You are here
Home > Sastera > JAJA Pendekar Melaka – Bab 1

JAJA Pendekar Melaka – Bab 1

“Jaja, dua puluh dua tahun sudah kita di sini, di Banjaran Titiwangsa ini! Besok hari Jumaat, hari yang baik untuk kita berpisah,” kata guru memberitahu muridnya  setelah selesai bertahjjud.

“Guru.., Guru jangan bergurau dengan kata-kata itu. Guru pasti cepat dimamah tua jika bergurau dengan kata berpisah itu,” Jaja bersuara membalas kata gurunya.

“Siapa yang mengajar kamu cakap begitu, Jaja?” tanya Guru.

“Aduhai Guruku.., kan Guru yang mengajarnya. Kata Guru dulu, orang tua yang bongkok-bongkok tuu kerana mereka suka bergurau semasa muda mereka. Kankah itu yang dikata Guru dulu,” Jaja menjawab bergurau.

“Aku tidak bergurau, Jaja! Apalagi kalau bergurau dengan masa..,”

“Apa maksud masa itu, Guru!” Jaja bertanya pantas.

“Bergurau dengan masa depanmu, itu tidak boleh aku lakukan!” Guru kuat berkata.

Jaja menung sekejap. Pandangannya dihalakan keluar dari pondok mereka, kemudian bersuara..

“Guru.., bilamana Guru kata begitu, saya telahpun faham! Guru.., dunia saya ini kecil sahaja, juga selera saya dan keperluan saya sejumput pula, lalu kehidupan saya di sini menjadi cukup dan mudah! Apalah makna sangat  perpisahan itu kepada saya dan kita..,” Jaja membantah lembut.

“Kita tetap berpisah Jaja! Itu takdir, takdir tidak pernah memberi   pilihan,” Guru memperkuatkan kata-katanya.

“Tapi Guru..,”

“Tidak ada tapi tapi. Takdir tidak terhenti kerana tapi tapi. Faham tuu!” Guru mematahkan kata Jaja.

“Jika begitulah takdir bagi kita Guru, saya bersetuju dengan kehendak takdir yang menggeggam kita itu..!” Jaja menjawab sambil merenung jauh, lama renungnya. Jaja menyambung kembali..

“Guru.., tidak bolehkah Guru kembali ketempat pertapaan atau kemanapun, biarpun satu purnama lamanya. Saya akan menunggu Guru di sini dan kita punya masa untuk bermain silat lagi,” Jaja terus lagi bergurau dengan gurunya.

“Jaja, aku tahu kamu sudah pun mengerti, mengerti yang perpisahan akan tetap berlaku. Di sebalik gurau kamu itu, aku nampak terpahat kuat dimengerti kamu akan kata-kataku, bersiaplah untuk besok,” kata gurunya lagi.

“Betul Guru, suara Guru menyebut berpisah itu walau pun lembut tapi dikedengaran sungguh kuat. Saya ngerti sungguhan itu, cuma saya terharu dengan perpisahan kita..!” Jaja menjawab sedih.

“Aku gembira mendengar jawapan kamu itu. Tandanya ilmu Pancaindera milikmu telah bertapak kuat di hati jantung kamu. Telah sempurna ilmu itu kamu kuasainya, aku tersangat gembira wahai cucuku!” balas Sang Guru   puas terhadap kebolehan muridnya.

Suasana di sekeling keduanya hening. Demikian juga alam sekeliling pondok mereka. Sang cengkerik telah pun lama tidur.

“Kenapa kita mesti berpisah, Guru?” Jaja bertanya memecah keheningan dengan rasa yang ingin tahu sangat.

“Kerana hal yang mudah saja…kerana aku tidak boleh terus menerus memengang dan menguasai masa depanmu. Masa depan kamu adalah milik abadi kamu dan kamu sendiri yang tentukan,” jawab gurunya.

