mengukuhkan kata-katanya kemudian menambah lagi…

“Udah le tidurnya berdiri, dia menyanyi pulak dalam tidurnya tu. Aduhai, kelakarlah Encik kita ni,” kata Sani lagi disambung dengan ketawa perlinya.

“Ooo, Sani kata Encik kita ni tidur macam  kuda ye! Kemudian kata pula menyanyi masa tidur..

“Itu lagi ngarut…! Tak ada orang dalam negara kita Malaysia ni yang tidurnya dengan menyanyi tau. Kelentong sangatlah kamu ni Sani, tabiat ini mesti berjangkit dari Kori dan Awi ni,” terdengar kata Meng Soo membela.

“Betul Soo, masa dalam perjalanan kami mencari Khazanah Sejagat di Utara, dia tidur berdiri dan bernyanyi. Berlagu kuat pulak walau pun dengan bersandar saja kerana keretapi penuh sesak waktu itu,” Sani bercerita lagi disertai dengan ketawa lucunya.

Aku tersenyum dengan kata-kata Sani itu, menyanyi berlagu itu adalah dengkurku semasa tidur. Itulah yang dimaksudkan oleh Sani. Beginilah agaknya mahasiswa. Bilamana di belakang pegawai atau pensyarahnya, mereka pun bercerita sesama mereka mengutuk pegawai dan pensyarah mereka.

Tetapi aku sangat yakin yang ahli KAM tidak begitu. Aku yang mengajar mereka berbudi bahasa kerana itu satu cara menjadi manusia merdeka. Dalam hal budi bahasa ini aku angkat tangan kepada semua ahli KAM bukan Nik, Shafrin dan Mutaharah tiga orang sahaja.

“Kesian Encik kita tu, kamu kata gitu. Sampai hati kamu Sani! Dia membantu kita dengan ikhlas dan kamu Sani persendakan dia pula di waktu dia tidak dapat mendengar kata-kata kamu. Ni mesti jangkit dari perangai Kori Yong dan Basir ni,” kata Meng Soo bersimpati.

“Aku tidak mempersendakan Encik kita tu, tapi memang dia tidur berdengkur kuat. Itu saja yang aku nak beritahu kamu, aku tidak bertujuan menghina dia. Sumpah. Sumpahku aku sandar pada Tuhan yang aku percaya!” jawab Sani teguh memperlihatkan keikhlasannya.

“Ok, saya terima jujur kamu tapi besuk kamu cium tangannya dan minta maaf…

“Tapi kalau dia tidak ikut kita beraktiviti kokurikulum, kita tak tau pun yang dia tidur begitu. Jadi lebih baik dia tinggal saja kat rumah. Jadi tabiat tidurnya itu kita tak akan tahu. Itu lebih baik bagi imej seorang pegawai macam dia,” kata Soo membela lagi.

Aku meneruskan ‘tidur’ku lagi dengan senyum senyum. Kekadang aku buat-buat dengkur. Aku dengar mereka ketawa kecil, geli hati kerana dengkur ku itu.

“Kalau pegawai lain menemani kita dalam ekspedisi ini, bagaimana? Kamu suka tak Sani,” Soo menyambung dan bertanya.

“Secara jujurnya aku tak kisah sangat hal itu, asal saja pegawai pengiring itu pegawai HEP, itu sudah baik,” Sani menjawab.

“Kenapa kamu kata begitu, Sani?” Soo bertanya.

“Orang HEP ni.. mereka punyai etika kerja yang berbeza. Kalau pegawai bukan dari HEP yang mengiringi kita sekarang ni, tak ada dia dalam keretapi ni dengan kita. Ada kat Kota Bharu nu sedang tidur kat hotel. Besok dia jengah jengah kita, dia balik hotelnya. Dua hari lagi datang jengah jengah pula, lepas tu balik hotel, begitulah seterusnya..,” Sani memberi pandangannya.

