
Ketahuilah kamu, raja syaitan pun tidak boleh merompak niat tulusku,
Selesai saja Jaja memberi syarat kepada ketua porompak, Jaja pun berpaling berjalan menuju ke warong makan. Saat membelakangkan lawan telah dipergunakan oleh ketua perompak itu. Cemeti yang di tanah digenggamnya kembali lalu diserangnya Jaja dari arah belakang.
Jaja walau pun membelakangkan lawannya yang telah meminta nyawa itu telah bersedia dengan apa saja kemungkinan. Cemeti yang menyerangnya ditangkap kejap tanpa melihat lawannya.
Disentap kuat cemeti tersebut sehingga ketua perompak itu tertarik menghampiri Jaja. Jaja berpusing lalu mengirim serangan dengan menggunakan tapak tangannya, ke arah dada musuhnya. Ketua perompak terhoyong hayang lalu jatuh mengelupur. darah bersemburan dari mulut, hidung, telinga dan liang romanya. Nyawanya telah pun melayang pergi sebelum tubuhnya sempat menyembah bumi.
“Dasar perompak..! Ketahuilah kamu, raja syaitan pun tidak boleh merompak niat tulusku!” kata Jaja sambil menjeling marah mayat ketua perompak yang tidak meneguh janji.
Perompak yang lain semuanya tunduk, tidak berani mengangkat kepala bila saja Jaja memandang mereka. Semuanya dalam keadaan yang sangat takut.
“Ada lagi perompak yang mahu menjadi syaitan dan merompak niatku? Jika ada keluar sekarang.., kita bertarung!” kata Jaja menyergah sambil tangannya menunjuk gelanggang pertarungan.
Tidak ada seeorang perompak pun yang berani menyambut kata-kata Jaja.
“Dua dari kamu kembali ketempat persembunyian. Bawa kembali dua anak muda yang ditahan ketua kamu itu. Jika kamu tidak kembali membawa kedua tawanan itu, aku sendiri akan datang dan mencari kamu,” Jaja memerintah dua orang perompak itu balik ke tempat persembunyiaan mereka.
Selepas solat Jaja makan malam bersama Terandak dan dua orang anaknya. Turut sama dengan mereka ialah pemilik warung makan yang juga bersama anak lelakinya.
Telah hampir sepuluh hari Jaja tidak menjamah nasi dan bila peluang yang tersedia sebegini, Jaja menikmatinya dengan berselera sekali. Masakan ikan panggang siang tadi yang tidak menjadi rezekinya kini telah berada di pinggannya, dimasak baru. Terdapat beberapa ekor ikan panggang lagi yang terhidang di hadapan mereka untuk yang mahu menambah.
“Anak Jaja, bapa berterima kasih pada kamu yang menolong menghancurkan gerombolan perompak itu. Mereka selalu mengganggu kami di sini, bapa sendiri telah mengalami kerugian yang bukan sedikit kerana mereka,” kata pemilik warung makan pada Jaja.
“Pertolongan kecil saja bapa. Kerana jodoh kejahatan ialah kehancuran. Mereka membenarkan kejahatan memilih jalan untuk mereka, lalu jodoh pilihan pun sampai menjengah mereka. Saya hanya tukang temukan!” Jaja menjawab merendah diri.
“Sejak tadi lagi kamu ni Jaja, punya hati yang besar. Jernih fikiranmu melihat dunia ini. Bagus begitu dan bapa sangat suka. Kamu teruslah dengan fikir dan hati kamu yang seperti itu,” pemilik warung makan memuji Jaja.
Mereka berenam terus menikmati makan malam dengan suasana yang gembira.
“Bapa ingin bertanya Jaja, siapa kamu ini dan mahu kemana kamu selepas ini,” tuan pemilik warung makan bersuara lagi.
Jaja diam seketika. Dia berfikir mencari jalan membuka bicara menjawab soalan orang tua pemilik warung.
“Tidak mengapa jika kamu tidak mahu bercerita pada bapa. Mungkin hidup kamu terlalu menyayat sehingga kamu tidak mampu menanggungnya,” bapa pemilik warung menambah kata.
“Bukan saya tidak mahu bercerita. Hal diri saya ini riwayatnya cuma kecil saja. Tidak ada yang menarik kerana dunia saya sememangnya kecil. Dalam dunia saya ini, keperluan saya sedikit, kemahuan saya jelas. Keinginan dan kecukupan saya pula hanya yang mudah-mudah saja..
“Apa yang saya hargai sangat waktu ini ialah kasih sayang guru saya. Selebihnya masa depan saya yang saya tidak tahu. Dan yang itu tentu saja saya tidak dapat menceritakannya,” Jaja menjawab.
“Bagus bunyi jawapan kamu. Tentu ibu kamu seorang yang bijak kerana dia menurunkan pada kamu gaya berfikirnya dalam melihat kehidupan ini,” tuan warung menambah lagi.
“Bapa, saya ini tidak kenal siapa ibu dan bapa saya. Saya diasuh oleh guru saya lebih dua puluh tahun lamanya. Dia menjaga dan memelihara saya dengan hatinya! Beliau mengasuh saya jauh di sebuah gunung berjurang di Banjaran Titiwangsa sana tu. Itu saja tentang riwayat saya yang saya lalui,” Jaja menjawab.
“Kemana kamu selepas ini?” tanya pemilik warung lagi.
“Saya mahu ke Melaka. Guru saya mahukan saya menghambakan diri kepada Bendahara Paduka Raja Tun Perak,” Jaja memberitahu.
“Bagus, nampaknya besar harapan guru kamu itu untuk Melaka. Tun Perak itu fikirnya besar kerana beliau banyak membaca kitab-kitab Arab dan juga kitab-kitab Farsi. Dari pembacaannya dia banyak belajar ilmu mentadbir dan membina Melaka. Padaku beliau adalah anugerah Allah untuk Alam Melayu dan Nusantara. Pastikan hasrat dan hajat guru kamu itu terjadi…
“Nanti bapa siapkan bekalan untuk perjalanan kamu besok.”
Di halaman pondok kedengaran perompak meraung minta dilepaskan. Terdengar kata-kata taubat disebutkan. Kedengaran juga yang meminta makanan kerana lapar.
“Biarkan mereka di situ, sebelum saya bertolak besok saya akan bebaskan totokan. Mereka tidak akan mati kelaparan kerana satu malam. Kalau mereka bising saya akan kuncikan mulut mereka sekejap lagi,” Jaja berkata memberitahu.