You are here
Home > Sastera > Juara Adalah Kesan

Juara Adalah Kesan

Satu pagi yang riang, semua riang gembira kerana hari debat telah pun bermula. Pendebat-pendebat dari universiti lain telah tiba tiga hari lebih awal, tiba untuk melakukan persediaan sekemas mungkin bagi menuntut bela kekalahan lalu.

Para pendebat lain tidak sebulu dengan pendebat juara dan naib juara tahun lalu kerana pendebat-pendebat itu sangat suka bergaya dengan sejarah lalu. Kadang-kadang mereka bagai burung merak yang mengembang dan mengirai bulunya di mana-mana pun. Mereka tidak mahu senyum atau menegor pendebat-pendebat dari pasukan lain jika mereka tidak disenyum atau disapa terlebih dahulu oleh pendebat lain.

“Hai Mat! Malam tadi ke baru sampai?” tegur seorang pendebat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Semalam sampai. Kami buat persediaan di Serdang, sebab tu sampai lewat ni,” kata Mat menjawab.

“Baguslah, itu satu semangat yang luar biasa tu. Macam kami datang tiga empat hari awal memang bertujuan mengubah sejarah lalu,” kata kawan dari UKM yang suaranya sengaja dikuatkan bagi didengar oleh pendebat dari pasukan juara dan naib juara tahun lalu yang kebetulan berada berhampiran.

“Betullah kawan. Kita mesti belanja berbilion-bilion ringgit membeli senjata kalau mahu berperang dengan US atau Rusia, baru kita boleh menang perang itu, ini nak berperang pakai senapang patah, buat apa?” kata Mat.

“Hujah baik tu, nanti boleh pinjam ke?” kata kawan memuji secara bergurau.

“Yang kedekut itu manusia, ilmu tak pernah kedekut!” balas Mat sambil ketawa.

“Terima kasih, point tu lagi bagus. Aku pinjam ye!”kata kawan dari UKM sambil beredar dari situ.

Dr. Farah yang berada di situ terus sahaja menyampuk marah…

“Mat, kamu tidak boleh begitu, tau. Itu bertentangan dengan etika debat. Saya arahkann kamu supaya tidak buat lagi macam tu. Tak boleh beri point pada lawan,” Dr. Farah marah pada Mat.

“Alahai, gitu ke? Saya tak sedarlah!” kata Mat tak mahu memanjangkan hal-hal yang tersalah faham itu.

“Nasib baik saya ada, kalau tidak macam-macam boleh jadi. Sebab tu kita kalah dulu..,” berkata lagi Dr. Farah.

“Dulu pendebat lain, sekarang ni semuanya pendebat baru,” Milah masuk campur memberitahu Dr.Farah

“Dulu atau baru sama saja. konsep debat tak berubah!” Dr.Farah mematah kata Milah.

Sementara itu Mus segera berbisik..

“Garangnya dia, aku cubit punggung tu baru dia tahu,” bisik Mus pada Kamal dan Mat.

Ketiga-tiga mereka ketawa berdekah-dekah kerana bisik Mus tadi itu terpancut keluar secara semulajadi, cuma hanya perlahan saja.

“Apa ketawa ketawa sampai macam tu, macam kerbau datang bulan saja!” Dr.Farah marah lagi.

“Begini Dr., Mat  jatuh katil malam tadi kerana satu mimpi yang ngeri.” Kata Kamal.

“Mimpi apa, Mat?” Tanya Dr. Farah yang marahnya belum surut.

“Mimpi kita jadi juara,” Mus tolong jawabkan.

Ketawa mereka berderai lagi. Kali ini Milah dan Lynda turut sama.

Kelihatan urusetia pertandingan sibuk mengedarkan maklumat mengenai pertandingan. Semua pendebat sibuk berbincang perancangan dan strategi masing-masing dalam menghadapi lawan.

“Bagus, yang pertama ni kita menghadapi UIA. Lawan yang hebat, tajuknya pula sangat menarik… ‘Hak asasi lebih penting daripada keamanan.’

“Semua lihat tajuk ini, kita pembangkang. Saya, Milah dan Kamal akan turun. Saya pendebat pertama dan Milah yang ketiga,” kata Mat.

Dr. Farah segera mencelah…

“Saya tak yakin kamu boleh menang. Boleh tak Kamal ni diganti dengan Mus?” Dr. Farah memberi pandangan.

“Dalam hal ini muktamat. Kata saya ialah keputusan. Tajuk ini sesuai untuk kami bertiga tadi,” Mat mempertahankan keputusannya dengan suara yang tegas.

