You are here
Home > Sastera > XPDC Lebir – 7 – Akhirnya bertemu juga

XPDC Lebir – 7 – Akhirnya bertemu juga

Sebaik saja sampai, Soo segera menegor kami..

“Lamanya kami tunggu abang Nik, kami risau takut abang Nik dan Encik serta cikgu cikgu hilang ditelan belantara ni,” sapa Soo bila melihat kami  keluar dari hutan pinggiran sungai.

“Encik ni bersama kami, mudah-mudahan kami tak tertinggal..,” jawab Nik sambil memandang kepada pemandu yang menemani kami.

“Ada berita baik untuk Encik dan Nik dan juga untuk para pengekspidisi kita, ada tiga perkara yang patut kita lihat dan teliti bersama,” kata Sani mencelah sambil mengajak kami kesuatu tempat yang tidak berapa jauh dari tempat hentian kami.

Setelah sampai, Sani pun…

“Cuba lihat betul-betul, beberapa kayu yang dipotong dengan baik masih lagi terpacak gagah ditanah, tersusun dan teratur di kawasan ini,” kata Sani memberitahu.

“Nampaknya seperti tinggalan kawasan kubur,” Nik berkata perlahan.

“Betul, kayu-kayu penanda ini diambil dari kayu hutan yang keras. Pasti dari kayu jenis merbau atau cengal,” kata Pak Mat, salah saorang pemandu kami.

“Perhatikan pula pokok-pokok besar yang ada di sekeliling kita ini, bukankah ini pokok-pokok durian, bacang dan manggis dan itu pula pokok kelapa. Semuanya pokok jenis tahan lama, pokok-pokok yang berguna pada manusia. Pokok-pokok ini adalah anak-anak benih kepada  pokok asal yang di tanam dulu,” kata Sani sambil menunjukkan pokok-pokok berkenaan termasuk tungul-tunggul tua dari pokok yang besar-besar itu yang telah mati .

“Tahniah Sani, kita menemui bukti jelas bahawa memang ujud sebuah penempatan di sini,” kata Nik gembira, disambut tepukan gemuruh dari rakan-rakan.

“Mari lah kita semua memberi sedekah Fatihah kepada ahli kubur muslimin dan muslimat di sini,” Ustaz Perlis segera  mengajak kami dan kemudian mengepalai sedekah kami pada arwah yang meninggal.

“Abang Nik belum melihat lagi artifek yang ini..,” kata Soo sambil menunjukkan beberapa serpihan tembikar ditangannya, sebaik saja kami selesai bersedekah Fatihah.

“Dimana kamu jumpa ni Soo,” Nik segera bertanya.

“Sebelah pokok besar tu, bersama Wan Zuhanis dan Ju. mari kita kesana..,” Soo mengajak. Kami mengikuti Soo,Wan dan Ju. Roslan dan Hulaimilah yang meredah hutan renek.

“Disini lah tempatnya, kami jumpa dipermukaan tanah saja,” Ju menjelaskan sambil menunjukkan satu kawasan yang kelihatan permukaan tanahnya terdapat tanda-tanda dilanda air yang mengalir ketika hujan turun.

Nik terus saja menarik alat penggali berukuran kecil yang tersisip dipinggangnya dan kemudian memulakan kerja-kerja menggali dan mengorek kawasan berkenaan. Agak lama juga dia menggali dan bersungguh betul dengan kerjanya itu.

“Abang Nik ni jangan le serius dan cepat sangat mengorek tu, relek le sikit. Baru nampak bergaya dan akan mudah melihat dan jumpa barang barang yang kita cari tu,” kata Soo setelah melihat gaya Nik menggali.

“Bergaya apa! Tak sabar nak tengok apa benda yang ada di sini ni, sebab tu macam gopoh gapah saja ni,” Nik memberitahu yang cara galinya yang tak sabar kerana bahan-bahan sejarah negara.

“Gayakanlah gaya kamu tu macam gaya ahli antropologi tersohor, itu maksud Soo! Dia orang sedang merakam gambar kamu ni..” Cikgu Saaid segera mencelah memberitahu Nik.

Nik meneruskan kerja kerja mengorek dan menggalinya. Pesan sahabatnya tidak diperdulikan kerana Nik berpendapat dirinya seorang pengkaji sejarah bangsa dan bukannya artis. Tak kena untuk berlakun disaat seperti ini, fikir Nik

“Artis suka dipuja, Ahli sejarah tak suka dipuja,” kata hati Nik Nik.

“Cukup tu Nik.. biar aku pulak yang membantu menggalinya,” pinta Sani mahu menghulur bantuan.

“Tak payah, terima kasih saja. Aku masih gagah ni, apalagi kalau hal itu berkaitan dengan sejarah negara bangsa,” Nik menjawab tegas.

