You are here
Home > Sastera > JAJA Pendekar Melaka – Bab 8

JAJA Pendekar Melaka – Bab 8

Jaja terus saja di keronyok oleh empat perompak yang lain, masing-masing menggunakan senjata untuk menyerang Jaja. Mereka serentak menyerang ke arah dada Jaja. Jaja bergerak ke sisi kanan dan dengan kaki kanannya, Jaja segera menendang menghentam keempat-empat tangan perompak yang memegang senjata masing-masing. Tangan-tangan perompak itu tidak mampu lagi memegang dan menggenggam senjata mereka lalu senjata itu jatuh ke lantai warung.

“Mainan parang kamu lembik. Bagai anak-anak main pedang-pedangan. Itupun kamu masih berani memilih cara hidup yang busuk, cara yang melawan Tuhan!” kata Jaja memarahi mereka.

Perompak terus mengeroyok Jaja.

“Heii.. anak muda, dalam hidup kami tiada Tuhan-Tuhan. Kamilah Tuhan! Aku mengajak kamu bermain di luar, tunjukkan kebolehanmu sebelum aku pecahkan kepala kamu,” kata perompak yang bertubuh sasa tadi sambil melompat tinggi berpusing memecahkan atap warung itu kemudian mendarat di halaman.

Dari gaya mendarat perompak tadi, tahulah Jaja bahawa si perompak itu menguasai ilmu meringankan tubuh.  Jaja juga mengetahui lawannya ini lawan yang menguasai ilmu dalam yang telah memukul saudagar Terandak.

“Aku mahu tahu sejauh mana ilmu dalam kamu..,” bisik Jaja pada diri sambil dia berjalan bergerak ke halaman pondok menemui lawannya.

“Kamu mesti melutut di hadapan ku agar nyawa kamu tidak ku cabut,” kata perompak yang mengakui sebagai ketua pada perompak perompak di warung itu.

“Hei perompak gila. Hal cabut mencabut milik kamu ni, hanya cabut tulang ikan yang tersangkut di gigi saja yang boleh. Cabut yang lain tak boleh! Tuhan ada belas kasihan, kamu ni Tuhan jenis apa yang tak ada belas kasihan?” Jaja menjawab.

“Kamu memang mulut besar, melangit sombong kamu. Aku tidak pernah berhadapan dengan lawan yang sesombong kamu ini,” kata perompak itu lagi.

“Hanya dengan kamu saja aku sombong dan bermulut besar. Dengan orang lain aku tidak,” Jaja menjawab sinis.

Jaja membiarkan dirinya diserang oleh perompak bertubuh sasa itu. Namun setelah lima jurus perompak itu menyerang Jaja, ternyata pukulan pukulannya hanya memukul angin kosong semata. Ini menjadikan perompak itu lebih garang lagi dengan mengirim serangan yang padat dan jitu sambil mengubah gaya main silatnya.

Jaja terus saja mengelak serangan, tapi keinginannya mahu berjumpa dengan atasan perompak menyebabkan dia mahu menyelesaikan perkelahian secepat mungkin. Lalu ia mula mencari detik yang baik…

Dikumpulkan tenaga dalamnya kemudian dialir ketangannya sambil mencari detik yang mempunyai kesempatan. Tidak lama dia menunggu detik itu kerana dasar ilmu pengajaran gurunya iaitu menyerang ketika diserang  memudahkan Jaja mencari kesempatan itu. Dia masih ingat kata-kata gurunya..

 

“Pada setiap gerakan sama ada serangan atau bertahan, akan terdapat lompong kosong dalam gerakan itu. Serangan kita harus memasuki menerusi lompong itu.”

 

Jaja membuat pukulan dengan menggunakan telapak tangan kanannya bersama tenaga dalam. Tapi Jaja sengaja memukul di ruang kosong berhampiran telinga kanan lawannya. Ketika pukulan Jaja memasuki ruang kosong itu, bahang tenaga dalamnya telah menggegarkan tubuh perompak. Tubuh perompak itu mengeletar dan bergoyang-goyang lalu jatuh rebah menyembah bumi.

“Heii perompak tuhan, pukulan itu aku sengajakan di tempat yang kosong. Sekarang aku mahu kamu kembali memanggil atasan kamu datang. Katakan Pendekar Melaka  sedang menunggu dia. Segera lakukan sekarang kalau kamu mahu hidup,” kata Jaja memberitahu kemahuannya.

Perompak yang telah dilumpuhkan oleh Jaja itu tidak terkata apa-apa. Terkejut sangat dia akan bahang panas luar biasa pukulan pendekar muda itu. Terasa seluruh kekuatan luar dan dalamnya telah hancur binasa. Dia bangun bagai ayam yang telah disembelih, menonong-nonong berjalan menuju ke tempat ketuanya berada.

“Kamu perompak lain jangan kemana-mana, duduk saja di halaman ini. Jika ada yang mahu melarikan diri maka aku akan minta tuhan kamu mematahkan leher kamu, mengerti?” Jaja membentak ketiga-tiga perompak itu

Selepas itu Jaja bergerak kembali menemui orang tua pedagang yang sekian lama menyaksikan dari jauh  pertarungan Jaja dengan para perompak itu.

“Anak muda Jaja, kamu pendekar hebat. Gerak pendekar kamu dan jurus yang kamu gunakan itu bapa tidak pernah lihat. Nampaknya kamu telah memberi pengajaran pada mereka bagi pihak bapa. Berita mengenai anak anakku itu sangat mengembirakan aku, terima kasihku padamu,” kata Terantak sebaik saja Jaja duduk semula di tempatnya.

“Mereka orang jahat bapa. Orang sebegini selalu mengganggu keamanan Melaka. Kata guru saya, Allah sangat marah kepada orang seperti itu. Mereka tidak layak memijak dan berjalan-jalan di bumi Melaka milik Allah ini,” Jaja menjawab.

“Jaja, para perompak yang kamu minta duduk di halaman telah pun lari kerana kamu tidak mengikat mereka,” Terantak memberitahu.

“Biarkan, sekejap lagi mereka akan kembali semula bersama Atasan mereka. Itu yang saya mahu,” kata Jaja.

                               

Leave a Reply

Top