“Tapi, Mus lebih petah daripada Kamal ni,” Dr. Farah meminta lagi.

“Pada saya kami semua ni petah berdebat. Kalau Dr. ganggu saya macam ni, saya akan tarik diri dan Dr. ganti tempat saya, saya akan balik Serdang. Saya semak dengan pejabat dekan tentang resume Dr. dan maklumat yang saya dapat Dr. tidak langsung mempunyai pengalaman debat dulu!” Mat marah sangat.

Dr. Farah diam. Terasa dia yang dengan Mat ada perkara yang dia patut berlembut dan ada perkara yang dia patut bertegas. Mereka berenam berjalan menuju dewan debat.

“Kalau Kamal tak perform, nanti macamana?” Dr. Farah bertanya lagi.

“Kalau dia tak perform, dia akan bersyair di atas pentas. Syair Siti Zubaidah., Freud (Kamal) tu pandai bersyair,” jawab Mat yang sedang meradang.

Kamal senyum saja melihat kawannya berbalah dengan Dr. Farah mengenai dirinya. Sementara itu Lynda menghampiri kekasihnya…

“Rahmat sayang.., bawalah bertenang. Jangan sampai hal ini mengganggu pertandingan debat kita nanti. Lynda yakin Rahmat boleh!” kata Lynda perlahan sambil memengang bahu kekasihnya.

“Terima kasih, saya sedang memberitahu dia sesuatu, cukuplah dengan apa yang dia dah ganggu kita dari hari semalam lagi,” Mat menjawab dengan tidak memandang sayangnya itu.

Seharian mereka bertanding sampai ke malam. Setiap pasukan bertanding sebanyak empat kali. Keempat-empat kali itu pasukan UPM menang. Milah, Kamal dan Lynda terpilih sebagai pendebat terbaik bagi tiga daripada empat pertandingan yang telah mereka menangi.

“Esok kita ada sekurang-kurangnya tiga lagi perlawanan, kalau kita menang ketiga-tiga ni kita akan ke semi final,” kata Mat.

“Suka saya kita menang semua hari ini. Saya dah sms pada Dekan,” kata Dr. Farah.

Tiada siapa pun memberi respon pada kata Dr. Farah itu. Masing-masing telah keletihan.

“Mat, kamu ni macam tak ada strategi aje. Esok kamu kena tentukan yang terbaik saja yang bertanding dari pagi sampai ke final. Tiga orang tu saja!” Dr. Farah mengarah lagi.

“Apa yang saya buat tadi tu strategilah Dr.,” jawab Mat.

“Itu bukan strategi. Strategi saya untuk jadi juara,” kata Dr. Farah tidak bersetuju dengan Mat.

“Kalau kita jadi juara pun, itu adalah kesan. Kesan dari sesuatu yang telah kita lakukan secara sungguh-sungguh dengan penuh perkiraan dan percaturan,” jawab Mat.

“Kamu ni dah biul ke, ada pulak juara itu kesan. Juara tu juaralah, johan tau! Itu yang kita nak. Kita mahu universiti kita dipandang tinggi,” kata Dr. Farah menidakkan pendapat Mat.

“Saya tak mintak Dr. percaya pada kata saya dan saya pun tak perlu minta bantuan daripada kawan-kawan saya supaya menyokong saya. Pada saya, juara tak penting kerana ia adalah kesan daripada satu usaha yang sungguh-sungguh. Usaha itu yang penting daripada segala-galanya, johan datangnya secara automatik bila kita telah berusaha bersungguh-sungguh,” Mat menjawab selamba.

“Kita bercakap hal penting ni, hal psikologi pemenang,” Dr.Farah berkata lagi.

“Dan yang saya bercakap ni pun hal psikologi pemenanglah ni, kerana usaha yang sungguh-sungguh itu akan jadi budaya diri. Saya tidak suka kalau kita menang sekali saja. Saya mahu kita menang sampai bila-bila dan dalam apaapa bidang pun, sebab itu saya percaya bahawa juara adalah kesan sahaja,” Mat menjawab lagi.

“Tapi yang kamu sebut itu lain. Apalah mahasiswa tempatan macam ni fikirnya, tak mau jadi juara ke? Kolot sungguh!” Dr. Farah mula terus-terusan mengomel.