“Wah, kalau gitu lilin sungguhlah pegawai HEP nii. Membakar diri untuk pelajar macam kita ni. Dia mahu dan sanggup bersama kita. Di kelas tiga keretapi pulak ni. Pada hal dia layak di kelas satu, dan di sana tak payah tidur dengan cara duduk pun..,” terdengar perlahan olehku kata Meng Soo memberi komennya.

Aku terus mendengar perbualan mereka dengan teliti.

“Peluang yang baik untuk mendapat maklum balas tentang diriku dan diri kami orang-orang HEP,” aku berbisik pada diriku yang memperolehi peluang yang sangat istimewa ini. Aku teruskan dengan ‘tidur-tidur’ ku lagi.

“Seronokkan menjadi pegawai HEP ni, boleh selalu jalan-jalan makan angin dengan pelajar dan boleh tuntut macam-macam elaun,” Sani menambah lagi.

“Ya, sekali lihat macam itulah. Macam-macam elaun, boleh tambah pendapatan. Tapi tanggungjawabnya besar tau!” balas Soo dengan serius.

“Aku fikir tanggung jawab itu sentiasa ada di mana-mana, tak kira apa kerja atau jawatan pun. Tapi tidaklah berat dan besar  tanggung jawab tu. Sebab kita dah dewasa, bukan budak sekolah rendah lagi. Loco parentis dah tak pakai dah, betul tak Soo?” kata Sani pada Meng Soo.

Aku terus memasang telinga ku..

“Alahai kamu Sani, tengoklah jauh sikit. Ekspedisi kita ni kalau Encik kita tak campur tangan, Abang Nik dan kita sukar untuk berdiri sendiri sebagai Ahli Jawatankuasa Ekspedisi. Sani perasan tak Encik kita bila dia berucap atau berpesan selain dari falsafah sengetnya, selalu dia menekankan hal keselamatan kita,” tegas Soo seperti mempertahankan sangat kehadiran aku bersama mereka.

“Ha.. kamu kata Encik kita tu falsafahnya senget.., besok aku beritau dia..,” kata Sani mengancam Soo.

“Tak ngapa, besuk saya minta maaf pada dia,” jawab Soo selamba.

“Soo, apapun kita ni semua sudah dewasa kan? Tentu boleh menjaga diri sendiri, dalam hal-hal keselamatan diri,” Sani membalas hujah Soo.

“Pada fikir kamu begitu ye Sani? Tapi dewasa bagaimanakah sangat kita ini sedang malang tidak memilih dewasa atau tidak dewasa,” kedengaran Soo menjawab lagi.

“Saya tengok beberapa aktivitu lain tu, pegawai hanya sekadar datang melihat keselamatan kita saja. Bila dah tengok pelajar mereka pun pergi. Jadi keselamatan kita ni pada sebahagian pegawai pentingnya sebegitu saja kerana kita sudah dewasa,”  kata Sani memberi reaksi lagi.

“Tak begitu, kalau hanya sua-sua muka gitu bukan pegawailah namanya,”  jawab Soo bersungguh.

“Kalau macam tu pegawai apa namanya?” kedengaran padaku Sani bertanya.

“Kalau betullah ada pegawai macam tu, itu namanya pegawai lima minit, sebab dia datang lima minit saja,” jawab Soo.

Geli hatiku mendengar jawapan Soo.

“Di manalah mereka dapat gelaran-gelaran macam ni,” aku terus membohongi ‘tidurku’ bagi memperolehi lagi maklumat kelas satu dari mereka.

“Tapi yang jelas pada saya ialah ada sebahagian mahasiswa yang ikut serta beraktiviti ko kurikulum, lebihnya kepada jalan-jalan makan angin saja dari menghayati aktiviti itu sendiri,” sambung Meng Soo yang masih mahu berbincang lagi.

“Pelajar begitu memang ada, malah ramai. Perangai macam tu di luar kawalan sesiapa saja termasuklah Encik kita tu. Aku lihat semua kita ni jujur dengan dengan ekspidisi ni termasuk ahli baru baru macam Lina , ustaz dan lain-lain,” Sani menjawab.

