You are here
Home > Sastera > Dia Pergi Tanpa Menjamah Sebiji Pun!

Dia Pergi Tanpa Menjamah Sebiji Pun!

Tidak lama sangat si pengembara mengambil masa untuk membuat keputusan, keputusan untuk membeli. Memilih yang mana satu dari dua, ya’ni ya atau tidak; sangatlah mudah baginya kerana ‘bicara  untung rugi terhadap diri sendiri’ telah terselesai lama dahulu!

Dari raut wajah si penjual pula ternyata barang niaganya bukan bahan untuk propaganda diri atau alat untuk petah bicara bagi mengaut untung besar berlipat ganda. Si penjual ketika bercerita tentang barang niaganya, hatinya juga bercerita dengan gembira sehingga mata dan tangannya membantu bercerita dan berbicara sama. Mata si pengembara ditatapnya bersahaja, dijalur pandangannya dikirim keikhlasan hatinya, keikhlasan tentang barangan jualannya. Di saat dan waktu itulah si pengembara dapat melihat dan merasa adanya bahagia di hujung suatu pembelian benih rambutan yang satu itu. Ia segera menyerah tanpa banyak bicara menyebelahi kepada yang bernama persetujuan, persetujuan untuk membeli.

Sebagai pengembara, hatinya sangat mengerti bahawa sepohon rambutan yang baru dibelinya itu boleh menambat dirinya dari terus menjadi pengembara. Jika begitu, akan sunyilah lembah di ujung dataran, dan anak sungainya akan terus mengalir berkocak dengan irama yang senada sama. Merbok dan merbah tika nyanyi dan berkicau tidaklah dari sanubari lagi, kerna akan tiada lagi pendengar paling setia bernama si pengembara. Akan tiada lagi yang mahu mencecah kaki dan mandi manda di anak sungainya dan lembah di hujung dataran itu pun akan menjadi suram, sunyi dan sepi. Semuanya kerana si pengembara tidak akan mengembara lagi.

Boleh jadi si helang jantan yang sering mematainya kemana saja si pengembara mengembara akan terfikir telah tiba masa untuk dirinya mencari helang betina sebagai pasangan dan kemudian beranak pinak di pehon meranti yang tinggi.

Demikian kesan satu keputusan, keputusan seorang pecinta bernama pengembara. Dengan demikian terlerailah satu ‘simfoni’ alam karya pengembara bersama dengan anak-anak sungai, bukit-bukau, dataran yang meninggi dan merendah, para pepehon dan unggas-unggas rimbaan. Terlerai dan terhentilah suatu kisah seorang manusia yang mahu mengubat rasa ego diri dan pelbagai penyakit hati yang lain dengan bermain dan berjanji bersama alam di daerah itu. Alam di situlah yang disandarkan oleh si pengembara bagi membasuh bersih ego dirinya dan sekali gus pula merawat penyakit hati yang lain.

Dengan gagah si pengembara terus melangkah bersama benih sepehon rambutan yang baru dibelinya itu. Ketika melangkah ia terkenang akan hubungannya dengan “rakan-rakan’ di alam rimba yang telah ditinggalkannya, teringat akan saat-saat bahagia ketika dia menghirup lembut bayu pagi subuh pada setiap pagi. Masih terasa sangat padanya bagaimana bayu pagi subuh yang lembut dan dingin itu telah membelai dan menyiram hati dan sanubarinya, si pengembara.

Akhirnya dia sampai dihujung kampung, lalu membuat keputusan mendirikan pondok untuk menetap di situ. Di situlah nanti benih rambutannya akan ditanam, dijaga dan diselenggaranya. Sang helang jantan turut berhenti sama lalu merencanakan hidupnya, dan yang sangat menyeronokkan hatinya terdapat pula sepehon meranti yang tinggi di kampong permai itu

Benih rambutan pun ditanam, ketika dia melaksanakan kerja-kerja menanamnya, ditanam benih itu bersama dengan hatinya. Dengan hati yang tenang bersama suara hati yang selalu menyebut nama Allah tanpa henti itu telah dengan tenang melaksanakan kerja-kerja menanam rambutan itu. Dibajai, dijaga dan diselenggara rambutannya itu tanpa mengira waktu.

Hati pengembara puas melihat rambutan yang ditanam kian membesar dengan suburnya. Satu ketika hujan lebat sekali, angin bertukar menjadi ribut lalu melanda patah beberapa pokok di kampong itu. Satu dari dahan-dahan pokok yang patah telah tertipa rambutan si pengembara.

Pengembara melihat kejadian itu dari pondoknya dan dalam suasana hujan rebut itu dia keluar dari pondoknya bersama pisau dan tali menuju kearah anak rambutannya. Setelah memeriksa pokok rambutannya, maka si pengembara pun merawat cabang utama pokok rambutan itu yang telah terkulai hampir patah di timpa dahan pokok yang telah jatuh. Melakukan rawatan di dalam hujan ribut bukanlah kerja yang mudah, seluruh tubuh pengembara kuyup dan matanya juga turut berganang dek air hujan dan penglihatannya kekadang menjadi kabur. Ketika dia mahu memotong tali sebagai penyudah kerjanya dia telah terpotong jarinya, lalu darah membuak-buak keluar. Giginya berketip menahan kesakitan, tapi kerja-kerja akhir disudahkan juga tanpa apa-apa reaksi dari hatinya.

