You are here
Home > Sentimen > Cubaan kaitkan 1MDB dengan kadar dividen KWSP tahun ini, bukti bankrap idea pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan

Cubaan kaitkan 1MDB dengan kadar dividen KWSP tahun ini, bukti bankrap idea pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan

1MDB merupakan salah satu daripada subjek kegemaran DAP-PKR-PAN dan PPBM. Apa-apa sahaja yang berkaitan dengan 1MDB akan diberikan gambaran sebagai merugikan, rasuah, salahguna dan penyelewengan. Sehingga ke suatu peringkat, Pakatan Harapan dan PPBM dengan lantang mengatakan, 1MDB telah menyebabkan rakyat Malaysia sengsara dan terpaksa menanggung hutang negara yang besar.

Gambaran-gambaran negatif tentang 1MDB terus menerus dibuat oleh para pemimpin Pakatan Harapan dan PPBM. DAP paling lantang dan para pemimpin DAP yang paling ke hadapan.

Penjelasan daripada PAC yang beberapa orang ahlinya terdiri daripada kalangan mereka sendiri, langsung tidak dihiraukan. Bahkan cuba disenyapkan. Tan Seng Giaw yang merupakan Naib Pengerusi PAC seolah-olah tidak dibenarkan bersuara atas kapasiti jawatannya. Tony Pua yang juga merupakan salah seorang daripada Ahli Jawatankuasa PAC yang terbabit dalam penyiasatan 1MDB, berbolak balik dan sentiasa u-turn dalam usahanya untuk menkankan bahawa 1MDB adalah sesuatu yang amat merugikan negara dalam tempoh yang panjang.

Terbaharu ialah apabila PAN yang diwakili oleh Dzulkefly Ahmad, PKR yang diwakili oleh Wong Chen dan Teresa Kok yang mewakili DAP, mengadakan kenyataan bersama mendesak KWSP melupuskan pelaburan mereka dalam 1MDB serta-merta.

Alasan mereka, penurunan kecil kadar dividen KWSP bagi tahu 2016 adalah bukti serta kesan buruk daripada pelaburan KWSP di dalam 1MDB yang berjumlah RM1.72 bilion.

Bagi golongan singkat otak atau menelan bulat-bulat apa yang dituturkan oleh para pemimpin Pakatan Harapan ini, sudah pasti akan menganggapnya sebagai satu kebenaran yang tidak boleh disangkal-sangkal lagi.

Sama seperti ketika DAP begitu kuat menentang ECRL yang merupakan jajaran landasan kereta berteknologi tinggi yang menyingkatkan perjalanan membelah Semenanjung Malaysia dari Kerteh ke Kuantan dan Pelabuhan Kelang, sekaligus jikalau jajaran dan sistem tersebut berjalan lancar, laluan kargo dari kapal-kapal yang menggunakan Selat Melaka yang mengambil masa selama empat hari, dan dapat disingkatkan selama 3 jam untuk ke Laut China Selatan menerusi pelabuhan di Kuantan akan mematikan sebahagian besar peranan Singapura sebagai entreport.

DAP dengan dibantu oleh Dr. Mahathir cuba memperlekehkan pelaburan besar dari China untuk ERCL yang akan meranapkan teras utama dan jantung utama ekonomi Singapura.

Begitu jugalah dengan pelaburan KWSP di dalam 1MDB. Dengan iklim kewangan dan ekonomi dunia yang tidak menentu, di mana banyak negara, termasuklah gergasi ekonomi dunia, Amerika Syarikat terpaksa tunduk kepada inflasi dan krisis kewangan besar, kadar dividen yang diberikan oleh KWSP kepada pencarum-pencarumnya jauh lebih baik. Bahkan jauh lebih tinggi berbanding dividen yang diberikan oleh CPF Singapura kepada pencarum-pencarum mereka.

Kadar dividen Singapura yang mereka gelarkan sebagai kadar faedah, dikira sekali setiap tiga bulan.

Selama bertahun-tahun, pulangan sebenar CPF daripada pelaburan untuk akaun-akaun biasa bagi setiap pecahan suku tahunan adalah di bawah kadar minimum 2.5% dan Kerajaan Singapura terpaksa menokok bagi mencukupkan kepada 2.5%

Bagi tahun 2016, pulangan CPF bagi akaun biasa mereka adalah:

Suku Pertama – 0.12%
Suku Kedua – 0.23%
Suku Ketiga – 0.24%
Suku Keempat – 0.24%

Kesan daripada pertumbuhan lembab, prestasi pasaran saham yang menjunam selain kadar faedah rendah 1% dalam bon-bon kerajaan pada tahun 2016, pulangan pelaburan kepada CPF adalah di bawah kadar 2.5% menyebabkan Kerajaan Singapura terpaksa menokok untuk mencukupkan kadar tersebut menjadi 2.5%.

Kerajaan Singapura juga terpaksa memberikan bayaran tambahan 1% faedah hanya untuk SD60,000 pertama daripada baki gabungan ahli – sama seperti kaedah yang digunakan oleh Tabung Haji untuk pemberian bonus bagi jumlah terhad dalam simpanan ahli.

