You are here
Home > Sastera > JAJA Pendekar Melaka – Bab 12

JAJA Pendekar Melaka – Bab 12

Pagi itu dua orang anak saudagar Terandak mengikut sama. Mereka mahu berkelana bersama Jaja dan Buyong ke Melaka. Jaja yang mulanya seorang diri kini ditemani oleh tiga anak muda yang sebaya dengannya. Dan seorang dari rakan barunya itu ialah perempuan.

Jaja gembira kerana inilah kali pertama dalam hidupnya dia mempunyai rakan sebaya. Tentunya Jaja boleh bersembang bertukar fikiran dengan rakannya itu dalam hal apa saja. Kehadiran rakan baharunya merupakan kekuatan bagi dirinya kerana semuanya mempunyai matlamat yang sama, matlamat berbakti untuk Melaka.

Akhirnya mereka pun tiba di hujung kampung. Mereka mula menempuh bukit dan hutan yang berpokok pokok besar. Bahktiar, anak sulung kepada pedagang Terantak memotong sebatang rotan tua untuk dijadikan tongkat bagi membantu mereka berjalan di hutan yang berbukit itu. Sementara untuk dirinya, dibelahnya rotan berkenaan untuk mendapatkan kulit-kulit luar rotan untuk satu tujuan lain.

“Apa yang kamu nak buat rotan-rotan yang dibelah tu, Tiar,” tanya Jaja pada Bakhtiar.

“Bola raga bang, nanti kita dapat main semasa perjalanan. Nanti abang lihat macamana Lati bermain dengan bola raga ini,” kata Bakhtiar memberitahu yang adiknya Lati pandai bermain sepak raga.

“Wah, ini seronok nanti melihat kamu Lati menyepak dan menimang bola raga itu. Dari siapa Lati belajar main bola raga ni,” Jaja bertanya.

“Lati belajar dari bapa, bapa pandai bermain bola raga. Kumpulan bapa selalu mendapat juara di beberapa pertandingan,” Lati memberitahu Jaja.

“Oo begitu. Pada Tiar pula bapa ajar ilmu apa?” tanya Jaja lagi.

“Tiar selalu membantu bapa berdagang, bapa didik dia dengan ilmu dagang. Lagi pun dia berminat dalam ilmu itu,” Lati menjawab sambil menghulurkan kayu rotan pada Jaja untuk membantu menariknya mendaki satu cerun kecil yang curam.

“Oo begitu rupanya. Baguslah bapa kamu berdua mempunyai kemahiran. Kehidupan adalah kemahiran! Apa pun kemahiran yang dimiliki akan menjadikan kehidupan kita ini bermakna kan!” Jaja memuji.

“Kalau abang Yong ni, apa abang Jaja fikir kemahirannya,” Lati meminta Jaja meneka kemahiran yang dimiliki Buyong.

“Oo Buyong pula ye..,” Jaja berfikir sekejab sambil dia memotong pokok menjalar yang menghalang perjalanan mereka.

“Kalau tak salah abang, kamu ni Buyong, dididik oleh orang tua kamu bukan untuk menjadi pendekar atau tukang masak. Apa tekaan saya itu salah, Yong?” Jaja bertanya Buyong yang berada di sisi kanannya.

“Benar abang Jaja, saya berminat menjadi sasterawan. Menjadi penulis yang dicintai zaman, penyair yang mampu membangkitkan rasa kuat orang  terhadap kehidupan ini. Menjadi pujangga tukang beri makna pada hidup ini. Penakrif yang mampu menghurai hal-hal yang tidak tergenggam dek tangan seperti ikhlas, cinta, agama atau Negara. Itulah cita-cita dan harapan saya,” jawab Buyong.

“Bagus harapan kamu Buyong. Bilamana kamu mengejar harapan itu nanti, kamu jangan sekali-kali mengalah atau putus harapan. Ketahuilah, guruku mengajar dalam putus harapan itu terdapat banyak harapan,” Jaja memberi nasihat. Kemudian Jaja bertanya pula..

“Buyong, kamu fikir apa perkaitan antara ilmu sastera dengan ilmu pendekar?”

Buyong mengambil masa sedikit untuk menjawab.

“Saya pasti ada perkaitan antara kedua ilmu itu. Tapi sukar untuk saya terangkan pertaliannya. Apapun asasnya ialah apa saja yang ada dalam kehidupan ini semuanya berkait antara satu sama lain dan tidak ada yang terpisah,” Buyong menjawab.

“Saya begitu juga, yakin keduanya ada berkait,” kata Jaja menyokong pendapat Buyong.

“Bukankah silat juga satu seni, maka di situlah terikat dan terkaitnya. Maknanya abang, ilmu pendekar yang seperti abang miliki itu tidak terpisah dengan ilmu sastera.” Buyong pula mengaitkan kedua ilmu itu.

Sementara itu Lati pula turut sama..

“Abang Buyong ni bakal sasterawan besar, dari semalam lagi kata-katanya sukar ditangkap Lati. Nanti bila kemahiran bersyairnya menjadi matang, tentu dia akan digelar pendekar sasterawan,” kata Lati, adik Tiar anak pedagang Terandak. Rakan yang lain ketawa menyokong.

“Abang bersetuju dengan kamu Lati,” kata Tiar menyokong adiknya sambil tangannya meneruskan kerja menganyam bola sepak raga.

“Abang Jaja macam mana, setuju dengan Lati tak?” tanya Lati pada Jaja pula.

“Kalau abang tidak bersetuju dengan kata-kata kamu, tentu kamu menangis, jadi abang kena bersetujulah bagi mengelakkan dari hujan di tengahari ni,” Jaja mengusik Lati, disambut dengan ketawa semua.

“Tak patut abang Jaja kata Lati macam tu! Nanti masa main bola raga akan Lati buat sepakan tuju pada abang. Biar kena bibir abang tu sampai berdarah,” kata Lati dengan nada yang sungguh.

“Sebelum bola yang kamu tuju itu sampai ke muka abang Jaja, bola raga itu telah pun bernyala terbakar,” kata Tiar pula menyambut kata adiknya.

“Kita ni nanti bukan main ilmu pendekar, kita main bola raga. Abang Jaja kena faham aturan permainan tu nanti,” Lati menjawab abangnya.

“Abang bukannya rasaksa..,” jawab Jaja mahu menenangkan hati Melati.

 

 

Leave a Reply

Top