You are here
Home > Sensasi > Akibat adik beradik tak sepakat, rumah dibiar bersepah dengan sampah

Akibat adik beradik tak sepakat, rumah dibiar bersepah dengan sampah

Akibat tidak ada kesepakatan dalam kalangan adik-beradik, seorang ibu tunggal bersama lima anaknya terpaksa tinggal di dalam rumah yang bersepah-sepah dengan sampah dan tidak terurus.

Penghuni rumah berkenaan, Siti Norenliriana Mohd Fakeri, 30, yang juga ibu tunggal berkata, dia tinggal di rumah itu bersama lima anak berusia lima bulan hingga 11 tahun serta bapanya, Mohd Fakeri Othman, 57, dan adik-beradik lain

“Saya tinggal di rumah ini sejak tiga tahun lalu selepas berpindah daripada rumah sewa di Limbongan. Meskipun jumlah penghuninya 11 orang, tapi sikap ambil mudah yang lain menyebabkan saya tak larat nak kemas rumah dan jadi begini (terlalu kotor),” katanya.

Dia mengakui, selain bergantung kepada bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bapa yang bekerja sebagai pembantu di sebuah pasar awam di negeri ini dengan pendapatan RM1,500 sebulan turut membantu menyara kelima-lima anaknya.

Dapur rumah itu antara bahagian rumah paling teruk terjejas dengan sampah dan pakaian kotor dilonggokkan begitu saja selain pinggan dan periuk tidak dibasuh selepas digunakan.

Bahagian Khidmat Masyarakat Jabatan Ketua Menteri Melaka membelanjakan lebih RM10,000 bagi aktiviti gotong-royong, membaiki dan memberi wajah baru kepada rumah didiami 11 beranak di Taman Rambai Jaya, Bukit Rambai, Melaka baru-baru ini.
MELAKA 18 OKTOBER 2017. Keadaan sekitar rumah yang tidak terurus tidak sesuai untuk dijadikan tempat tinggal sebelas sekeluarga di Taman Rambai Jaya, Bukit Rambai. Harian Metro/ NOOR AZURIN MOHD SHARIF

Seramai 70 sukarelawan menghabiskan masa sehari untuk membersihkan rumah berkenaan yang dipenuhi timbunan sampah selain pakaian kotor tidak dibasuh, sekali gus menyebabkan bau busuk.

Selepas dibersihkan sukarelawan, tiga lori digunakan untuk mengangkut sampah serta barangan lain yang sudah rosak atau tidak boleh digunakan untuk dibuang di tapak pelupusan.

Menurut ibu tunggal tersebut, dia seboleh-bolehnya mahu bekerja dan berusaha menyediakan kediaman lebih baik untuk kelima-lima anaknya, namun kehadiran bayi perempuan lima bulan dan anak lain masih kecil membataskan hasratnya.

“Sebelum keadaan dapur jadi begini (terlalu kotor) saya kerap memasak, tapi sekarang harapkan ayah belikan makanan untuk isi perut kosong saya dan anak-anak dan untuk berjimat cermat, kami makan sekali sehari saja,” katanya.

Menurut beliau, masalah rumah itu mendapat perhatian guru tiga anaknya yang kemudian mengadukan perkara terbabit kepada Bahagian Khidmat Masyarakat Jabatan Ketua Menteri Melaka sebelum tindakan segera diambil untuk membersihkannya.

“Pada mulanya guru datang ke rumah untuk tanya khabar tiga anak yang sudah sebulan tidak ke sekolah atas alasan kerap dibuli rakan. Namun, selepas melihat keadaan rumah kami yang amat teruk, guru terbabit merujuk masalah ini kepada JKM,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Khidmat Masyarakat Jabatan Ketua Menteri Melaka, Abd Razak Abu yang melawat kediaman berkenaan berkata, gotong-royong membersihkan kediaman 11 beranak itu dibantu ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta UMNO cawangan Paya Lebar.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Top