You are here
Home > Sastera > JAJA Pendekar Melaka – Bab 15

JAJA Pendekar Melaka – Bab 15

Pendekar itu menyerang Jaja menggunakan tongkatnya. Dipusing pusing tongkatnya itu kali-kali sehingga kelihatan tongkatnya berpusing laju dengan  berpaksi tangannya. Kemudian dalam keadaan tongkatnya yang berpusing laju  dia mengirim serangan tepat kedada Jaja. Jaja mengelak serangan dengan merubah kedudukan kaki kanannya sambil menggunakan rotan yang diberi rakan sebagai penepis dan penahan. Berkali-kali Jaja diserang pendekar bertongkat itu.

Jaja memerhati gerak langkah lawannya, perhatian  ditumpukan di mata lawannya sambil perhatian keduanya di lebarkan bagi membolehkan pancainderanya melihat dan merasai gerak dan serangan dari mana-mana anggota badan lawannya.

Jaja melihat lawannya memasang kuda kudanya. Kelihatan kuda-kuda di kaki kirinya lawannya lebih tegap dan kukuh dari kaki kanannya. Dengan pantas lawannya mengubah kedudukan kaki kiri ke belakang. Tahulah Jaja yang lawannya bertenaga kidal dan lawannya telah bersedia untuk menggunakan ilmu meringankan tubuh bagi menyerang Jaja dari arah atas.

Telahan Jaja tepat. Lawannya melompat gagah  dengan menggunakan ilmu meringankan tubuhnya dan memukul kepala Jaja dari arah atas sebelah kiri. Jaja juga melompat meringankan tubuhnya mengelakkan kepalanya dari hentaman tongkat lawannya. Tongkat lawannya hanya melibas tempat kosong semata. Jaja dapat mengelaknya tapi seperti tidak diduga pula tongkat lawannya tiba-tiba  kembali menyerang dengan ganas pangkal bahu Jaja.

Jaja mengelak dengan menarik bahunya kebelakang namun lawannya sekali lagi mempamirkan kepantasan berkelahi dengan menarik kembali serangannya dan menghantar serangan terbarunya dengan menghalakan tongkatnya kebahagian bawah pelipat lengan Jaja. Serangan yang hebat itu disalahkan oleh Jaja juga dengan menggunakan rotan pemberian rakannya.

“Celaka kamu anak muda, setiap seranganku kamu elak  dengan mudah dan lagak kamu ketika mengelak itu sangat memperolok-olokkan seranganku,” kata lawan Jaja yang sudah naik marah.

“Pendekar tua, jangan cepat marah! Tongkat kamu cukup baik tapi jurus kamu belum cukup sempurna,” Jaja menjawab.

“Kamu menghina aku, anak muda! Siapapun jika melihat tongkatku ini, tidak peduli pendekar mana pun di Tanah Semenanjung ini akan tercirit cirit lari lintang pukang kerananya,” lawan Jaja berkata dengan angkuh.

“Pendekar tua, aku akan bermain dengan kamu hanya mengikut jurus dan pukulan kamu saja,” Jaja mencabar pendekar itu.

“Kurang ajar anak muda ini, silakan kalau kamu sanggup,” bentak marah pendekar tua itu.

Jaja membuka langkah kelahinya, sama seperti langkah yang dibuka oleh pendekar lawannya itu, dia mahu bermain secara kidal juga. Diserangnya lawannya juga dengan menggunakan jurus pukulan yang sama, demikianlah bagi setiap serangannya. Semuanya mengikut bentuk dan rupa serangan lawannya sebelum ini.

Cuma yang berbezanya setiap serangan Jaja tepat mengenai lawan sehingga lawannya tidak dapat lagi mengawal kedudukan badannya. Mujur mereka bermain tidak menggunakan ilmu dalam. Serangan Jaja yang terakhir dihalakan kearah bawah lipat lengan lawannya. Di situ Jaja menghentam lawannya sebanyak tiga kali dengan satu pukulan saja, hentaman itu menyebabkan lawannya jatuh terduduk.

Sambil meraba  tubuhnya tempat hentaman serangan Jaja. Pendekar tua itu bersuara..

“Aku mengaku kalah dalam sayembara ini, tahniah padamu orang muda. Aku akan meninggalkan sayembara ini.., sampai jumpa lagi..!,” kata lawannya dengan suara yang tertahan-tahan.

Pendekar kedua berpakaian berwarna hijau gelap terus saja memasuki gelanggang mencampuri urusan Jaja dengan lawannya tadi..