Empat hari pengembara terlantar demam. Demam kerana berhujan ketika merawat rambutannya. Beberapa jirannya datang melawat, semasa bercerita asal-usul demam dan luka dijarinya, si pengembara tidak pernah bersungut menyesali diri dan tiada tanda-tanda sesal langsung terhadap rambutannya yang manja atau cuaca yang gila pada waktu itu.

Rambutannya terus membesar. Suatu petang sang kambing bersama pasangannya mampir di pondok pengembara lalu terlihat anak rambutan yang sedang subur. Apalagi dedaun rambutan menjadi pembelai kasih antara keduanya. Kerana terlalu sedap dan enak, daun-daun rambutan itu habis dimakan oleh kedua pasangan kambing itu. Memang rambutan pengembara daunnya sangat lazat, seumur hidup tidak pernah pasangan itu menjumpai daun rambutan yang selazat itu.

Terkejut juga si pengembara melihat, lalu dihalaunya kambing-kambing tersebut dari pokoknya. Kambing tidak mahu pergi kerana masih terdapat sisa-sisa daun untuk dimakan. Si pengembara menolak kambing itu supaya pergi. Setelah bersusah payah menolak akhirnya kambing-kambing pun meninggalkan si pengembara dengan anak rambutannya yang telah cedera parah.

Si helang jantan hitam memerhati dari meranti yang tinggi. Hatinya terbakar kerana pengembara tidak memarahi kambing yang telah memakan anak rambutannya; walaupun disekitar si pengembara berpuluh-puluh batang kayu yang boleh dijadikan pemukul. Lebih dari itu pengembara hanya menolak dengan menggunakan tangannya akan kambing-kambing yang tak punya hati perut itu. Malam itu helang tak dapat tidur. Dia marah pada si pengembara walaupun bininya mendodoikan pantun seloka pilihan yang baik-baik untuknya namun matanya tetap terbuka!

Belajar dari satu kejadian, pengembara mencari buluh untuk dijadikan pagar buat memangar anak rambutannya. Dia memotong, membelah, mengerat dan meraut buluh-buluh itu, ketika ini teringat dia akan pesan atuknya bahawa sembilu buluh terlalulah bisa. Jangan lama sangat bermain dengan buluh, pesan atuknya.

Kata-kata orang tua bukan sekadar pengisi masa, telapak tangan pengembara diraut buluh.  Aduh sakit dan bisanya! Selumbar buluh menghiris daging telapak tangannya dan kemudian meninggalkan beberapa kerat selumbar di dalam isi daging itu. Sakit sungguh terasa oleh pengembara.

Semasa dia menarik keluar selumbar dari dalam daging telapak tangannya, waktu itulah terasa dunia menjadi kelam, mentari seperti padam.., demikian penangan sembilu buluh! Meskipun demikian pengembara meneruskan kerja-kerja memagar tanpa menyesali diri, tanpa bersungut-sungut dan tanpa menyumpah-nyumpah akan pasangan kambing yang telah memakan anak pokok rambutannya, atau menyumpah buluh yang buta tak bermata. Dengan telapak tangannya yang berdarah-darah, kerja-kerja memagar disudahkan juga.

Hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun; meskipun beberapa kali pagar-pagarnya patah dirempuh kambing, meskipun tangannya berkali-kali diraut buluh namun pokok rambutannya telah pun membesar dan sampai tikanya untuk berbuah. Dan berbuahlah rambutan itu! Buah yang pertama, yang sulung dan terjawablah kepada dunia dan alam ini akan asasi kehadiran dan kelahirannya sebagai rambutan di alam bumi ini!

Di satu pagi yang damai, semasa bayu subuh meniup halus melanda dan menyapu lembut penyakit hati manusia dan ketika sang helang belum bangun dari tidurnya; setelah bersubuh si pengembara mengemas barang-barangnya yang tak seberapa. Setelah siap dia pun mengatur langkah meninggalkan pondoknya untuk selama-lamanya,  kerana dia adalah seorang pengembara! Ketika langkah pertama, disedutnya udara pagi dengan sangat perlahan dan kemudian membiarkan udara dingin itu memukul sifat egonya agar pergi jauh dan jangan kembali kembali lagi.

Ketika langkah hampir dengan rambutan kesayangannya, dia memerhati puas akan buah-buah rambutan yang sedang ranum. Dia memandang dan memerhati dengan teliti akan buah-buah rambutannya yang merah meranum, mata dan hatinya bersama memerhati rambutannya. Tiba-tiba teringat dia telapak tangannya yang berparut luka diraut buluh. Lalu dia membelek-belek pula tapak tangannya itu. Matanya melihat rambutan dan matanya juga melihat tapak tangannya, silih berganti. Berulang kali dia berbuat begitu, dan…dia terus melakukan begitu. Ia tersenyum kerana menjumpai bahagia…lalu melangkah pergi. Ketika buah masak ranum, ia pergi tanpa menjamah sebijipun!

“Terima kasih rambutan, kerana kamu aku terpenjara, kerana kamu aku menderita, kerana kamu juga aku merdeka dan kerana kamulah maka aku menjadi raja!”

 

Leave a Reply

Top