You are here
Home > Satira > Hutang Cinta Yang Ku Pinjam

Hutang Cinta Yang Ku Pinjam

Ketika aku sampai di puncak, mentari bergayut berat di ufuk barat. Sekejap nanti senja akan datang menjemput malam, dan mentari pun segera memujuk unggas untuk berehat, bagi menanti hari esok pula.

Setelah aku mengambil dudukku, pandanganku ku arah tepat ke Jambatan Ke Dua. Ia mercu tanda, citra bangsa merdeka. Gagah ia berdiri menghubungi tanah besar Semenanjung dengan pulau tempat tumpah darah ku ini. Cahaya mentari yang lewat itu, berwarna kekuningan menampar lemah jambatan sekaligus membangkitkan sayuku terhadap kehidupan ini. Pulau Aman dan Pulau Jerjak yang menjadi latar kepada jambatan itu turut menerima mentari petang, telah turut menambah sayu dan rundungku.

Usiaku telah hampir dengan angka tujuh puluh. Sebab itu aku sering sayu bila aku menelaah riwayat hidupku, yang berlatar alam dahulu dan kini yang aku sebut seperti di atas. Kasihan aku kerana menanggung beban sayu itu, beban tua!

Sekarang aku seorang persara kerajaan. Setiap bulan aku mendapat pencenku dan itu membolehkan cucuku Umar sering tersenyum kerana ada coklat untuknya. Suka dia! Apapun, melihat dari satu sudut, cucuku juga turut menerima secara terus limpahan kasih dan cinta dari negara.

Dari puncak aku melihat kebawah, kekampung lahirku Teluk Tempoyak. Namanya diambil dari tempoyak yang banyak di sana, duriannya tidak dapat dijual kerana tiada jalan perhubungan dengan dunia luar waktu itu. Yang ada hanya lorong kecil melalui bukit yang curam untuk pejalan kaki dan melalui laut yang ternyata mengikut jadual alam, pasang surut.

Teluk Tempoyak ialah kampong nelayan, tempat atukku menangkap ikan. Atukku taukeh, kepala belat. Sejak aku berumur lima tahun, orang tua itu sudah mengajar aku berenang. Beliau mahu aku menjadi nelayan dan mewarisi kebijaksanaannya berbelat di laut.

Bapaku tinggal di Batu Maung, di bawah bukit sana, di belakangku. Bila aku bersama bapaku dia membawa aku ke sawah. Dia mengajar aku bersawah. Bila musim kering dia membawa aku kebukit menoreh getah. Pagi-pagi buta lagi dia mengejutkan aku untuk menoreh. Dia berpesan sangat padaku agar aku kuat bekerja untuk menjadi penoreh dan pesawah berjaya.

Kekadang aku melihat Atuk dan Bapaku memakai pakaian seragam putih berbaris bersama yang lain. Berlatih berjalan, berkawad. Bersemangat sekali mereka berkawad. Semasa berkawad mereka sering menyebut serentak kata-kata MERDEKA!

Tahun 1956 aku kesekolah, Sekolah Umum Batu Maung. Aku tidak pakai kasut sebab tidak ada kasut, seperti Atuk dan Bapaku ketika berkawad. Aku berseluar pendek dan tak berbaju. Bukannya luar biasa itu, kerana semua murid seperti aku.

Sekolahku sekolah atap. Kalau hujan tiris, sibuk kami kesana sini di dalam kelas itu lari dari tirisan hujan. Tiada kipas, berlantai tanah berdinding papan yang robek-robek. Bukuku ialah papan batu yang kekadang aku mencucinya dengan air ludahku.

Kami belajar tiga subjek waktu itu. Sabjek kira-kira, bahasa dan berkebun. Menjadi murid pada sistem pendidikan penjajah, ternyata aku dilatih untuk menjadi petani. Sebahagian besar waktu bersekolah aku dan kawan-kawan diajar membuat batas dan menanam sayur, ubi dan kacang. Orang Putih tidak mahu orang Melayu jadi pandai. Satu kelas menjadi seronok bila berkebun.

Tiba-tiba datang 31 ogos 1957. Malaya merdeka! Waktu itu aku ternganga-nganga tidak tahu apa-apa. Apa yang merdeka akan bawa pada Atukku, orang tuaku atau kepada aku. Aku tidak tahu. Tahu aku hanya mahu menjadi nelayan atau pesawah. Atau penoreh getah atau pun petani seperti yang diminta British. Aku bersedia bermain dengan keringat yang dibekal oleh tulang empat kerat.

