
Tersebutlah kisah sekawan ayam yang hidup di sebuah kawasan belukar. Seperti ayam-ayam yang lain, hidup mereka mudah sahaja. Siang mencari makan dan malam tidur kemudian berbini dan beranak pinaklah. Bergitulah kehidupan mereka berdekad lamanya.
Ayam-ayam ini juga mempunyai musuh. Di sekeliling mereka terdapat srigala, musang, ular dan lain-lain. Hampir saban hari ada saja ayam yang menjadi habuan musang atau srigala ataupun pemangsa yang lain.
Demikianlah kehidupan ayam-ayam itu. Walau pun ada yang pergi namun yang datang tetap ada, malah lebih banyak lagi. Jadi kawanan ayam kian bertambah besar selaras bertambahnya ahli. Namun ketakutan kepada pemangsa senantiasa menyelubungi hidup mereka.
Suatu hari datanglah seekor ayam jantan yang cantik lagi gagah perkasa. Dia melompat, bertenggek di atas sebuah busut jantan lalu berseru, “Wahai ayam-ayam, kemarilah kamu. Aku diperintakan oleh mahaguru kita untuk memberikan barang ajaib yang aku bawa ini kepada kamu semua.”
Ayam jantan itu menunggu seketika, supaya semua ayam dapat berkumpul dan pastikan tidak ada yang tertinggal, demikian pesan mahaguru. Setelah semua berkumpul, maka ayam jantan itu mengulangi kata=katanya, “Wahai sahabatku para ayam. Mahaguru kita telah memerintahkan aku membawa barang di dalam karung di belakangku ini untuk disampaikan kepada kamu semua,” kata ayam jantan itu sambil membuka karung dan menunjukkan barang berkenaan.
“Ooo seperti kayu nampaknya. Di mana patut kami simpankan barang itu, wahai ayam jantan yang gagah,” tanya Si Balung Biru.
“Bukan simpan, tapi pakai di atas belakang masing-masing. Aku akan ikatkannya,” jawab si ayam jantan yang gagah itu.
“Wahai ayam yang gagah. Barang itu kelihatan berat. Jika kamu letak dan ikatkan di belakang kami maka tentulah susah bagi kami berjalan dan bergerak,” kata Si Balung Biru.
“Ya! Betul tu Si Balung Biru. Jika kami sukar bergerak dan sukar berjalan maka tentulah susah kami melarikan diri dari musang dan srigala,” Jelas Si Hitam.
“Nampaknya kami semua akan menjadi mangsa yang empuk kepada pamangsa-pemangsa itu. Akhirnya riwayat bangsa ayam akan tamat dan hilang di muka bumi ini,” sokong Si Galak pula.
“Betullah kata kamu Galak. Kasihan kita! Beginilah, aku fikir kamu ni wahai ayam jantan yang gagah adalah penipu. Kamu telah dirasuah oleh srigala dan musang. Baliklah kamu pergi sebelum kami mengusir kamu,” Si Balung Biru berkata.
“Betul, betul katamu Si Balung Biru. Sangat betul. Kami sokong untuk mengusir pergi si penipu ini,” sahut ayam-ayam yang lain.
Jadi bersetujulah si ayam-ayam semua itu menghalau si ayam jantan yang gagah itu pergi atas dakwaan mahu menipu dan terasuah.
“Baiklah. Jika begitu aku akan pergi. Tapi sebelum aku pergi aku minta izin sekali lagi untuk menyampaikan pesan mahaguru kita. Mana tau jika ada yang berkenan!” minta ayam yang gagah itu.
Setelah mendapat kebenaran, ayam jantan yang segak dan gagah itu pun berkata, “Wahai kaum kerabatku ayam-ayam. Aku datang menjumpai kalian kerana membawa pesan dan perintah dari mahaguru kita agar memakaikan barang ini di belakang kamu. Sesiapa yang mahu sila tampil kehadapanku,”
Tiada sesiapa yang mahu kehadapan. Ayam jantan yang segak dan gagah itu mengulanginya sekali lagi, namun tiada juga yang menyambut. Lalu dia menjemput untuk kali yang ketiga.
Akhirnya terdengar sayup-sayup satu suara dari barisan paling belakang mengakui mahu menurut perintah mahaguru ayam.
“Tuan yang mulia. Biar saya yang memakainya!”
“Kemarilah kehadapan, wahai suara!”
Seketika kemudian kelihatanlah seekor ayam yang capik mengesot-ngesot kehadapan untuk bertemu dengan ayam jantan yang gagah itu.
“Hoi Capik, mahu kemana kamu. Usah ngada-ngada nak tunjuk gagah. Gagah apalah kamu ni..?” Si Balung Biru menengor sindir.
“Ha..ha..ha.., makan kamu pun payah dan kadang-kadang kami yang beri. Inikan pula benda berat tu ada kat belakang. Alamat jadi santapan Sang Raja Musang le kamu,” kata Si Galak, disambut dengan ketawa menghina oleh ayam-ayam lain.
Setelah bersusah payah mengesot akhirnya Si Capik pun sampai di hadapan ayam yang gagah itu.
“Tuan, pakaikan saya barang berkenaan seperti mana perintah mahaguru kita,” minta Si Capik.
“Syabas sahabatku. Biar berdentum guruh di langit, layar di pacak meredah lautan!” Kata si ayam jantan memberi semangat.
“Terima kasih ya ayam yang gagah,” Capik menyambut kata.
“Sebelum aku ikatkan barang ini di belakang kamu, aku ingin bertanya. Apakah selepas ini kamu tidak menyesal?” tanya ayam yang gagah.