“Aku tahu jurus kamu ni orang muda. Kamu menggunakan ilmu Jurus Seribu Rupa yang boleh meniru jurus apapun termasuk cara pukulannya. Aku sangka ilmu jenis ini telah pun mati tapi rupanya pendekar di Titiwangsa itu masih sempat menurunkan ilmu itu pada kamu, anak muda..!,” kata pendekar berpakaian hijau tua itu.

“Kata guruku, ilmu itu bukan miliknya tapi milik Tuhan,” Jaja menjawab.

“Aku suka dengan guru kamu itu, dia selalu merendah diri! Tapi dia lupa pada dunia, lebihnya pada akhirat,” jawab si pendekar itu kemudian menyambung lagi..

“Sebagai pendekar sejati yang di badan ini mengalir darah pahlawan, aku ingin bertanding sebelum pergi. Aku akan pergi jika aku kalah,” kata pendekar itu sambil menepuk dadanya sendiri kemudian menyerang Jaja dengan tangan kosong tanpa senjata.

Jaja terus saja mengelak serangan pendekar berpakaian hijau gelap itu. Diperhatinya semua langkah lawannya, diamati gerak pukulan dan bentuk pukulan lawannya akhirnya tahulah Jaja yang lawannya itu sedang menggunakan Jurus Naga Sakti. Jurus jenis ini  berasal dari Tanah Jawa dan paling digeruni oleh para pendekar di seluruh Nusantara ini.

Jaja memulakan langkah mengikut langkah jurus Naga Sakti itu. Setelah berkali-kali Jaja diserang maka Jaja pun mememulakan serangannya meniru gerak langkah dan pukulan pendekar itu. Setiap pukulan digayakan kembali dengan kemas dan jitu, dan setiap pukulan Jaja berakhir dengan hentaman yang singgah ditubuh lawan.

Demikian Jurus Seribu Rupa Jaja yang dapat meniru jurus dan pukulan lawan. Malah jurus jurus Naga Sakti Jaja jauh lebih atas dan kukuh dari jurus jurus dan pukulan lawannya itu. Pendekar berpakaian hijau gelap itu segera mengaku kalah…

“Anak muda, aku kagum dengan ilmumu. Ternyata Jurus Seribu Rupa yang kamu miliki memang luar biasa sempurnanya. Aku tidak mahu mencampuri lagi urusan ini. Selamat berjumpa lagi pendekar muda,” kata lawan Jaja itu dan kemudian dia beredar dari gelanggang sayembara itu.

Hanya tinggal tiga orang saja lagi pendekar tua yang masih mahu meneruskan permainan pendekar dengan Jaja, pendekar muda dari banjaran Titiwangsa itu.

“Kami tidak akan berganjak dari sini anak muda. Kami tahu kamu miliki ilmu yang sangat tangguh dan kami minta dua atau tiga pelajaran secara pendekar dari kamu sebelum kami pergi meninggalkan tempat ini,” kata pendekar yang memakai pakaian serba hitam pula.

“Kami mahu menyerang kamu serentak bertiga, kami mahu melihat langkah-langkah dan gerakan kamu. Malah jurus kamu juga kami mahu melihatnya dan dari situ kami akan pelajari,” kata pendekar itu lagi.

“Kalau hajat bapa-bapa begitu, saya tunjukkan satu dari apa yang saya ada. Cuma saya berasa tidak ada apa-apapun yang boleh bapa-bapa belajar darinya,” Jaja menyahut cabaran.

“Terima kasih anak muda. Kamu anak yang sopan. Aku gembira kerana dapat berkelahi dengan kamu,” kata pendekar berpakaian hitam.

Jaja membuka langkah. Ketiga-tiga pendekar tua itu juga membuka langkah.

Tiba-tiba saja Jaja dengan pantas melompat menghampiri pendekar  yang berpakaian hitam. Pendekar tua itu terkejut kerana tiba-tiba saja Jaja sudah berada di sisinya dan melepaskan serangan yang tidak terelak olehnya. Jaja menggunakan jenis silat dekat milik gurunya.

Walaupun telah terpukul, pendekar tua itu masih mampu menyerang Jaja. Namun setiap gerak serangan, pukulan Jaja telah mendahului menghentam tubuhnya, mengakibatkan serangannya mati begitu sahaja di tengah jalan. Begitulah untuk beberapa jurus…

Jaja menyedari ada serangan dari arah belakang dan dari arah sisi. Jaja memperkuatkan pencainderanya untuk melihat dan merasai datangnya serangan itu. Jaja mencari ruang kosong di kedua-dua arah serangan. Dengan menggunakan gerakan pantas dari Jurus Titiwangsa, Jaja menghentam dada kedua-dua pendekar itu. Kedua-duanya jatuh  mengaduh sakit.

Dengan Jurus  Titiwangsa, Jaja menghadapi tiga pendekar tua itu serentak.

 

Leave a Reply

Top