
‘Biar kau menikmati bau busuk sekarang tetapi kau dapat haruman wanginya setelah kau berjaya. Jangan kau lupa kau tidak akan sentiasa di bawah. Akan ada masanya kau akan berada di atas. Kau boleh mendaki puncak kejayaan dengan peluh keringat kau. Jangan kau lupa segala jerih perih kau membina ilmu di dada. Kau sudah semakin hampir menuju ke satu puncak yang kau dambakan.’
Tidak pernah terfikir bahawa dia kini berada di puncak yang didambakan itu. Dia akhirnya berjaya menggenggam segulung ijazah namun itu tidak bermakna perjuangannya telah tamat. Hasratnya untuk terus mengorek telaga ilmu masih tersemat kemas di dada. Dia belum puas dengan ilmu yang ada. Lagi pula mencari ilmu itu satu tuntutan malah Rasulullah s.a.w juga menggalakkan pengikut-pengikutnya mendalami ilmu sehingga ke negara China. Maka, itulah yang sedang dilakukannya. Tidak berupaya dia mengatakan ‘tidak’ pada hasrat hatinya sendiri. Apa yang diinginkan, itulah yang akan dicapai.
Jauh benar dia mengelamun. Teringatkan coretan dalam surat yang dikirim dari Rusia. Ingatannya tidak lupa. Masih lagi tersemat di minda. Malah surat-surat yang diterimanya disimpan rapi dalam simpanannya. Tiada siapa yang tahu dan dia juga tidak memberitahu tentang surat itu kepada sesiapa.
Ternyata segala perancangan dan harapannya telah terbina. Setelah tamatnya belajar di salah sebuah universiti tempatan, dia mula sedar bahawa bertuahnya dia kerana berjaya meletakkan diri sebagai mahasiswi. Tidak pernah terfikir dia bergelar mahasiswi apalagi dengan keputusan kemasukannya yang tidak seberapa. Rezeki dari Allah. Betapa bersyukurnya dia dengan kurniaan itu. Tidak dikurniakan akal yang bijak malah selalu ketinggalan sejak di bangku sekolah lagi, dia merasakan peluangnya telah kelam. Hasratnya untuk mengejar ilmu diperingkat yang lebih tinggi dirasakan tidak akan pernah tercapai. Dia merasakan dirinya telah gagal. Namun siapa sangka surat dari Rusia telah merubah pemikirannya.
‘Kau jangan terlalu yakin pada kelemahan kau. Kau sepatutnya yakin pada kelebihan kau. Kau takkan ketinggalan kalau kau maju. Kau takkan lumpuh semangat kalau kau tabah. Jadilah diri kau yang sukakan satu cabaran.’
Surat yang ditaip dengan coretan sederhana itu cukup menusuk kalbunya. Coretan yang menjadi pemangkin kepada kekuatannya. Tidak perlulah dia mendedahkan identiti penulis surat itu kerana dia yakin surat itu hanya sebagai perantaraan dengan pemiliknya. Dan bagaimana dia harus mendedahkan pemilik surat itu sedangkan dia sendiri tidak tahu-menahu siapakah gerangan yang selalu mengirimkannya surat itu?
‘Kalau aku berjaya atasi kelemahan aku, apa kau akan buat?’ Itulah pertanyaannya setelah berutus surat hampir setahun dengan orang dari sana.
‘Kau hendakkan sesuatu dari aku? Tanpa tunjuk kejayaan kau pada aku? Aku nak kau tunjuk dulu semua itu dan baru aku sahkan kau sebagai pemenang.’
Itu bukan satu perjudian. Yang kalah akan rugi. Yang menang akan untung. Tetapi itu satu pertaruhan merebut kejayaan. Dan kesudahannya, dia yang dinobatkan sebagai pemenang. Saat itu juga surat itu tidak lagi tiba di genggamannya. Semuanya bagaikan sudah tamat. Sedangkan dia masih ada banyak perkara yang ingin ditagih. Dia ingin tahu identiti pemilik surat itu.
Siapakah pemilik sebenar surat bertinta itu? Sungguh dia keliru dan tidak pernah kenal siapakah gerangannya. Berpayung di bawah jagaan ibu saudara, dia tidak pernah kenal siapa ibu dan ayahnya. Ayah dan ibu bercerai semasa dia masih kecil. Ibu tidak pula mengambil hak penjagaan dan meninggal sewaktu mengikuti kursus perniagaan di luar negara. Ayah menghilang. Maka lazimlah dia tidak kenal kedua-duanya kerana dia diasuh oleh ibu saudaranya. Dan tanpa disangka surat asing itu tiba-tiba mengunjunginya. Pada mulanya dia takut. Dia risau jika seseorang ingin mempermainkannya. Dunia hari ini bukan selamat. Namun hairannya dia apabila dia boleh menjadi ‘kawan’ kepada pemilik surat itu.
