
Seperti selalu dan bukannya kadang-kadang, Mamad suka menunggang motorsikal dengan laju dan dalam keadaan terburu-buru. Meskipun masa kuliah masih bertapak-tapak jauh namun dalam bab menunggang motorsikal Mamad memilih untuk menunggang laju. Biar berdesup lajunya.
Apabila begitu, rasa hati siswanya barulah rock. Siswi Milah yang cun melicun itu pasti mengerling Mamad dengan senyum cinta koboi yang berleret-leret! Dan selepas tu Mamat pun boleh berharap yang Milah pasti membonceng motorsikalnya, alahai Janum Janum Diwale! Dah tentu punya!
Dan si Mamid, mahasiswa maruku miskin kedana itu terkulat-kulatlah melihat hebat dan bergayanya si Mamad bermotorsikal. Mamid takkan boleh jadi macam Mamat. Al-maklum kocek mahasiswa Mamid hanya penuh dengan habuk dan tahik cicak aje!
Mamod pula lain. Dia menunggang motorsikalnya dengan slow and steady! Tidak laju dan tidak perlahan, ikut aturan kampus. Mamod tidak memandang Milah pun, biarlah Milah nak pandang siapa-siapapun, itu hal Milahlah! Mamod tak kisah pun. Dan si Mamid nak berkulat-kulat pun, itu hal Mamidlah! Ikan takkan masak kalau tak diapikan. Tapi pada Mamid, Mamod beri simpati. Kadang-kadang bila kena masa dan tempat Mamod beri Mamid membonceng sampai Milah pulak terkulat-kulat melihatnya.
Kadang-kadang Mamod tersenyum. Sebab kadang-kadang Mamod tengok Milah tersenyum-senyum bila melihat Mamid. Mamod tahu senyum Milah itu lain. Senyum remaja tengok rembulan! Tapi Mamod tak dengki pun. Nak bercintapun go aheadlah. Cool memanjang!
Di selekoh bernama Muda Terang Tangtang, selekoh idaman para siswa itu terdapat berlonggok-longgok tahik kucing, anjing dan unta yang masih basah dan lembab berair. Tahik tapir pun ada. Mamat dan Mamod pun berselekohlah. Mamat konerbaring, Mamod koner gentlemen. Tapi dua-dua langgar tahi. Mereka kemalangan dan bermalapetaka. Milah ketawa! Mamid menolong.
Mamat luka, Mamod luka juga. Mamat telinganya rabit pasal no helmet, lutut kirinya hancur dan siku kanan disagat jalan. Mamod pula dagunya dipeluk batu, meleleh darah. Lutut kanannya parah dicium cintabuta jalan. Siku kirinya dibaham selekoh jalan. Baju Mamat dipelukcium tahi tapir dan seluar Mamod berasmara dengan tahik unta merah. Mamid pula baju dan seluar kodinya berlumur-lumur dengan macam-macam tahik, sebab nolong!
Kata-Kata Bestari:
“Kita hidup di sebuah semesta yang memiliki hukum-hukum. Sama seperti adanya hukum graviti. Jika anda jatuh dari satu tempat yang tinggi tidak menjadi soal sama ada anda seorang yang baik atau yang jahat anda tetap jatuh kebawah,” Michale Bernard Backwith.
“Rasa takut tidak seharusnya mendera seorang mukmin, kerana satu-satunya yang harus ditakuti adalah Allah.” Sheikh M. Al-Ghazali.
“Guru membuka pintu, anda harus masuk dengan sendiri.” Peribahasa China.
“Sikap manusia ialah nasib kehidupannya,” Heraclitus.