Aku gagahi bersekolah. Kawan-kawanku ramai yang berhenti. Kata mereka, hidup mereka punya tujuan sedang aku tidak kerana tidak ada contoh teladan. Sebab Negara baru merdeka. Aku terus belajar. Masuk Sekolah Lanjutan, Sekolah Menengah. Orang kampungku tidak sedar, tidak tahu yang aku bersekolahpun.

Rupanya dalam keadaan yang payah negara yang berkerajaan merdeka ini telah menyusun jalan-jalan pendidikan yang kukuh tapi penuh dengan halangan dan kekurangan. Kekurangan kerana negara miskin. Tetapi merdeka menyebabkan impian tidak miskin, merdeka menyebabkan cita-cita tidak miskin, merdeka menyebabkan keinginan tidak miskin, cita-cita pendidikan dipacak di puncak gunung, ternyata tidak miskin. Itu rupanya nikmat merdeka! Aku turut.

Aku menyambutnya walau aku tidak mengerti arah tujuan. Di sudut hati aku yakin akan jalan pendidikan yang ditaja rasa merdeka pertiwi. Ibu pertiwi berbisik padaku.., “Kehidupan ini adalah permainan selangkah demi selangkah. Harungi dengan sungguh, jujur, penuh perkiraan dan percaturan.”

Akhirnya aku sampai di Universiti Malaya pada tahun 1970. Terima kasih ibu pertiwi kerana cinta pendidikanmu itu padaku. Cintamu yang berupa sistem, Cintamu yang berupa wang, cintamu yang berupa sekolah dan universiti, cintamu yang berupa guru-guru, cintamu yang berupa perpustakaan dan pelbagai lagi cinta-cintamu. Meski cintamu kaya dengan kekurangan tetapi sekali kamu memberinya kepadaku, kamu tidak pernah kesal dan tidak bermasam muka. Dan aku menatangnya dengan lahap tetapi penuh cermat.

Aku cerna cinta itu. 1973 aku menjadi siswazah! Kejayaanku itu menjadikan aku peminjam cinta, cinta pendidikanmu padaku duhai Ibu Pertiwi.
Atukku dan Bapaku telah pergi. Mereka disemadikan di bumi yang sama, bumi tempat mereka dilahirkan. Mereka datang sebagai nelayan dan pesawah. Mereka pergi sebagai nelayan dan pesawah juga. Mereka tinggalkan aku di pangkuan cinta bumi merdeka. Mereka tidak dapat, tidak sempat melihat maknaerti dan nikmat merdeka. Mereka hanya sempat merasai susah payah, pedih dan pahit perjuangan untuk merdeka. Aku jenuh menangis!

Senja telah menjelang. Angin senja meniup perlahan membasuh dan membelai bunga-banga rerumput. Aku bangun dari dudukku. Ku pandang sekali lagi jambatan ke Dua sebelum melangkah turun. Mercu itu tetap gagah malah bertambah.

Semasa menuruni bukit, aku tenggelam dalam makna kata-kata awal, judul kes studi ini. Rasaku bersemi dengan ibu pertiwi kerana merdeka bersama didikannya, dalam erti dan makna, HUTANG CINTA YANG KU PINJAM!

KATA BESTARI:
“..Akan kupetik bintang timur, menjadi keronsang menyinari dadamu, akan ku jolok bulan gerhana, menjadi lampu menyuluhi rindu.” Puisi Kekasih: Usman Awang.
“..Siapa saja menjadi dewasa, sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa, dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca,” Puisi Guru: Usman Awang.
“Bibir bonda bersih lesu. Pernah dahulu mengucup dahiku, kini kurakan kasihnya lagi, meski jauh dibatasi bumi.” Puisi Ke Makam Bonda: Usman Awang.
“Pisang emas dibawa belayar, masak sebiji di atas peti, hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati.” Pantun Melayu.
“Pulau Pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga, hancur badan dikandung tanah, budi yang baik dikenang juga”. Pantun Melayu.
“Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri kita, lebih baik negeri kita.” Perpatah Melayu.
“Di mana tanah dipijak, di situ langit dijunjung.” Perpatah Melayu.

Leave a Reply

Top