Begitulah bersungguhnya Nik dengan hal yang menyangkut dengan sejarah negara. Hasil dari usaha Nik itu banyak lagi serpihan pinggan mangkok tembikar yang dijumpai. Mereka mengumpul, membasuh dan mencucinya kemudian diatas tuala putih milik Soo mereka menyusun dan mengatur artifek yang baru ditemui itu.

“Kita mungkin tidak dapat mencantum pecahan-pecahan ini kembali menjadi seperti asalnya iaitu pinggan atau lain-lain,” kata Nik.

“Kita atursusunkan setakat yang boleh, sekurang-kurangnya kita dapat pasang serpihannya supaya kita dapat melihat ukiran dan lukisan di permukaannya dengan jelas sedikit,” cadang cikgu Nayan mengajak rakan-rakan yang lain bekerjasama.

“Dari ukiran dan lukisannya jelas ianya tembikar buatan China. Setakat yang kamu tahu Soo tembikar ini dari Dinasti China yang mana,” tanya Nik pada Soo.

“Kalau sezaman dengan Melaka ialah Dinasti Ming, tapi saya tak faham sangat pekara dinasti China ini. Ada Dinasti Sung, Dinasti Tang dan lain-lain lagi sebelum dinasti Ming itu.” Soo menjawab.

“Saya masih tak puas hati lagi mengenai dapatan kita ni. Memang orang-orang dulu menggunakan tembikar dari China, tembikar ini tidak dapat menunjukkan bahawa penempatan di Hulu Lebir ini berkait dengan Kerajaan Melayu Melaka dulu,” kata Nik macam bersungut.

“Ehh, ini satu bukti kuat ni Nik. Perniagaan tembikar China memang terkenal zaman Melaka dulu, pedangang membelinya di sana. Inilah buktinya yang kita jumpai di sini, dan bukti ini menunjukkan kawasan ini adalah laluan dangang dengan Melaka dulu,” Sani menjawab.

“Tak mengapa Sani, kamu mungkin betul, tapi..,”  Nik tidak menghabiskan kata-katanya kerana dia bergerak terlebih dahulu menuju kesuatu arah yang terkeluar dari kumpulan yang sedang berbincang itu. Soo segera mengikut Nik dengan rasa mahu mengetahui perkara yang sedang menjadi perhatian Nik

Aku melihat Nik sedang memerhati sesuatu dan sedang berfikir-fikir pula, kemudian Nik memandang padaku..

“Cuba encik perhatikan, tempat yang saya menggali tadi ialah kawasan dapur sebuah rumah yang agak besar, boleh jadi rumah penghulu di sini dahulu. Kalau anggapan saya betul maka rumah penghulu ini tentu ada ruang-ruang yang lain macam ruang tamu , bilik tidur dan sebagainya. Yang penting ialah ruang di mana penghulu menyimpan barang-barang berharga seperti perhiasan dan yang pentingnya ialah wang syiling zaman dulu, zaman Melaka,” Nik memberitahu aku akan fikirannya.

“Saya faham maksud kamu. Itu untuk mendapatkan bukti yang lebih kukuh mengenai pencarian kita ini,” kataku memberi reaksi pada Nik.

“Kalau begitu kita pastikan betul-betul lokasi bilik tidur penghulu. Bila kita dapat mengagaknya barulah kita menggali di kawasan berkenaan,” kataku menyambung lagi.

“Setuju,” Nik menjawab pendek.

Kami pun memulakan usaha menentukan bilik bilik yang kami maksudkan. Berpandukan kawasan yang telah di gali Nik tadi,  kami beranggapan di situ adalah kawasan dapur bagi rumah penghulu. Kami pun mula meneka dan mengagak di mana letaknya bilik tidur tuan rumah yang kami cari itu.

“Biasanya Nik, petua orang dulu dalam mendirikan rumah ialah, sebuah rumah yang baik adalah rumah yang pintu utamanya menghadapi matahari terbit. Dapur mereka pula di bina manghadapi matahari jatuh,” Cikgu Mat Zain memberitahu aku dan Nik.

Rakan-rakan yang lain memerhati saja kami dan membiarkan perbincangan serius kami tanpa mahu mengganggu. Mereka faham apabila satu kesimpulan telah dibuat oleh kami maka mereka akan dimaklumkan. Demikian faham mereka kerana ekspedisi ini bukan milik kami saja, ianya milik kami semua.

“Encik, nampaknya betul seperti pandangan cikgu Mad Zain. Tempayan yang pecah ini digunakan untuk membasuh kaki, di sinilah pintu utama rumah yang kita kata tu,”  Nik segera memberitahu satu tempayan yang telah pecah yang dijumpainya.

Aku segera ketempat Nik berdiri. Memang betul terdapat tempayan lama yang telah pecah, bukannya satu malah dua yang letaknya selari berjauhan lebih sedepa jaraknya.

“Betul seperti jangkaan saya.” Kata cikgu Mat Zain.