“Halaman kita bermain berbeza, tapi tidak semestinya fikiran kita berbeza. Tapi nampaknya dalam hal ini fikiran kita berbeza. Kalau saya ikut primis fikiran Dr., hanya saya Milah dan Freud saja yang akan jadi pendebat. Lynda dan Mus tidak akan naik ke pentas. Mereka berdua ni mempunyai kelebihan masing-masing. Tengok tadi, saya tak dapat pun pendebat terbaik walau pun dua kali saya bertanding tapi Lynda dua kali naik pentas, dua kali dapat pendebat terbaik!” Mat memberi jawapan lagi.

“Ya! Itu yang saya nak..,” Dr.Farah cepat mencelah.

“Falsafah pengurusan abad dua puluh satu dah berubah, ketua tidak penting lagi. Pengikut yang dibawah ni yang penting, beri tanggungjawab yang lebih besar dalam makna tidak ada pantau-pantau atau tidak ada tarik-tarik hulur dan tarik balik kuasa yang diberi. Bila begitu mereka akan bersungguh dan akan berjaya. Ketua hanyalah fasilitator! Tak nampak ke apa yang sedang saya lakukan..,” Mat menghurai lagi.

“Itu yang saya tak setuju!” Dr. Farah tetap dengan pendiriannya.

“Bukankah hujah ini saya gunakan dalam penggulungan debat sebentar tadi. Saya yakin hujah inilah secara psikologi telah mempengaruhi juri hingga memilih pasukan kita menang ke atas pasukan Universiti Malaya (UM) tu,” Mat berdebat hebat dengan pensyarahnya.

Dr. Farah menung sekejap, mungkin dia sedang mengingati kembali detik-detik pasukannya berdebat dengan pasukan UM tadi.

“Saya masih tak bersetuju, di mana yang juara tu hanyalah kesan,” Dr. Farah masih dengan pendiriannya.

“Bukankah saya mengubah-ngubah pendebat kita termasuk diri saya sendiri. Ini saya lakukan berasaskan tajuk. Lihat tajuk-tajuk yang diberi, tajuk pertama lebih berteraskan teori dan konsep, tajuk kedua mengenai kemanusiaan dalam kegiatan ekonomi, ketiga menyentuh kuat hal kenegaraan, dan yang keempat…sori, saya dah lupa..,” Mat berhenti seketika.

“Kamu gagal menjawab soalan saya,” Dr, Farah berkata.

“Pokoknya, kelima-lima kami naik ke pentas, berlawan debat. Semua kami seronok, kami merasai susah, kami rasa teruja dan mengerti kerjasama antara kami sangat penting waktu itu, kami rasa tiada dengki, tiada ego. Kami rasa nilai yang positif saja. Inilah yang paling penting sekali bagi saya. Sebab itu juara tidak penting kerana ia hanya lah sebuah kesan. Kesan daripada satu perjuangan yang penuh pahit dan manis kemanusiaan,” kata Mat lagi.

“Saya tetap tak setuju dengan fikiran kamu. Mana mungkin juara adalah kesan. Nanti kamu kata gaji saya yang setiap bulan itu juga adalah kesan!” kata Dr. Farah yang masih tidak dapat menerima.

“Memang pun, pada saya gaji bulanan yang Dr. terima tu ialah kesan, tak kiralah apa kerjaya sekali pun, NC ke atau pekerja ladang ke. Semua orang yang makan gaji, gaji itu ialah kesan, kesan daripada satu kerja yang telah dilakukan dengan sungguh-sungguh. Pada saya kerja maknanya ialah mencari pengetahuan, bukan mencari gaji,” Mat menjawab.

“Rendah sungguh pemikiran mahasiswa tempatan kalau dibandingkan dengan mereka yang mendapat pendidikan di luar Negara macam saya ni,” Dr. Farah memberi pendapatnya.

“Mungkin betul kata Dr. tu. Kami di sini hanya makan nasi lemak dan Yong Taufu. Sebab itu akal kami hanya macam otak sebesar seluang saja,” Mat menjawab lagi.

“Sebab itu kena ikut fikiran saya, bukan fikiran kamu,” kata Dr, Farah lagi.

“Saya menerangkan apa yang ditanya tadi. Saya tak berniat pun memaksa Dr. mempercayai hujah saya. Tapi dalam hal debat di sini, saya hanya akan mengubah pendirian saya kalau pendirian saya kalah dengan justifikasi Dr. yang kuat. Setakat ini saya lihat justifikasi Dr. sangatlah rapoh,” kata Mat dan menyambung…

“Saya sebagai pelajar, minta maaf kalau ada yang terkasar atau sesuatu yang tak sedap didengar telinga.”

Dipetik dari novel Mahasiswa Alaf Baharu:MatMilahLynda.

Leave a Reply

Top