You are here
Home > Serius > Setiap Orang Memiliki Buraq

Setiap Orang Memiliki Buraq

DALAM ayat pertama Surah Al-Isra telah menceritakan berlakunya peristiwa perjalanan Rasulullah S.A.W daripada Masjid Haram di Makkah ke Masjid Aqsa di Palestin.

Perjalanan israk dari Makkah ke Palestin itu dikatakan secara horizontal, manakala Mikraj berlaku secara vertikal menuju alam penghujung atau disebut sidratul muntaha.

Kenderaan yang membawa Rasulullah dalam peristiwa bersejarah itu dikatakan menggunakan buraq, yang digambarkan sebagai seekor kuda bersayap.

Sejarawan sirah berbeza pendapat tahun berlakunya Israk dan Mikraj.

Dari segi sambutan, banyak negara Islam termasuk Malaysia menyambut pada 27 Rejab dan untuk tahun ini jatuhnya pada 24 April 2017.

Dalam buku sirah terkenal Al-Raheeq Makhtum karya Sofiy Al-RahmanAl-Mubarakpuri, beliau cenderung kepada berlakunya pada tahun selepas Perjanjian Aqabah pertama, iaitu selepas Tahun ke-9 daripada tahun dilantik menjadi Nabi.

Imam Nawawi dan Al-Qurtubi yang dipetik olehnya menyatakan pada tahun ke-5. Ada juga menyatakan pada tahun -13 dan ada juga menyatakan berlaku setahun sebelum hijrah.

Ahli astronomi yang juga ulama Mesir, Mahmud Pasha pula dikatakan berpendapat berlaku tahun ke-9.

Ubaidillah Sindhi juga menyatakan tahun ke-9, sama seperti mana Nabi Musa a.s bertemu Allah di Thuwa Muqaddas – ketika dalam perjalanan ke Mesir, selepas selesai membayar mas kahwin membela kambing selama 8 tahun dengan anak Nabi Syuib.

Surah al-Isra memberi beberapa isyarat.

Baitul Muqadis merupakan tempat berkat umat manusia kerana di situlah lahirnya banyak nabi yang mewarisi perjuangan Nabi Allah Ibrahim melalui anaknya Ishak.

Rasulullah diperjalankan ke Baitul Muqadis (Rumah Suci) untuk mengambil pengajaran nabi-nabi terdahulu, untuk dimanfaatkan bagi menggerakkan sebuah perjuangan, kerana beliau penutup kepada semua nabi (khatamun nabiyin).

Menurut Ubaidillah Sindhi, Mikraj Nabi S.A.W dan Musa mempunyai persamaan. Lima tahun selepas nabi Musa bertemu Allah, berlaku kiamat atau revolusi jatuhnya kerajaan Firaun, bebasnya kaum Yahudi yang diperhambakan Firaun.

Lima tahun selepas Israk Mikraj Rasulullah, berlaku kiamat luar biasa iaitu Perang Badar. Perang Badar meruntuhkan kerajaan Abu Jahal yang menguasai Makkah.

Menurut Mubarakpuri, perkaitan surah Isra dengan ayat-ayat seterusnya mengenai Yahudi yang menguasai Baitul Muqadis, memberi pertalian yang erat dari segi perjuangan Nabi Musa dengan Nabi Muhammad dan itulah juga pertalian ayat pertama surah berkenaan dengan ayat seterusnya.

Kebanyakan sejarawan bersetuju berlaku Israk serentak dengan mikraj, atau dikatakan perkara yang sama.

Dan, kuda bersayap atau buraq sama membawa Rasulullah.

Apakah spesies buraq secara fizikal wujud di alam nyata?

Persoalan ini menjadi perdebatan para sarjana yang mengaitkan sama ada Israk dan Mikraj ini adakah peristiwa itu berlaku dengan jasad atau ruh?

Tiga pendapat masyur:

1. Berlaku dalam kesepaduan jasad dan ruh
2. Berlaku secara ruh sahaja seumpama dalam mimpi
3. Berlaku dalam keadaan ruh bersama dengan jasad misali.

Syah Waliullah Ad-Dehlawi, seorang ulama pakar Quran, Hadis dan Sufi memilih pilihan ketiga.

Ini bermakna ianya berlaku dengan jasad misali yang serupa dengan jasad jasmani. Jasad jasmani masih tinggal di rumahnya.

