
Jaja meneruskan perjalanannya menuruni banjaran. Bila terasa penat dia berehat. Bila terasa jemu berjalan, dia meringankan tubuhnya melompat dari satu dahan ke satu dahan pokok yang lain, begitulah dia. Pabila malam dia membuat pondok kecil di dahan-dahan pokok yang besar untuk dia tidur. Kekadang tidurnya hanya di tanah saja. Ketika itu dia akan memasang unggun api untuk menjauhkan haiwan liar. Begitulah bermulanya sebuah perjalanan pengembaraan seorang pendekar yang mencari kebenaran. Kebenaran dalam kehidupan dan kebenaran yang kata para bijak pandai yang menyusup masuk dalam ruang waktu.
Di suatu pagi Jaja tiba di tebing sebuah sungai yang sederhana lebar tapi kelihatan semacam tenang airnya. Dia segera berhenti untuk mandi manda bagi menyegarkan tubuhnya. Jaja merendam seluruh badannya kecuali kepala untuk menikmati kesegaran air sungai yang mengalir dan alam yang memangkunya. Dia memejamkan matanya dengan perlahan dan lembut bagi menikmati sedapat mungkin akan kesegaran air sungai yang mengalir membasahi tubuhnya itu.
“Bila agaknya aku akan sampai di Melaka dan bila pula aku dapat menemui bendahara Melaka itu. Wahai Bendahara Paduka Raja, jauh sudah jalanku ini..,” berkata Jaja pada diri.
“Tak ku sangka yang guruku punya adik seorang bendahara bagi sebuah kerajaan. Tapi mengapa guruku memilih jalan untuk tinggal jauh di gunung. Jika bersama adiknya tentu lebih bermakna bagi Melaka,” fikir Jaja membedah mencari jawapan.
“Mereka mungkin berbalah..tapi kedua manusia yang berfikiran dan berjiwa besar tidak mungkin berbalah. Berbeda pandangan. Apalagi kedua mereka ini adik beradik,” Jaja cuba menelah jawapan. Puas Jaja mencari jawapan tetapi satu jawapan pun tidak dapat singgah lama benaknya.
“Anih orangnya guruku ini!” bisik hati Jaja sambil membuka matanya.
Ketika matanya dibuka, dia menghala pandangannya ke seberang sungai. Telinganya menyambar bunyi nafas manusia yang tidak teratur kerana kesakitan. Diamatinya kawasan datangnya suara manusia itu. Setelah Jaja pasti terdapatnya orang sedang menderita sakit segera dia mengambil barang-barang miliknya. Lalu terus saja berlari menyeberangi sungai menuju arah suara itu.
Jaja mendapati seorang tua sedang terbaring kesakitan akibat pukulan tenaga dalam. Jaja terus saja mengambil tiga jenis daun yang ada di sekeliling kawasan tersebut. Diramas dan kemudian dicampur sedikit air sungai. Jaja memberi minum air ubatannya pada orang tua yang sedang menderita sakit itu.
Beberapa detik berlalu orang tua membuka matanya, tetapi dia belum mampu membuka mulutnya. Melihat keadaan itu Jaja pun mendahulukan katanya..
“Bapa, saya menemui bapa di tepi sungai ini sedang menderita sakit. Bapa minum lagi ubat ini, Insyaallah mudah-mudahan segera sihat,” kata Jaja sambil memberi minum air daun-daun ubat yang dibuatnya tadi.
“Nampaknya bapa terkena pukulan dalam, segumpal darah sedang membeku di dada bapa. Saya akan cuba keluarkan darah beku itu,” kata Jaja sambil mengangkat duduk tubuh orang tua berkenaan.
Dari belakang orang tua itu Jaja meletakkan kedua tapak tangannya dan kemudian mengalirkan tenaga dalamnya ke tubuh orang tua itu. Serentak dengan geraklakunya itu orang tua berkenaan menghemburkan darah merah kehitaman menerusi mulut dan hidungnya. Berjejeh darah mati itu keluar membasahi mulut, dagu dan baju orang tua itu.
“Bapa bersandar di pohon ini untuk berehat. Sekejap nanti bapa akan boleh bercakap dan berkata-kata,” kata Jaja sambil meletak duduk orang tua itu di banir sebatang pehon besar.
Sementara menunggu orang tua itu sihat sedikit, Jaja menghimpunkan anak kayu dan ranting mati kemudian menghidupkan api. Sedikit demi sedikit api itu membesar dan setelah keadaan api itu sesuai untuk dimatikan kerana baranya, Jaja mematikannya dan tinggallah bara api yang sederhana membahang merah. Jaja mengeluarkan beberapa keping danging kijang kering dari bunjut pengisi bekalnya untuk dibakar.
Bau wangi dari daging kijang kering yang dibakar telah menusuk masuk kehidung orang tua itu..
“Anak ini siapa, dari mana dan mahu kemana?” bertanya orang tua yang telah mula sedar.
“Bapa sudah sedar rupanya. Jangan dibawa bicara nanti perjalanan darah akan terganggu,” kata Jaja lalu mengambil sekeping daging bakarnya untuk orang tua itu.
“Bapa makan daging ini perlahan-lahan bersama dengan daun-daun ubat ini. Jadikan daun ini sebagai ulam. Mudah-mudahan cepat sembuh,” Jaja memberitahu.
“Nama saya Jaja. Saya dari gunung sana, di banjaran Titiwangsa. Saya mahu ke Melaka. Bapa pula siapa dan kenapa sampai begini jadinya..,” Jaja memberitahu dan bertanya pula.
“Bapa pedagang, nama bapa Terandak. Bapa bersama dua anak bapa dan dengan yang lainnya membawa dagangan untuk diniaga di Melaka. Kami seramai dua puluh orang dari Kelantan dan Fatani dengan memudiki sungai Kelantan langsung ke sini,” orang tua itu menerangkan.
“Berapa jauhnya perjalanan tu bapa?” Tanya Jaja ingin tahu.
“Jauh jalan perdagangan itu. Dari Sungai Kelantan kami mudik Sungai Lebir. Kemudian melintasi gunung masuk Sungai Tembeling dan terus ke Sungai Pahang. Dua hari kami mudik sungai itu kami merestasi hutan selama tiga hari pula untuk mencapai Sungai Muar dan akhirnya kami sampai di sini,” terang orang tua pedagang itu.
“Tidak adakah jalan laut untuk ke Melaka,” Jaja bertanya lagi.
“Tentu ada. Tapi terlalu banyak lanun. Terutama di selatan Selat Melaka. Mereka berpengkalan di Kepulauan Karimun. Sebuah lagi pengkalan mereka ialah di Siantan,” jawab pedagang itu.
Orang tua itu membetulkan sandarnya. Kelihatan dia bertambah sihat.
“Sehingga jadi begini, bagaimana bapa?” Jaja bertanya.
“Rombongan dagang kami dirompak, Anggota rombongan dibunuh dan barangan dagang kami dirampas. Dua anak bapa telah tewas dalam perkelahian. Mereka dibawa perompak itu entah kemana pergi,” orang tua itu menjelaskan.
“Tapi sehingga bapa mendapat luka ini, bagaimana terjadinya,” Jaja bertanya.
“Bapa melawan perompak itu, tapi bapa bukan tandingan ketua kepada porompak itu. Luka dalam ini ialah kesan pukulannya. Terima kasih kerana membantu bapa,” Terandak menceritakan kisahnya pada Jaja.
Setelah agak sihat, Jaja dan orang tua itu meneruskan perjalanan.
.. bersambung