
Jaja dengan cepat mengelak, memusing dan menyisikan bahu kanannya kearah guru sambil menghantar satu serangan dari lima jari tangan kanan yang disatukan ke arah lengan gurunya, dari arah bawah. Gurunya segera menarik kembali serangan, namun tangan kanannya tadi segera dilipat dan dikirim pula serangan sikunya yang menghala kemuka Jaja. Jaja mengelak dengan menarik kepalanya kebelakang dan dengan pantas pula Jaja menyerang di bahagian ketiak kanan gurunya. Guru menepis sambil dia menyerang pula. Waktu serangan itu, Guru sempat memberitahu muridnya..
“Nanti bila kamu turun dari banjaran yang berjajar-jajar ini, kamu akan kuminta membawa satu barang yang sangat penting,”
“Kalau barang pemberian Guru untuk nenek Sasila itu, biar sampai ke dasar Tasik Pauh Janggi pun saya akan tetap membawa untuknya. Agar cinta guru dapat kembali mengetuk sanubari nenek itu,” Jaja menjawab sambil mematikan serangan gurunya dengan siku kanannya, siku kanannya itu pula segera melakukan serangan. Diarahkan serangannya tepat kemuka gurunya. Gurunya pantas mengelak..
“Jangan kamu sebut sebut perempuan degil yang berkepala batu itu. Dia mencintai dunia persilatan lebih dari dunia akhirat,” jawab Guru sambil menyerang muridnya dengan menggunakan kedua-dua sikunya. Serangan siku kanan dihalakan kemuka muridnya sementara serangan suku kirinya pula menurut siku kanannya. Cuma serangan siku kiri dihalakan ke arah batang lehir muridnya.
Jaja hampir tidak sempat mengelak kerana pantas serangan gurunya, namun jenis ilmu silat dekat gurunya itu telah pun sebati dengan dirinya. Dasar silat dekat gurunya bila diserang, ia mesti dibalas dengan serangan juga dan ianya pula dilakukan dengan secepat mungkin. Demikian ajaran gurunya. Serangan guru ditepis segera sambil jari jari kiri dan kanannya disatukan kemudian diserangnya muka gurunya sekali lagi, sambil Jaja bertanya..
“Barang apa yang guru mahu saya bawa dan kepada siapa mahu disampaikan,” Jaja bertanya.
Bayu rimba meniup perlahan, dedaun dari pehon-pehon rimba bergoyang perlahan menurut irama bayu. Guru dan murid terus bermain…
Gurunya menghentikan main main pendekar mereka, lalu bangun dari duduknya dan kemudian berjalan masuk kebilik. Seketika kemudian gurunya pun keluar bersama sebuah bunjut mengkuang yang telah lusuh. Guru segera membuka bunjut itu dan mengambil sesuatu dari dalamnya sambil berkata..
“Silat Jarak Dekat kamu sangat sempurna, jitu dan padat, terutama serangan kamu. Tadi kamu masih menyimpan tenaga dalam walau aku telah cuba mengajak kamu bermain dengan tenaga itu, syabas cucuku!” Guru memuji.
“Terima kasih Guru, saya tidak punya guru lain selain Guru. Guru sentiasa bersama saya di kala saya suka dan Guru tidak pernah memilih tempat lain walau di kala saya susah. Apa barang yang Guru mahu saya sampaikan dan pada siapa?” Jaja menjawab dan bertanya.
Gurunya menunjukkan pada Jaja seutas kalung..
“Kalung ini kalung penanda dari aku, hanya seutas inilah saja yang aku punyai seperti mana aku punya murid hanya seorang saja iaitu kamu. Aku mahu kamu membawa kalung ini dan sampaikan kepada Tun Perak, Bendahara Paduka Raja bagi Raja dan Kerajaan Melayu Melaka. Adikku itu pasti gembira berjumpa kamu bersama barang ini. Kalau dia bertanya tentang aku, kamu ceritalah bagaimana hidup kita yang telah lebih dua puluh tahun kita lalui di sini,” Guru menjelaskan sambil menghulur kalung berkenaan kepada muridnya.
“Selepas itu Guru,? Jaja bertanya.
“Adikku itu sangat mencintai kehidupan bernegara. Huraian cinta sucinya terhadap kehidupan negara dan bangsanya selebar dan seluas alam ini. Tentu dia akan meminta kamu membantu membina cinta sucinya itu..,” Guru menjelaskan.
“Kalau saya tidak mahu membantunya, bagaimana Guru?” Jaja bertanya pantas.
“Kamu boleh saja menurut apa suka kamu. Tapi kalau hidup kamu tidak seperti yang aku ajarkan, aku akan datang menuntutnya dan jika perlu kita tidak bermain bagai murid dengan guru lagi. Ketika itu aku akan memilih untuk berada di tempat yang lain, di tempat yang aku yakin dan percaya. Demi Allah yang nyawaku di dalam tanganNya, aku akan lakukan begitu. Ingat Jaja, itu sumpahku!” Guru beramaran pada Jaja.
“Guru cepat sangat panas, sebab itu cinta suci Guru dulu itu ditolak nenek yang guru kata perempuan berkepala batu. Sebenarnya Gurulah penyebab kekecewaan Guru sendiri, lalu kerananya Guru hampir hilang diri..,” tersenyum saja Jaja ketika membalas kata gurunya.
“Jaja…cinta dan kehidupan tidak semudah kata. Kehidupan boleh memusnahkan cinta dan begitu sebaliknya. Lebih baik kamu belajar hal cinta pada negara dari adikku di Melaka itu bila kamu bersamanya nanti,” Guru menjawab dengan senyum juga.
“Apa lagi pesan Guru pada orang besar Kerajaan Melaka itu,” Jaja bertanya lagi.
“Adikku itu sedang membesarkan pelabuhan Melaka, di samping menulis Kanun Laut. Kedua-dua perkara ini adalah dasar kemakmuran bagi sesebuah kerajaan manapun di Nusantara ini. Aku faham sangat dengan adikku itu, dia sangat tekun dan teliti, sifat itu disertai dengan sifat bijak, kuat bekerja dan beraninya.
“Tapi kamu jangan menganggap tangannya kosong tak berisi, kamu salah kalau begitu. Aku mahu kamu membantu dan belajar apa saja darinya, terutama ilmu bernegara,” jelas sang Guru lagi.
“Ada lagikah pesan Guru untuk adik Guru itu,” Jaja bertanya lagi.
“Tidak ada lagi,”
“Kepada saya, Guru?”
“Juga tidak ada lagi dariku. Semuanya yang ada padaku telah langsai untuk kamu, cucuku. Cuma pagi besok sebelum kamu melangkah turun, aku mahu memberikan sesuatu untukmu,” jawab guru Jaja.
“Guru, saya ada pertanyaan dan Guru mesti menjawabnya,” Jaja meminta.
“Tanya kamu itu tentunya bukan mengenai hal Sasila..!” Guru memberi sempadan bicara kepada Jaja.
.. Bab 3