“Aku tidak menyesal. Apapun keputusan, ia bersama risiko. Kehidupan dan kematian adalah pasangan yang sama di mana dan di bila mana pun!” Capik menjawab.
“Kenapa kamu mahu memakainya?”
“Kerana aku punya mimpi besar terhadap kehidupan ini!”
“Bagaimana rupa dan wajah mimpi besar kamu itu?”
“Wajah mimpiku adalah perkara yang tidak pernah berlaku,”
“Tidak pernah berlaku pada siapa?”
“Yang tidak pernah berlaku pada bangsa ayam, yang tidak pernah terfikir oleh mereka,”
“Jadi itu yang kamu mahu berlaku..,”
“Benar! Itulah yang aku mahu ianya berlaku..,”
“Baiklah. Ada kata-katamu yang terakhir?”
“Kata-kata akhirku.., aku pergi mencari makna-makna lain yang ada dalam kehidupan. Turunanku patut berbangga kerana itu. Kalau aku tidak kembali mungkin aku telah mati..!”
Setelah itu, ayam yang gagah pun mengikat barang yang keras seperti kayu itu ke belakang Si Capik. Diseimbangkan agar tidak berat sebelah dan dipastikan ikatan itu betul-betul kejap. Selepas itu ayam yang gagah itu pun meminta diri dan kembali ketempat asalnya.
Benar kata-kata ayam yang lain iaitu barang siapa yang memakai barangan itu akan susah hidupnya. Si Capik menghadapi hari-hari yang sukar dalam hidupnya. Pergerakannya terhad, sudahlah fizikalnya capik ditambah pula dengan berat barangan yang diikat di badannya membuatkan pergerakannya sangat terhad. Maka makanan yang diperolehnya amatlah sedikit. Badannya kian lemah, kian kurus, kering dan layu!
Namun semangatnya bukan seperti fizikal yang kering layu begitu. Telah tertanam kukuh di jiwa akan semangatnya, semangat yang kental. Semangat kental yang memberi latar yang kuat kepada mimpi besarnya. Sementara “sesuatu yang belum pernah terjadi,” menjadi teras dan tulang yang paling perkasa memengang dan menggeggam kuat akan latar itu. Begitu keinginan dan kemahuan Si Capik.
Si Capik menjalani hari-hari hidupnya dengan tersiksa bersama fizikalnya yang kurang, tapi dengan jiwa kental yang merdeka, mengembara mencari jatidirinya.
Suatu hari hujan turun dengan labat sekali. Si Capik tidak sempat mencari tempat berteduh lalu ia basah lencun ditimpa hujan. Oleh kerana hujan terlalu lebat dan berpanjangan pula maka tubuh Si Capik menggigil-gigil kesejukan yang amat sangat. Dalam keadaan yang sejuk tergigil-gigil itulah dia terasa terdapat satu perubahan telah berlaku keatas tubuh fizikalnya. Dia sangat yakin yang sesuatu telah berlaku, cuma ditubuh yang bahagian mana yang berlaku dan hal apakah yang telah berlaku.
Menggigil-gigil menyebabkan tubuhnya terasa terangkat keatas. Dia terasa barang yang diikat kebelakangnya sudah sebati dengan badannya dan kini menjadi sayap yang kuat. Lalu digigilkan lagi, dan pastilah dia yang tubuhnya telah berada di udara. Dilakukan lagi seperti haiwan yang kesejukan, akhirnya badannya meluncur di udara terbang menjadi seekor helang yang gagah!
“Akulah helang!”
Mimpi besarnya telah menjadi kenyataan. Bayangan “Yang tidak akan berlaku” kini telah berlaku.
Dahulu hidupnya penuh dengan kepayahan tetapi hidupnya sekarang mudah dan senang. Dahulu kawasan hidupnya terhad tapi kini kawasan hidupnya saujana mata memandang, terbentang luas. Makanannya melimpah banyaknya dan tiada mana-mana pemangsa lagi. Musang, srigala, ular sudah tidak ada lagi.Terbanglah dia dengan bebas dan merdeka, mencari haknya!
Terbang ia sebagai seekor helang yang gagah perkasa membelah dan merajai ruang udara. AKULAH HELANG!
Kata Bestari:
“Masalah di dunia tidak akan mampu ditangani oleh orang yang ragu-ragu dan sinis, yang pandangan mereka dihadkan oleh realiti yang nyata. Kita memerlukan orang yang mampu mengimpikan perkara yang tidak pernah berlaku,” John F Kennedy.
“Two men looked through prison bars-one saw mud, the other stars.” Dale Carnegie.
“Keberanian sebenar adalah bagai layang-layang. Angin yang bertiup dari arah berlawanan akan menerbangkanya lebih tinggi di udara,” John Petit-Senn.
“Tidak seorang pun yang mengetahui takdirnya. Jika anda berputus asa, maka anda akan kehilangan semuanya. Maka bangkit dan berusahalah.” Samsud-Din Muhammad Hafez.
“Hasil-hasil yang besar bukan dilaksanakan menerusi kekuatan, tetapi ketabahan.” Samuel Johnson.
“Bunga telepuk kembang separak, Kembang bersusun setiap batang; Awan bertepuk mega berarak, Bulan terbit dipagar bintang,” Pantun Melayu.
Lalu digigilkan lagi, dan pastilah dia yang tubuhnya telah berada di udara. Dilakukan lagi seperti haiwan yang kesejukan, akhirnya badannya meluncur di udara terbang menjadi seekor helang yang gagah!