“Betul juga, tak ada siapa pun boleh kawal niat sesaorang mahasiswa bila beraktiviti ko kurikulum. Ini tugas dan tanggungjawab pegawai macam Encik kitalah menentukannya. Ini satu kerja yang berat ni,” kata Soo mengakui.

“Haa, tau pun kerja tu berat. Itu belum dikira lagi hal-hal pelajar gaduh masa aktiviti, dia juga kena jadi tukang damai,” Sani meneruskan hal tanggung jawab pegawai HEP, berminat sungguh dia.

“Itu hal kecil aje, jarang-jarang berlaku,”  kedengaran Meng Soo berkata selamba.

“Kamu kata kecil aje Soo, kalau ada sampai siswi melahirkan anak kerana aktiviti ko kurikulum ni bagaimana? Tentulah dia juga dipertanggung jawapkan,” kata Sani.

“Ahh, dah ngarutlah kamu ni Sani, mana ada pernah berlaku hal itu,” terdengar kata Meng Soo meluat pada hujah Sani yang padanya mula merepet-repet.

“Aduhh sakitnya!” kedengaran Sani berteriak. Rasaku mungkin Sani telah disiku Soo kerana Sani tidak pandai menjaga mulutnya.

Perbualan mereka terhenti seketika. Boleh jadi Sani sedang menahan sakit dan Soo pula sedang menahan geram dan meluatnya terhadap hujah Sani tadi. Padaku, mereka dalam proses menjadi insan dewasa yang sedang mahu merenggangkan kebergantungan dengan keluarga masing-masing, sebab itulah terjadi sebegitu.

“Bagi saya Soo, ko kurikulum ini adalah manifestasi intelektual hasil dari apa yang kita dapat dan peroleh dari kuliah dan perpustakaan. Demikian juga hasil interaksi sesama kita dan  interaksi dengan semua peringkat pekerja universiti,” terdengar oleh aku Sani meneruskan kembali percakapan mereka.

“Tak fahamlah Sani, lagi tengah malam lagi mengarut rupanya kamu ni. Macam Yong juga bercakap tak ada buah butir!” Soo berkata.

“Apa pulak susah nak faham. Yang baik-baik yang kita dapat di universiti tu, kita bawa dan tunjukkan dalam aktiviti ko kurikulum kita ni. Tak kiralah kat mana aktiviti kita tu,” terdengar Sani menjelaskan pada Soo.

“Ooo, begitu! Kita tunjukkan yang baik-baik saja. Contoh yang tak baik tak boleh bawa ye!?” Soo berkata.

“Betul tu. Cuma cara gaya yang bagus-bagus, yang cemerlang saja. Yang ‘kodi-kodi’ tak boleh masuk ‘buku’ manifestasi tu,” jawab Sani dengan nada suara yang tegas.

“Ehh, ada ke prestasi yang ‘kodi-kodi’ kat universiti kita. Sepercaya Soo Universiti bukanlah tempat untuk pensyarah dan pegawai yang ‘kodi-kodi’ tu,”  Soo bertanya kepada kepastian Sani.

“Di mana mana pejabat pun ada pegawai yang ‘kodi-kodi’ tu. Termasuk juga di universiti kita,” Sani menjawab selamba.

“Pada kamu Sani, di universiti kita berapa persen pegawai yang ‘kodi-kodi’ tu?” Soo bertanya seperti ingin mengetahui.

Aku terus memasang telingaku dengan cermat terhadap perbualan yang topiknya sangat interesting.

“Peratusnya saya tak pasti. Sebab tak sempat untuk berurusan dengan semua. Lagi pun hal ini mesti dilihat secara ilmiah yang perlukan penyelidikan yang mampan dan sempurna. Tak boleh sembarangan tau,” Sani menjawab.

“Setuju tu kerana kita diajar universiti begitu. Tak boleh pakai hentam ikut suka hati saja dalam hal ni, salah besar tu. Akhirnya  jika begitu kita tidak akan yakin lagi dengan ilmu,” kata Soo bersetuju dengan Sani.

