You are here
Home > Sastera > JAJA Pendekar Melaka – Bab 4

JAJA Pendekar Melaka – Bab 4

Tatkala mentari mencapai dhuha, Jaja melangkah  meninggalkan pondok tempat dia bermain dan hidup bersama gurunya. Beberapa langkah berlalu dia menoleh kebelakang memerhati pondok yang telah mengukir sejarah dirinya. Dia menadah kedua tangannya lalu berdoa..

“Demi kemuliaan Hari Jumaat; Ya Allah yang nyawaku di tanganMu, peliharalah diriku semasa perjalanan ke Melaka sehingga bertemu dengan Tun Perak, adinda guruku. Semasa perjalananku lapangkanlah langkahku dan lindungilah aku dari bahaya angkara manusia, haiwan dan bencana alam. Hapuskan segala hantu syaitan yang menghalang perjalananku. Musnahkan siapa saja yang berlaku zalim dan berniat jahat keatas diriku. Berkat dariMu ya Allah, aku mengakui tiada Tuhan lain yang aku sembah melainkanMu ya Allah dan Muhammad itu PersuruhMu. Amin!”

Jaja meneruskan perjalanan. Semasa perjalanan menuruni banjaran, Jaja mengingati kembali detik-detik suka duka bersama gurunya.

Teringat Jaja bagaimanana gurunya telah memelihara dan menjaganya sejak kecil lagi dengan penuh kasih sayang, kasih sayang seorang atuk. Namun ketika mengajar Jaja bersolat dan membaca Al Quran serta berzikir, gurunya bukan lagi memakai baju seorang atuk.

Teringat Jaja bagaimana gurunya memandikannya dengan air gunung yang sejuk segar itu. Dia diajar mandi secara pendekar “…Mandi nur mandi cahaya, mandi di dalam balang kaca,” oleh gurunya. Kata guru mandi jenis Ayat Sembilan itulah yang mencuci tubuh anggota luar dan dalam menjadi bersih, maka dengan bersih itulah kita bersolat mengadap dan berjumpa Tuhan.

Ketika bermandian itu gurunya selalu mengajaknya berlawan menyelam, siapa yang lama menyelam. Di waktu kecilnya dia teringat yang dirinya selalu menang. Namun kemenangannya berada lama di dalam air hanyalah mainan dan ajaran gurunya semata. Dengan masa yang berlalu tahulah Jaja yang gurunya bertujuan menurunkan ilmu penafasan pendekar kepadanya. Ilmu itu dapat mengatur perjalanan nafas menjadikan dirinya selesa, terutama waktu bertempur secara pendekar. Dipelajarinya ilmu itu setiap kali mereka mandi.

Jaja tersenyum mengingatkan beberapa kelakuan gurunya yang lucu lucu ketika mereka bermandi manda bersama. Sekarang tahulah dia yang gurunya bertujuan menghiburkan dirinya sambil mengajar ilmu pendekar.

Teringat lagi Jaja akan mainan gurunya dengan berlawan terjun dari tebing sungai ketakungan air gunung itu. Berlawan terjun siapa yang jauh, siapa yang tinggi dan siapa yang pandai berpusing di udara. Seperti selalunya, dirinya sentiasa menang dan gurunya pula sentiasa kalah.

Kata guru mandi jenis Ayat Sembilan itulah yang mencuci tubuh anggota luar dan dalam menjadi bersih, maka dengan bersih itulah kita bersolat mengadap dan berjumpa Tuhan.

Tapi bilamana dua batang besi dilekatkan di kedua kakinya nyatalah pada Jaja yang dia tidak lagi mampu melambung tinggi dan melompat jauh seperti gurunya. Lalu gurunya mengajar dia ilmu lompat melompat yang akhirnya Jaja dapat menguasai Ilmu Meringankan Tubuh. Dengan ilmu itulah Jaja dapat melompat tinggi dan jauh bagai terbangnya si kubung yang mempunyai sayap yang berupa sebahagian dari susuk badannya.

Di takungan air sungai itulah gelanggang latihannya. Setiap kali dia mandi di situ, dia mandi bersama latih tubi pendekar ajaran gurunya.

Jaja menghentikan langkahnya seketika lalu menghalakan  pandangannya kearah huma mereka yang padinya baru saja dituai. Dia teringat bersama gurunya mereka berhuma padi gunung di situ. Mereka berhuma dengan hanya menggunakan tangan semata. Demikian gurunya mengajar hidup, walau pun jari jemari dan tangannya berkali kali luka dan cedera tapi kerja-kerja berhuma secara gurunya diteruskan mereka berdua.

Akhirnya setelah bertahun lamanya kerja-kerja payah berhuma itu telah menjadi biasa kepada Jaja. Tahulah Jaja punca jejari tangan dan lengan serta tubuhnya menjadi sasa dan kuat, tangguh dan perkasa. Mengikut Guru, itulah syarat asas bagi menjadi pendekar yang tangguh.

Suatu ketika Jaja diminta oleh gurunya membuat pukulan  tangan pada sepehon pokok di hadapan pondok mereka. Pangkal pehon tempenis itu pecah dan patah lalu pehonnya rebah tumbang mencium bumi.

Mengertilah Jaja di waktu itu, sesungguhnya semua tugas dan kerja serta main-mainan gurunya adalah dasar kepada ilmu pendekar. Sesiapa yang sanggup mengharungi susah dan derita berdekat lamanya akan memiliki kelebihan berpendekar yang luar biasa. Demikian gurunya mematuhi hukum alam dalam membentuk Jaja menjadi pendekar.

“Ilmu seperti ini tidak boleh dikuasai dalam satu malam.  Jika ada ilmu seperti ini yang boleh dikuasai sekelip mata maka ilmu itu bukan ilmu yang benar,” kata gurunya memberitahu Jaja suatu ketika dulu.

“Jaja, padaku aku telah menunjukkan jalan hidup yang benar, berusahalah lagi mencarinya. Aku telah memberi bekalan dan kaedah padamu. Nanti adikku Tun Perak akan tujuk padamu kemana bekalan dan kaedah itu mesti dipersembahkan,” Jaja teringat lagi akan kata-kata gurunya.

 

.. Bab 5

Leave a Reply

Top