Jasad misali yang boleh bergerak dan menembus alam rohani.

Dalam maksud yang sama, kita boleh faham, buraq juga satu gambaran kuda terbang misali.

Perkataan misali ini mungkin tidak biasa bagi mereka yang kurang menelaah buku-buku ahli sufi.

Secara umumnya, alam ini dibahagikan kepada dua – alam fizikal dan alam ruhani yang dinamakan alam misal. Sukar untuk menggambarkan perkara ruhani dan inilah sebabnya alam misal itu dikatakan alam dalam kotak imaginasi ‘fikiran Allah’.

Dalam karyanya Sirrul Asrar, Syeikh Abdul Qadir Jilani menyebut alam keseluruhan boleh dibahagiakan kepada empat.

1. Alam Fizikal/syahadah
2. Alam Malakut
3. Alam Jabarut
4. Alam Lahut

Kecuali alam syahadah, ketiga-tiga alam lagi itu dinamakan alam misal. Syurga, neraka dan perjalanan Rasulullah ketika Israk dan Mikraj berlaku di alam misal.

Jika dalam alam syahadah, semakin tinggi kita menaiki kita memerlukan bantuan peralatan lain, memungkinkan tekanan dan oksigen mencukupi.

Dalam sains, jika ke bulan tanpa menggunakan sebarang peralatan, gegendang telinga akan musnah dan pernafasan tidak boleh berlaku, apa lagi persekitaran di situ tidak menyediakan oksigen.

Manusia akan mati.

 

Untuk bergerak memasuki alam lebih tinggi, lebih halus yang disebut oleh Syeikh Abdul Qadir itu, tidak mungkin boleh dilakukan melainkan melalui persediaan dan memiliki peralatan keruhanian.

Memerlukan Buraq

Indahnya ciptaan Allah terhadap semua manusia, sebahagian peralatan kerohanian itu sudah sedia ada.

Hakikat manusia ialah ruh. Ruh tidak mati. Ia boleh ‘hidup’ di alam lain.

Dalam istilah Syah Waliullah dan ahli falsafah lain seperti Ibnu Sina, menusia terdiri daripada:

1. Badan Fizikal
2. Lapis kedua – nasamah, disebut juga ruh haiwani
3. Lapis ketiga – Ruh Natiqah, disebut juga ruh malaikat
4. Lapis keempat – Ruh Malakuti atau disebut juga ruh illahi.

Oleh demikian, kata Syah Waliullah dalam Jilid ke-2 Hujjatullah Al-Balighah, Buraq ialah simbolik kepada keupayaan ruh natiqah dalam menunggangi ruh nasamah.

Nah, ini bermakna semua orang ada Buraq.

Cuma sebahagian kita Buraq dipenjara dalam jeriji besi yang paling kuat. sebahagiannya dipenjara dalam bilik yang mempunyai satu dua lubang dan ada orang yang Buraqnya boleh terbang ke mana-mana dalam melakukan pengembaraan ruhani.

Mikraj, mengikut kata pengarang yang sama, boleh berlaku bukan sahaja kepada Rasulullah, malah berlaku juga kepada auliya. Literatur sufi seperti Abu Yazid Bustami, Junaid Baghdadi, Imam Ghazali menulis hal-hal ini secara lebih terperinci.

Rasulullah juga pernah berkata, solat merupakan mikraj orang mukmin.

Untuk itu, sempena memperingati Israk dan Mikraj ini, elok kita menyemak diri masing-masing adakah nafsu kehaiwanan kita dapat dipandu oleh jiwa kemalaikatan atau jika kemalaikatan terpenjara dalam jiriji besi tertutup gelap gulita.

Golongan nabi adalah pemimpin ummah kerana jiwa kehaiwanan mereka yang kuat tetapi berjaya dipimpin oleh ruh kemalaikatan yang juga kuat, hingga menjadikan mereka terpelihara dalam melakukan dosa.

Pendosa, seperti kita, selalunya jiwa kehaiwanan menguasai diri dan terbius dengannya.

Ruhani muthmainah golongan nabi bersinar sehingga bergabung dengan malaikat, dan hadis sahih menyebut ketika Rasulullah hampir wafat beliau berdoa: “Hubungkanku Dengan Malaikat Tertinggi (Rafikul A’la)”

Leave a Reply

Top