You are here
Home > Sastera > JAJA Pendekar Melaka – Bab 7

JAJA Pendekar Melaka – Bab 7

Dari arah dapur meluru keluar seorang anak muda yang siap untuk bertarung dengan perompak yang telah menendang perut pemilik warung. Tapi hajatnya hanya di tengah jalan kerana rakan si perompak tadi telah mengirim satu tendangan yang tepat ke dada anak muda itu. Mengelupur dan meraong kesakitanlah si anak muda itu. Seiring dengan raongan kesakitan anak muda itu, disambut dengan ketawa menghina oleh para perompak.

“Bukankah selalu begini jadinya. Bila kamu mahu membantu orang tuamu, kamu menerima pukulan dari kami. Tapi jangan risau, kami tidak akan mencabut nyawa kamu. Kalau kamu dua beranak mati, siapa pula yang akan membuat makan untuk kami. Itu maknanya kami ini perompak pintar,” kata seorang dari perompak itu dengan ketawa besarnya.

Jaja tidak dapat menahan amarahnya lagi. Dia bangun dari duduknya lalu berjalan mendapatkan perompak berkenaan. Jaja bersuara..

“Aku tidak punya urusan dengan kamu, tapi bila makanan itu direbut maka urusan tadi telah menjadi urusanku. Makanan itu aku yang memesan tadi. Aku mahu kamu kedapur sekarang ni memasak kembali untukku dan bapaku itu,” kata Jaja menyapa dengan nada suara yang biasa.

“Hai! Siapa kamu mahu main perintah perintah saja padaku  haa?” balas si perompak dengan marah sekali.

Jaja merenung mata perompak itu.

“Apa urusan mu mahu mencampuri hal kami,” tanya si perompak lagi.

“Kamu telah mengambil pesanan makanku. Itu yang telah menjadi urusanku dengan kamu sekarang,” Jaja menjawab.

Tiba-tiba seorang perompak lain yang berbadan sasa telah masuk campur.

“Anak muda, kamu menempah maut. Kamu jemu dengan hidup rupanya. Siapa nama kamu dan dari mana asal kamu.  Aku tidak suka membunuh tanpa ku tahu nama dan asal usulmu,” kata perompak yang berbadan sasa, berambut panjang, bermisai dan berjanggut.

“Namaku Melaka. Aku pendekar Melaka!” Jaja menjawab pantas. Kemudian manyambung..

“Urusanku hanya dengan si perompak pencuri makan ini. Kamu tidak perlu tahu asal usulku kerana itu sangat tidak layak untuk kamu tahu. Kerana kamu orang kotor,” jawab Jaja.

“Mulutmu besar anak muda! Dia ialah anak buahku. Aku yang menyuruhnya berbuat begitu. Dan kamu kata aku kotor?” marah sungguh perompak yang mengaku ketua itu.

“Kalau kamu berkata mereka ini anak-anak buah kamu, tentu kamu ada  atasan kamu lagi. Atasan kamu itu pastilah lebih kotor dari kamu,” Jaja bertanya secara menghina.

“Sudah tentu ada anak muda. Ketua kami memang kotor. Beliau sedang berlibur dengan dua orang anak muda yang kami dapat pagi tadi. Kamu akan ku tangkap untuk menjadi anak muda ketiga bagi libur-libur kotor ketuaku,” ketua perompak berbadan sasa memberitahu Jaja dengan ketawa gembiranya.

“Oo jadi kamulah gerombolan yang merompak dagangan di pinggir sungai pagi tadi itu,” kata Jaja setelah mendapat kepastian.

“Benar sekali wahai anak muda. Merompak labanya berkarung. Tapi kami tidak memerlukan ahli lagi, ha!..ha! haa..!” kata perompak itu.

Tiba tiba saja perompak pertama yang sedang makan melakukan serangan curi. Kakinya melakukan tendangan  paras perut Jaja. Jaja segera menepis dan di saat itu juga Jaja menyerang dengan tapak tangan yang sama kearah pangkal peha kaki prompak itu. Perompak itu terjatuh kerana hilang keseimbangan sambil mengaduh kesakitan.

Perompak itu sangat marah, kemudian bangun dan mengirim satu lagi tendangan dengan menggunakan kaki kanannya. Jaja segera menepis dengan tangannya lalu melangkah masuk ke kawasan antara kedua kaki perompak itu. Jaja mengangkat kaki kanannya memberi alas pada kaki perompak itu. Tangan kiri Jaja dengan pantas menangkap dan mengangkat betis kanan siperompak. Secepat kilat Jaja menggunakan tangan kanannya memukul dan mematahkan kaki perompak tersebut.

“Derapp..,” bunyi tulang yang patah dan perompak itu meraong kesakitan di lantai warung.

Leave a Reply

Top