You are here
Home > Sastera > XPDC Lebir – 5 – Pengarah Ekspedisi Menanti di Gua Musang

XPDC Lebir – 5 – Pengarah Ekspedisi Menanti di Gua Musang

Pagi-pagi lagi keretapi yang kami naiki tiba di Gua Musang. Aku bersama anak-anak buahku bergegas turun dari keretapi bersama dengan barang-barang kelengkapan dan alatan ekspedisi kami.      Stesyen keretapi Gua Musang menjadi riuh seketika dek suara pelajarku yang sibuk menguruskan barangan kumpulan dan barangan sendiri. Yong, Cikgu Nayan, ustaz dan Wan Aida menjalankan kerja-kerja mengepalai memunggah barang. Gema suara Cikgu Nayan meminta kerjasama ahli nadanya sama saja di manapun, itulah gema suara seorang guru!

Keempat mereka juga membawa dan menggalas barang persendirian sementara tangan mereka yang satu lagi menarik satu bungkusan besar barang ekspidisi kami. Kerja yang payah dan dalam suasana dihambat masa menyebabkan mereka menjadi sangat kelam kabut.

 Aku berdiri dipintu keretapi memerhati gelagat anak-anak buahku yang sedang memunggah dan menyusun barangan kepunyaan kami. Kelihatan Cah dan Eda saling membantu mengangkat fly sheet yang berat tu, sambil Ewa pula menampung berat dengan mengangkat benda berkenaan di bahagian tengah.

“Berat rupanya barang-barang tu ye Cik Adik. Kesian bawak barang-barang berat dan banyak pulak tu! Biar abang saja yang nolong angkat,” tegur dan sapa seorang anak muda dengan nada mengusik.

“Eh..betullah kawan. Dia orang boleh bawak barang berat macam tu ye!?. Boleh jadi adik-adik comel dan cantik ini makhluk angkasa lepas yang gagah dari Plenet Marikh apa?” sahut rakan pemuda yang pertama tadi.

Cah, Ewa dan Eda terdiam seketika. Mereka tidak menyangka yang mereka disapa usik oleh jejaka berdua yang berpakaian seragam tentera itu.

“Ai… diam saje. Tadi bukan main riuh lagi, sejak dari Gemas lagi kita orang dengar sembang Cek Adik semua punya le kuat dan ada pula yang nyanyi-nyanyi dalam tidurnya. Alahai!” kata jejaka yang pertama.

“Orang kerja berat tu, macam tu le tidurnya,” Cah menjawab selamba.

“Ia le dah penat kerja, macam tu le,” jawab Eda, kemudian menyambung lagi.. “Kamu orang tak penat pun tapi tidur  berdengkur kuat macam kambing mandul.”

Shafrin yang berada berhampiran membuat isyarat agar ketiga siswi itu bercakap dengan sopan. Tepat Shafrin memandang Ewa ketika memberi nasihat tadi.

Jauh kehadapan, ditengah-tengah kawasan stesen sekumpulan anak buahku berhimpun mengerumi seseorang. Aku amati dari jauh dan tahulah aku yang mereka sedang bergembira kerana bertemu dengan Pengarah Ekspedisi yang menanti kami di stesyen ini. Kelihatan Sani, Along, Angah, Kori dan yang lain sedang mengerumuni Nik bercakap-cakap silih berganti. Tentunya sedang memberi laporan terkini mengenai ekspedisi kepada pengarah mereka. Aku pun berjalan menuju ke kumpulan itu.

Nik terus berjalan keluar dari kumpulan ramai itu mendapatkan aku. Begitulah selalunya  Nik, mahasiswa Sains Alam Sekitar yang sentiasa tertib, sopan serta memahami benar akan tatasusila hubungan dengan sesiapa pun, terutama yang menjadi pegawai atau atasannya. Kerana itulah dia diangkat oleh rakan-rakannya mengepalai ekspedisi ini.

“Selamat pagi encik…gembiranya saya berjumpa encik!” kata Nik padaku sambil dia memeluk erat tubuhku memperlihatkan rasa kegembiraannya.

“Bagaimana khabar kamu Nik, dan khabar mengenai Hulu Sungai Lebir”. kataku setelah membalas ucapan selamat paginya.

Nik kelihatan berfikir sejenak lalu berkata..

“Kita tidak dapat kehulu sungai itu, kalau dengan berjalan kaki seperti yang kita rancang itu, mungkin hari yang keempat baru kita sampai. Belum lagi dikira dengan baliknya. Tapi saya telah berusaha mendapatkan bantuan KESEDAR yang bersetuju memberi kita lima buah kenderaan pacuan empat roda untuk ke sana. Cumanya hanya beberapa orang saja yang boleh turut serta,” kata Nik memberitahu aku.

Memang aku yang menugaskan Nik datang ke Gua Musang ini terlebih dahulu dari kami untuk meninjau kawasan yang menjadi fokus ekspidisi.

“Bagus Nik, kamu membuat sesuatu yang betul. Tapi apa rancangan kamu dengan peserta yang lain. Bagaimana perancangan ekspedisi kita yang nampaknya perlu diubahsuai,” aku bertanya.

“Beri masa pada saya untuk menerangkan rancangan yang telah saya ubahsuai kepada komiti kita untuk perbincangan dan persetujuan mereka. Nanti saya akan maklumkan pada encik untuk apa-apa tambahan dan kelulusan,” kata Nik.

Aku bersetuju. Sementara menunggu mereka bermesyuarat, aku mencari bilik kesenangan awam di stesyen untuk urusan diri sendiri pula.

Kami memulakan perjalanan kehulu Lebir pada jam kurang lima minit 9.30 pagi itu. Mengikut pemandu KESEDAR perjalanan kami akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga jam setengah tertakluk kepada kaadaan jalan dan cuaca. Menurut beliau lagi perjalanan akan membosankan kerana melalui ladang kelapa sawit milik KESEDAR sehinggalah sampai tempat yang dituju.

“Encik bersetuju dengan cadangan baru komiti mengenai program ekspedisi kita ni?” tanya Nik setelah melaporkan hasil mesyuarat tergempar beliau di stesen dengan komiti awal pagi tadi.

“Ya. Saya setuju Nik. Programnya masih memberi tumpuan pada tujuan ekspedisi kita,” jawabku bersetuju setelah mendapat penerangan dari Nik.

“Terima kasih encik. Saya berpendapat itulah yang terbaik boleh kita lakukan,” jawab Nik dan kemudian meyambung lagi..

“Sesal juga saya kerana kita tidak dapat menyusuri sungai itu secara berjalan kaki,” Nik menambah.

“Tapi sesal kamu itu kerana menimbangkan faktor masa dan keselamatan peserta kan!” kataku memujuk.

“Benar. Encik dengan saya yang akan menanggung makna itu sekiranya berlaku sesuatu yang tidak baik,” serius saja jawapan Nik.

Tiba-tiba sahaja Nik melangkah keluar dari radar percakapan kami  berdua dan menghulurkan tangannya untuk berjabat tangan. Rupanya berjabat tangan dengan Cah, Ewa dan Eda. Ketika berjabat tangan dengan Eda, lama Nik memengang tangan Eda…

“Maaf…kata Nik, “Tadi tidak sempat mengucapkan selamat datang dan selamat sampai,”

Entah pada siapa yang ditujukan ucapannya.

 

Leave a Reply

Top