“Ooo..,tapi saya tak terasa begitupun Guru,” Jaja menjawab.

“Waktu ini memang kamu tidak merasainya..,” Guru menjawab.

“Jadi.., jika begitu bilakah saya akan merasainya?”

“Kamu akan terasa bila kamu memahaminya,” jawab Guru.

“ Saya tidak dapat faham. Jangan berteka teki Guru,” Jaja meminta penjelasan.

“Kamu akan mengertinya nanti.” jawab Guru.

“Bila masanya Guru?”

“Bila kamu telah melalui dan memahaminya,” jawab Guru.

“Kata Guru berpusing-pusing, bagaimana saya boleh menangkap ertinya,” Jaja membalas kata.

Guru diam. Jaja juga diam, seketika Jaja bersuara.

“Sampai hujung hayat pun saya tidak mengerti hal ini,” kata Jaja perlahan, nada sedihnya mula kedengaran…

“Begini Jaja… Kamu telah memperoleh ilmu tertinggi iaitu Ilmu Diri Yang Sebenar Diri! Itulah ilmu yang asalnya dari Ilmu Pancaindera! Kamu mendapat dan menguasainya ketika usia semuda ini, Alhamdulillah. Syukur pada Allah yang Esa!” Guru memberitahu sambil matanya dipejam untuk melihat sesuatu..

“Apa maknanya ilmu itu pada saya wahai Guru?” Jaja bertanya.

Guru diam seketika. Cicak di tiang pondok tiba-tiba berlagu riang.

“Dengan menguasai ilmu itu kamu mudah menjalani hidup ini. Ketika itu kamu akan memahami kehidupan mana yang perlu diutamakan..

“Sebab itulah kita perlu berpisah. Supaya kamu sendiri mencari hidup itu dengan menghadapi dunia ini,” kata Guru menjelaskan, kemudian menyambung..

“Jika kamu bersama aku lagi, kamu tidak akan boleh melihat dan merasai kehidupan ini. Sesungguhnya aku tidak boleh menggenggam dan merantai masa depan mu. Jika begitu maknanya aku menakluk merdekamu dan aku pasti berdosa besar kerana itu!” jawab Guru tegas.

Jaja menjawab segera..

“Alam di sini, di Banjaran Titiwangsa ini kan cantik. Banjaran ini akan menyerikan hidup saya menjadi cantik sepanjang usia. Rasanya tidak perlu lagi saya mencari kehidupan yang lain kerana kehidupan apa pun tidak akan sama dengan kehidupan cantik dan indah di sini. Kerana itu saya pun boleh bebas merdeka di sini,  bukankah begitu guru?” Jaja menungkah kata gurunya.

Berkerut muka Guru mendengar jawapan Jaja.

“Hemm..aku sudah mengajar hal bebas dan merdeka diri pada kamu, jangan kamu layan lagi rasa sedih berpisah itu. Ingat, bunuh rasa besar diri, rasa bangga diri, rasa mahu diri dipuja. Berbuat baiklah di mana-manapun nanti, dahulukan akhirat dan akhirat akan menarik dunia untuk bersamamu. Ingat kataku itu! Jangan sombong dan bangga diri kerana sifat hidup itu puncanya dari kegelapan dan arah tujunya juga kegelapan. Bila kamu berjaya bunuh rasa-rasa itu,  kamu menjadi berani di mana saja di dunia ini. Rasa itulah akan menjadikan kamu pendekar Melayu sejati!

“Kamu mesti berada di tempat ramai kerana di situ kamu boleh mencari bebas dan merdeka di samping menguji diri mencari kebenaran. Bilapun, dimanapun, siapapun, apaapapun kamu mesti berada dan berdiri di pihak benar. Kalau kamu tidak faham juga dengan kata-kataku itu.., nah terima yang ini…” kata gurunya sambil mengirim pukulan tapak tangan kanannya kedada muridnya.

 

.. Bab 2

Leave a Reply

Top