Jadi, secara mudahnya kadar dividen CPF bagi tahun 2016 adalah 2.5% dicampur dengan 1% bonus, jauh lebih rendah berbanding kadar dividen KWSP, 5.7%.

Terdapat juga beberapa bonus kecil bagi persaraan dan akaun simpanan perubatan mereka.

Tidak seperti Malaysia di mana hospital-hospital kerajaan diberikan banyak subsidi dan anda hanya perlu membayar sejumlah yang sangat kecil berbanding kos sebenar, Kerajaan Singapura pula mengenakan bayaran yang lebih tinggi dan anda perlu menggunakan akaun simpanan perubatan CPF untuk bayaran tersebut.

Semenjak krisis ekonomi 1998 dan kurangnya pelaburan yang membuatkan Ringgit terpaksa ditambat dengan Dollar Amerika, pulangan KWSP di bawah Mahathir dan Abdullah Badawi semenjak tahun 2000 hanyalah sederhana.

4 tahun terakhir Mahathir berkuasa menyaksikan kadar dividen yang mampu diberikan oleh KWSP adalah 6%, 5%, 4.25% dan 4.5%.

Manakala ketika pentadbiran Abdullah Badawi pula, kadar dividen KWSP adalah 4.75%, 5%, 5.15%, 5.8% dan akhir sekali 4.5% pada tahun 2008.

Dua tahun pertama Najib berkuasa menyaksikan kadar dividen KWSP adalah 5.65% dan 5.8% pada tahun 2009 dan 2010. Kadar tersebut meningkat kepada 6% untuk 5 tahun berikutnya tetapi pada tahun 2017, kadarnya menurun sedikit menjadi 5.7%.

Dengan kadar gaji dan upah yang lebih tinggi pada zaman Najib sebagai Perdana Menteri membolehkan caruman ke KWSP lebih tinggi berbanding zaman Mahathir, saiz KWSP kini melebih RM700 bilion. Kadar dividen 5.7% merupakan pencapaian yang sangat besar dan mendapat pujian komuniti kewangan antarabangsa.

Bagaimanapun, para pemimpin Pakatan dan PPBM langsung tidak menyentuh tentang hal ini. Mereka sekadar mahu menunjukkan penurunan dari 6% kepada 5.7% adalah disebabkan oleh 1MDB.

Benarkah seperti yang didakwa oleh Dr. Dzulkefly Ahmad, Wong Chen dan Teresa Kok?

Sudah tentu tidak bahkan mereka sebenarnya cuba membuktikan bahawa sebilangan besar rakyat Malaysia adalah bodoh dan bebal kerana mudah percaya kepada mereka!

Pelaburan KWSP sebanyak RM1.27 bilion terdiri daripada:

(a) RM200 bilion dalam bon pertama 1MDB – bon berhayat 30 tahun bernilai RM5 bilion yang merupakan satu-satunya bon yang dijamin oleh kerajaan; dan

(b) RM1.52 bilion bon daripada Panglima Power Sdn Bhd (PPSB) dan Jimah Energy Ventures Sdn. Bhd. (syarikat usaha).

KWSP melabur dalam PPSB dari tahun 2003 lagi manakala Jimah Energy pula dari tahun 2005, lama sebelum wujudnya 1MDB. 1MDB telah mengambilalih bon-bon tersebut apabila mereka membeli kesemua penjanakuasa tenaga itu dan diletakkan di bawah Edra.

Apabila Edra dijual, 1MDB sudah tidak kena-mengena dengan pulangan untuk bon-bon berkenaan lagi.

Terdapat juga kadar tetap bon yang membuat bayaran tetap pendapatan setiap tahun, dan berfungsi secara tetap, sekaligus membawa maksud kadar berkenaan tidak kena-mengena dengan naik turun dividen KWSP secara tahun.

Ini bermakna pembabitan KWSP di dalam 1MDB hanyalah RM200 juta atau peratusan sebanyak 0.0274% daripada jumlah keseluruhan portfolio KWSP berjumlah RM731 bilion. Dan jumlah RM200 juta itu juga adalah di bawah jaminan kerajaan.

Sebagai tambahan kadar dividen 5.7% KWSP tahun ini jauh lebih baik berbanding sejarah kadar dividen KWSP sendiri, prestasi pasaran saham selain prestasi unit trust di negara ini dan di wilayah ini.

Ketiga-tiga Ahli Parlimen Pakatan Harapan itu hanyalah badut yang cuba melakukan penipuan dengan memanipulasikan tahap kecerdikan rakyat Malaysia yang malas membaca dan malas pula membuat kajian selain berterusan cuba menyalahkan 1MDB dan KWSP.

Jelas, sama ada mereka memang tidak tahu apa-apa atau mereka sekadar membaca skrip yang disediakan oleh penulis skrip yang baru lahir semalam, menjadikan mereka juga sebenarnya sangat buta tentang kedudukan kewangan dan ekonomi negara, tetapi masih mahu berlagak seolah-olah mereka sangat pakar.

Tidak menghairankan seandainya dalam kes ini, Rafizi Ramli dan Tony Pua tidak mahu dikaitkan langsung!

  

 

Leave a Reply

Top