‘Aku nak kau sambung belajar lagi.’ Coretannya ringkas sahaja. Entah apa yang dimaksudkan dan apakah objektifnya? Dia semakin keliru. Tetapi kerana surat dari Rusia itulah dia menjadi lebih bersemangat. Surat itu menjadi pemangkin kepada kejayaannya.
Sampai bila surat itu akan menyokongnya? Memberinya kata-kata perangsang dan dalam masa yang sama menjadikan dirinya tercabar. Saat dia masih ketagihan coretan yang dilampiri oleh kata-kata cabaran dan nasihat, surat itu tidak lagi mengunjunginya. Surat itu akhirnya lenyap, tidak kunjung tiba sehinggalah dia menamatkan pengajian di peringkat Sarjana. Dadanya sesak. Mindanya bagaikan kosong. Kerana surat dari Rusia yang tidak mahu lagi singgah di peti surat. Adakah sudah berakhirnya tugas pemilik surat itu?
Disember lalu, dua hari sebelum tahun baru 2017 menjelang, dia terpegun tanpa kata. Dia terkesima. Perasannya tidak dapat dizahirkan dengan kata-kata. Tiba-tiba sahaja dua pucuk surat ada di dalam peti surat. Dan yang pastinya kedua-dua surat itu dari Rusia!
Saat dia membuka salah satu surat itu, dia terpana. Penulisnya berbeza. Dia kenal coretan asal dan tidak mungkin dia lupa mukaddimah yang selalu penulis asal gunakan. Tetapi kali ini pembuka coretannya tidak seperti yang asal. Lantas dia membuka sepucuk lagi surat. Tetap sama! Coretannya sangat berbeza! Di manakah mukaddimah yang selalu digunakan?
Tiada lagi kata-kata semangat atau cabaran di permukaan surat itu. Hanya soalan-soalan yang bertanyakan khabar dirinya, bagaimanakah keadaannya kini dan di manakah dia belajar kini. Sekadar pertanyaan biasa dan yang pastinya soalan-soalan itu tidak pernah diajukan dalam coretan yang lalu.
Di penghujung ayat, dia ternganga dengan apa yang tertulis di situ. Dia menekup mulut, hampir tidak percaya.
‘Penulis surat ini telah kembali kepada Allah dua bulan yang lalu. Arwah meminta maaf kerana sudah lama tidak mengutus surat padamu. Tapi janganlah kamu sedih. Arwah sentiasa mengingatimu dalam doanya. Kerana dia ayah kandungmu.’
Hancur luluh hatinya saat bibirnya mengucapkan ayat terakhir. Ayah? Selama ini dia berutus surat dengan seorang bapa? Bapa kandungnya? Mengapa perlunya rahsia itu? Dia berhak tahu. Walaupun telah terlambat, dia yakin hatinya tidak akan membenci ayah. Meskipun dia tahu dia ditinggalkan, dia tetap tiada hak untuk membenci bapa kandung. Apa saja sebab dan alasannya, dia tidak akan memulaukan ayah. Saban hari dia berdoa meminta Allah pertemukan dia dengan kedua ibu bapanya.
Menangis sehingga air mata kering sekali pun tidak akan mengembalikan ayah. Ayah telah pergi. Begitu juga dengan kata-kata semangat dan cabaran yang selalu dicoretkan. Kini dia lemas dalam dunia nyata. Kelemasan tanpa kebenaran sebenar.
Dia berjaya, berjaya dengan izin-Nya dan dalam masa yang sama kejayaan tu diraih kerana surat dari Rusia. Kerana sokongan seorang bapa yang merindui anaknya dari jauh. Kini dia sedar mengapa surat itu hadir. Kerana dia masih punya seorang ayah dan kini dia ditinggalkan selamanya.
‘Ya Allah, ujian datang berkali-kali tetapi sehinga ke hari ini kau tetap tidak mengizinkan aku bertemu dengan arwah. Pertemukan aku dengannya di alam sana kelak. Itu doaku, Ya Allah.’
Dia meminta dan menagih sejak dari dahulu lagi. Dia meminta keajaiban dari-Nya. Walaupun tidak tertunai secara menyeluruh dia sekurang-kurangnya tahu yang dia berbapa. Cuma takdir telah memisahkan dia dengan seorang bapa. Kini, dia tidak lagi menerima kunjungan surat dari Rusia. Tidak juga berkesempatan untuk mengenal wajah seorang bapa yang selama ini menyokongnya dalam diam.
Tetapi dia beryukur kerana surat dari Rusia itu membongkarkan satu kebenaran yang sentiasa menjadi persoalan di benaknya selama ini. Walaupun dia tidak akan didatangi suarat dari Rusia seperti sebelum ini, dia akan tetap meneruskan perjuangan dalam menjadi manusia berilmu.