“Betul tu Soo..kita mesti setia, amanah dan bijak bila berurusan dengan ilmu. Kalau yang betul kita kena kata betul, begitu juga sebaliknya.  Mahasiswa mesti dokong nilai-nilai suci ini, macam Nik dan Angah tuu!” kata Sani mengakui pandangan Soo.

Mereka diam seketika. Aku masih tetap bersama mereka.

“Soo, kamu fikir Encik kita yang di depan yang sedang tidur ni, termasuk tak dalam gulongan pegawai yang ‘kodi-kodi’ tu, seperti kita sebut tadi,” kedengaran Sani bertanya Soo lagi.

“Mana saya tahu, awak yang buka hal ‘kodi-kodi’ni. Awaklah jawab,” jawab Soo pantas memulangkan balik pada Sani.

Sani diam seketika, kemudian bersuara

“Pada saya Encik kita ni termasuk juga dalam ketogori pegawai yang ‘kodi-kodi’ tu,” kata Sani

“Tapi kamu juga kata dia banyak kerja dan tanggung jawab, tentulah Encik kita ni pegawai yang baik-baik kerjanya. Bukan pegawai ‘kodi-kodi’ seperti yang kamu maksudkan itu,” kedengaran Soo membantah.

“Kamu mesti faham, kalau seseorang pegawai tu baik dengan pelajar tak semestinya dalam kerja hakikinya yang lain dia bagus juga, tau!” Sani menjawab.

“Itu saya boleh terima,” Soo menjawab.

Mereka diam seketika. Mungkin kata-kata Sani terhadap aku itu menjadikan mereka tergamam untuk meneruskan sembang-sembang keretapi mereka. Namun aku faham bahawa mahasiswa selalu bercakap mengenai pegawai atau pensyarah mereka di mana-mana pun kerana itu hak mereka.

“Terima kasihlah Sani, saya dah ngantuk ni tapi adakah kita nak meneruskan hajat kita awal tadi dengan Encik kita ni,” Meng Soo bertanya Sani.

“Usah ganggu dia. Esok pagi saja kita maklumkan padanya ketika bersama pengarah ekspedisi,” jawab Sani dengan nada yang semacam saja, mungkin badannya digoyang-goyang manja bila menyebut nama pengarah ekspedisi.

“Cakap tu elok-elok sikit ye! Yang ini tentu belajar dari Awi ni!” Soo mengingatkan Sani

“Ehh, ada yang salah ke?” Sani bertanya.

“Nada tuu, geglek-gelek badan lagi macam perli Soo saja,” terdengar aku Soo memberi amaran.

“Kalau saya menjadi Saniiiah, saya akan berlumba dengan kamu Soo untuk memiliki hati pengarah ekspedisi tu. Mahu saya tolak kamu, biar kamu rebah dan tak dapat peluk Nik,” Sani mengakui kelakarnya tadi mengandungi maksud.

“Bagus kamu kekal sebagai Sani bukan Saniiiah. Tapi jangan di tengah-tengah, jadi Si Lembut pulak. Kam tak ada yang lembut tau!” kedengaran Soo menjawab selamba sambil ketawa kecil.

Selalu mereka begitu. Berdiskusi dengan serius, membongkar seluruh isi alam ini untuk disusun dan digubah menjadi hujah. Mereka dengan gembira melakukan seperti itu berulang kali tanpa mengira tempat. Kekadang makan minum pun mereka lupa! Cuma bilamana iklim perdebatan sedang memuncak tiba-tiba saja mereka menukar warna menjadi kelahi antara mereka. Gaduh-gaduh intelektual mengikut faham mereka! Begitulah cerianya hidup remaja yang bergelar mahasiswa.

“Ok lah. Kita tidur di sini saja, menemani pegawai HEP yang kamu sayang ni! Besok kita uruskan hal itu. Selamat tidur wahai Tuan Puteri Lembah Lebir yang putih kuning. Tuan seorang yang baik hati! Maaf ye kalau ada yang tersinggung!” kata Sani pada Soo.

“Kata kamu tu Sani, sebijik macam kata seniman KAM kita yang tak cukup kari….., seniman Sazali!”

 

Leave a Reply

Top