
Semalam Cassandra menemani Roy makan di café kolej. Roy mengajaknya tapi Cassandra yang belanja makan tengahari tu. Pada Cassandra hal belanja makan tidak masalah baginya sebab Cassandra cucu Tok Batin moden. Punya kapal di laut, gudang di darat. Duit banyak. Lagi pun duit biasiswa Orang Asli Cassandra tak usik pun. Semua ditinggalkan dalam jagaan ASB.
Cassandra suka pada Roy hanya sebagai kawan. Tak lebih dari itu. Cassandra beri tahniah pada Roy kerana Roy mahu berkawan dengan dia. Kebanyakan lelaki di universiti tak suka berkawan dengan Cassandra kerana dia orang asli. Tapi lain dengan Roy ni. Dia kawan dengan semua yang bernama perempuan. Bila kawan-kawan lelaki bertanya, “Kenapa Roy kau suka berkawan dengan perempuan?” Roy dengan mudah menjawab, “Sebab mak aku perempuan.”
Tapi ada satu hal yang Cassandra tak suka dengan Roy ni. Ketika dia memilih lauk untuk makan bukan main cerewetnya. Ini tak boleh makan, itu tak boleh makan. Lepas tu bersungut tak henti-henti. Masak minyak banyak sangat, masak terlebih masaklah. Nasi tidak dimasak dengan ukuran air yang betul, sambal belacan, belacannya tak bau langsung. Demikian sungut Roy. Kalau sungut dalam hati sendiri ok lah. Ini bersungut macam pensyarah sedang beri kuliah. Marah sungguh Cassandra, selera makannya pun dah cabut lari!
Cassandra teringat akan cerita Jeniffer mahasiswi dari KK, turunan Khadazan Sulu; yang pernah menemani Roy ke Universiti Kebangsaan Malaysia. Semasa di tengah jalan, Roy singgah membeli durian dan mahu makan bersama Jeniffer bila sampai di Kolej nanti.
Ketika mereka membelah durian, mereka dapati kedua-dua buah durian yang mereka beli itu tidak boleh dimakan. Ada ulat berak dalam durian. Sebiji busuk dan berulat, sementara durian kedua pula masih muda dan belum masak. Marahnya Roy bukan kepalang, dia bersungut-sungut dengan mengatakan penjual durian itu menipu sebab mahu keuntungan lebih.
Selama seminggu Roy tak puas hati mengenai durian yang tidak mengikut asal fitrah kejadian durian. Roy terus-terusan bersungut sehingga di dewan makan kolej pun Roy bersungut-sungut. Ramailah kawan tahu Roy bersungut-sungut kerana durian. Sampai Roy tak keruan, harubiru! Macam kerbau balaq Perlis yang tak datang bulan!
Siswi Jeniffer berhidung cantik dan punya mulut mongil mengajak Roy berbicara mengenai durian yang tidak mengikut asasi kelahiran itu..
“Roy, kamu fikir penjual durian tu mahu jual durian busuk yang tak boleh makan ke?” tanya Jeniffer.
“Aku rasa macam tu,” Roy menjawab.
“Jawapan mana boleh rasa-rasa. Jawab dengan pasti, itu cara mahasiswa berbicara, mengutarakan pendapat,” Jeniffer membulatkan sedikit matanya ketika bertanya, menatap mata Roy.
Roy serba salah. Disiplin pengajian perubatannya seperti memberontak tidak bersetuju dengan dirinya sendiri.
“Secara jujur aku berpendapat penjual durian itu tentu tidak mahu menjual durian yang tak elok, kerana dia sendiri tak tahu. Lagipun falsafah perubatan mengatakan manusia semua nya baik” Roy menjawab.
“Kenapa kamu tidak mahu minta durian itu dibuka dahulu untuk melihat isinya?” Jeniffer bertanya.
“Sebab aku percaya dia,” Roy menjawab tegas.
“Kamu fikir pemilik kebun durian itu mahu menjual durian yang busuk?” Jeniffer bertanya lagi
“Tentu tidak,” macam sedih pulak Roy menjawab.
“Kamu fikir pokok durian yang berbuah durian itu mahu buah-buahnya tak elok atau separuh masak,” Jeniffer bertanya lagi.
“Tentu tidak,” Roy memberi kepastiannya.
“Kamu fikir Tuhan kamu yang mencipta durian itu mahu mencipta buah durian yang tak elok?” Jeniffer bertanya dengan serius.
“Sudah pastilah tidak. Tuhanku, Tuhan yang baik,” Roy menjawab pasti.
“Habis tu, yang bersungut tak habis-habis apa pasal? Kamu telah mempersoal kerja Tuhan kamu dengan sungut-sungut kamu itu!” Jeniffer menghentam Roy.
“Roy, kamu sakit. Sakit suka bersungut!” Janiffer menutup kalam.
“Lakukan perbuatan berdasarkan hakikat. Orang-orang yang bergerak di jalan kebenaran tidak akan pernah dipermalukan,” Hafez.
“Sesiapa yang telah mengetahui pentas kehidupan dunia ini maka dia tidak akan terkejut dengan musibah yang menimpanya,” Dr. Yusuf Qardawi.
“We make a living by what we get, but we make a life by what we give,” Winston Churchill.
“Pantai Lukut luas terbentang, Teluknya penuh berbatu karang; Ibarat melukut di tepi gantang, Masuk tak penuh keluar tak kurang,” Pantun Melayu.
“Kita harus bangkit sendiri dan terus berjalan. Lakukan sekali lagi, hanya sekali ini lakukan dengan lebih baik,” Sam Walton.