
Tiba tiba saja satu susuk tubuh melayang dari ruang makan warung terus kehalaman mendarat di tempat perkelahian itu..
“Tuan pendekar, aku mehon maaf dari kamu kerana keceluparan mulut anak-anak buahku ini. Mereka bukan orang orang yang berhemah, maafkan mereka,” kata pendekar yang mengaku menjadi kepala kepada tiga pendekar mabuk dengan menundukkan sedikit kepalanya tanda kesungguhannya meminta.
“Aku sungguh memohon ehsan kamu wahai pendekar yang aku tidak kenal. Maafkan mereka,” kata lagi ketua pendekar mabuk, setelah melihat pendekar berpakaian putih itu masih mahu meneruskan perkelahian.
“Baiklah, kamu semua boleh pergi tapi selesaikan hal makan kamu dengan tuan warung ini dulu,” kata pendekar berpakaian serba putih itu.
Pendekar yang dikatakan oleh Jaja seorang perempuan itu masuk kembali kewarung. Setelah melangsaikan bayaran makan maka dia pun bergerak meninggalkan warung makan itu. Semasa dia melangkah, dia sempat berhenti seketika berhampiran tempat duduk Jaja dengan rakan-rakannya, kemudian dia terus saja pergi bersama kudanya menuju arah hilir.
Walau pun Jaja membelakangkan pendekar perempuan itu, namun dia tahu yang pendekar itu telah berhenti sekali lagi di belakangnya. Cuma Jaja tidak mengerti apa maksud pendekar yang berpakaian beserba putih itu berbuat begitu.
Malam sudah mula larut. Jaja bangun dari baring baringnya lalu keluar menerusi tingkap pondok tumpangan meninggalkan rakannya yang sedang nyenyak tidur. Terhendap-hendap dan terbongkok-bongkok dia di malam hitam pekat itu berjalan menuju ke pondok tumpangan yang disewa oleh orang-orang dari Tanah Jawa itu.
Jaja melakukan kerja mengintip bagi mendapatkan maklumat dan apa apa petunjuk. Perlahan dan berhati-hati sekali jalannya dan kekadang dia berhenti dengan bertinggung di sebalik pokok pokok pisang yang banyak terdapat di situ, sambil memasang pendengarannya. Akhirnya dia tiba di pondok sewaan orang orang Jawa itu. Jaja berdiri di sebatang pokok limau kasturi yang telah berusia itu sambil memasang pendengarannya.
“Pandai sungguh kawan kita bermain-main tadi, menarik perhatian pelanggan warungku sehingga tuan-tuan dapat menikmati makan malam tanpa ada prasangka sesiapa pun,” terdengar suara tuan pemilik warung kepada orang orang Jawa itu.
“Tapi pendekar berbaju putih itu memiliki ilmu yang tinggi, aku kira kalau kamu berempat tadi menghadapi dia, pasti kamu akan ditewaskannya,” sahut salah seorang dari kumpulan orang orang Jawa itu.
“Belum tentu kawan, kerana aku belum mencuba pendekar lembut itu. Jangan main main dengan pukulan Tapak Guri aku ini. Siapa yang tidak kenal dengan pukulan hebat ini,” kata pendekar yang mengaku kepala bagi tiga orang pendekar pemabuk dengan bangga sambil memperagakan pukulan Tapak Gurinya.
“Ya, aku yakin kamu tentu boleh membakar dada pendekar itu dengan pukulan sakti kamu itu. Biar apapun, sandiwara kamu tadi di warung makan telah benar benar menyenangkan hati kami,” jawab si Jawa tadi.
Suasana hening seketika kerana seseorang dari mereka telah mengangkat tangan untuk bercakap. Dari gaya terhentinya bercakap dan ketawa oleh yang lain, ternyata yang orang itu sangat dihormati. Jaja terus saja memperkuatkan pendengarannya.
“Aku telah mendapat perintah dari Patih Majapahit supaya mengendurkan gerakan kita terhadap ketenteraman Melaka. Aku diberitahu kerajaan Siam telah pun menyiapkan satu angkatan laut yang besar untuk menyerang Melaka. Angkatan itu akan disertai pula dengan angkatan laut Raja Ligor..
“Mengikut siasat Patih, biar saja Siam berperang dengan Melaka, kedua-duanya akan menjadi lemah dan pada waktu itu Majapahit akan mengerahkan angkatan perangnya untuk menyerang Melaka. Biar mana pihak yang menang samada Siam atau Melaka, Majapahit akan tetap beruntung,” kata ketua kumpulan orang-orang Jawa itu.
“Jika Siam menang dalam perang itu bagaimana?” tanya tuan warung yang menjadi talibarut pada Majapahit.
“Jika Siam menang, mereka tak benarkan Melaka makmur. Negeri-negeri di Pulau Perca seperti Kampar, Inderagiri, Rokan, Pasai dan lain-lain yang menjadi jajahan taklok Melaka akan lemah. Majapahit akan mengambil kesempatan ini menguasai negeri persisir Selat Melaka itu. Dan biar Siam menguasai Melaka, Kedah, Kelantan dan Pahang, ” jawab ketua itu.
“Dan jika Melaka menang, bagaimana pulak pendapat Patih Majapahit itu,” tanya lagi pemilik warung.
Jaja terus menerus memusatkan pendengarannya.
“Jika Melaka menang dalam perang itu, Siam akan terus mengganggu Melaka. Kalahnya Siam di Melaka bukan suatu kalah yang menyeluruh. Pada Siam kalah perang di negara orang, bukannya kalah perang! Lagi pun kedua-duanya akan lemah kerana perang, terutama Melaka,” jawab ketua kumpulan orang-orang Jawa itu.
“Jadi apa kesimpulan oleh Patih itu,” terdengar pertanyaan ketua pendekar mabuk.
“Kita diam saja buat sementara waktu sehingga ada arahan baru dari orang tuaku. Ini wang emas sebagai bayaran dan upah kerana susah payah kamu semua terhadap Majapahit.”
“Apa pun pelabuhan Melaka mesti diganggu pembinaannya. Huruharakan pelabuhannya, pastikan Siam dituduh merancang semua itu. Dan pedagang luar juga dijadikan sasaran bertindak,” kata ketua kumpulan Jawa itu lagi.
“Hidup Majapahit. Jahanamlah Melaka! Terima kasih kerana hadiah,” kata para tali barut Majapahit itu serentak.
“Kemana Paduka selepas ini?” tanya pemilik warung.
“Kami akan ke tanah paling selatan benua tua Asia ini, ke Tanjung Piai. Lepas itu kami akan bertolak ke Palembang dan beberapa hari di sana sebelum ke Tuban,” jawab Paduka, ketua kepada gerombolan Majapahit itu.
Jaja bermenung sekejap kemudian berbisik pada diri…
“Kata-kata guruku benar. Wahai Bendahara Paduka Raja Tun Perak, Insya Allah aku sampai!”