“Kalau di sini muka rumahnya, ruang yang pertama yang menyerupai serambi adalah ruang tempat tok penghulu bermesyuarat dengan anak-anak buahnya dan selepas itu adalah ruang yang dinamakan ibu rumah. Di kiri kanan ruang itulah terdapat bilik-bilik dan satu darinya adalah bilik penghulu,” kataku memberitahu Nik dan cikgu Mat Zain.

“Kalau begitu di mana agaknya bilik penghulu, di kanan atau di kiri ruang tamu ni,” Nik bertanya ketika dia berdiri di tengah ruang tamu jangkaan kami.

“Saya fikir bilik yang kita maksudkan itu di sebelah kanan. Di kawasan ini saya agak biliknya biliknya,” aku menunjukkan pada pada mereka berdua.

Nik segera memanggil rakan-rakan yang lain untuk menerangkan hasil perbincangan kami bertiga. Seketika kemudian mereka pun mula membersihkan kawasan berkenaan. Beberapa alatan ekspedisi yang di bawa bersama kenderaan KESEDAR telah di ambil untuk tujuan membersih, mengorek dan menggali di kawasan berkenaan. Sementara mereka melakukan kerja kerja membersih dan menggali itu aku meninjau ninjau kawasan sekitarnya untuk mencari beberapa petunjuk sejarah lagi.

Lama juga aku meninjau ninjau dan memeriksa kawasan sekitaran mencari petunjuk baru. Seketika kemudian Nik memanggil aku dengan suara dari rasanya yang terkejut kerana sesuatu..

“Encik mari segera sini, mari dan lihat apa yang kami temui ni..luar biasa penemuan yang ni..!” Nik memanggil aku.

Aku bergegas segera mendapatkan Nik.

“Encik lihat di dalam tangan saya ni, wang syiling lama yang dah berkarat sungguh. Mungkin sangat mata wang kerajaan Melaka dulu,” Nik menunjukkan apa yang telah dia dan rakan-rakan perolehi.

Bulat bola mataku melihat apa yang ditunjukkan oleh Nik, aku hampir tidak percaya melihat apa yang di tangan Nik itu ialah satu jumpaan sejarah yang maha penting bagi sejarah negara kita Malaysia.

“Nik..ini yang kamu jumpa ni adalah wang, mata wang lama. Nampaknya jumpaan ini lebih kukuh nilai sejarahnya berbanding dengan serpihan mangkok tembikar yang tadi tu. Tunjukkan saya di mana kamu jumpa mata wang ni,” kataku dengan gembira sambil meminta ditunjukkan tempat dijumpai barang itu.

“Di sini encik, tidak dalam sangat terkambusnya. Dan ni peti kayu kecil yang telah reput tempat  mata wang ni disimpan,” Nik menunjukkan pada ku.

“Betullah, peti kecil ini tempat menyimpan wang,” kataku dan kemudian meminta mata wang lama dan berkarat itu dibasuh dan dicuci dengan air dan pasir.

“Bentuk duit-duit ni berbeza beza ye encik. Ada yang bersegi-segi, enam segi, lapan segi dan yang berlubang di tengah pun ada,” kata Nik semasa mencuci duit-duit berkenaan bersama Soo dan yang lainnya.

“Ada tak apa-apa tulisan di atas duit berkenaan Soo,” aku bertanya Soo.

“Ada encik, tapi tak jelas. Rasa saya tulisan jawi,” jawab Soo.

“Encik, nanti kita bawa benda ni ke Kota Bharu berjumpa dengan tukang emas di sana minta dia mencuci duit ini. Lepas tu baru kita boleh membaca tulisan itu. Kalau di Kota Bharu bapa saya dapat memantaunya,” Nik mencelah dengan mencadangkan agar wang tersebut di kenal pasti asal usulnya.

“Saya sangat setuju tu, itu yang patut kita lakukan. Kira jumlah semua berapa keping, jenisnya yang telah kita jumpai Nik?” aku berkata.

Kelihatan Nik, Soo dan Sani mula mengira jumlah kepingnya, mereka kelihatan berhati-hati sekali semasa berurusan dan mengira wang berkenaan.

“Semuanya empat puluh sembilan keping encik, banyak tu!” Soo memberitahu aku.

Tersandar Nik di banir sebatang pokok sambil tersenyum merayakan kejayaannya dan kejayaan kami mnjumpai wang berkenaan. Kami bertepuk tangan kepada diri kami yang telah berjaya, Nurhanida dan Wan Aida maju kehadapan memberi tahniah kepada Nik. Bila Nik bangun menyambut tangan mereka, kedua mereka telah memeluk Nik  sebagai penghargaan mereka kepada pengarah ekspedisi.

Selang beberapa ketika, Nik berkata..

“Encik, ada satu perkara saya nak cakap dengan encik, boleh ke?” tanya Nik padaku sambil dia menarik tanganku ke satu tempat tidak jauh dari tempat itu.

“Kami semua telah membuat keputusan untuk bermalam di sini, kerana besok kita ada masa yang banyak untuk meneruskan pencarian kita ni. Penting perkara bermalam di sini ni encik!” Nik memberitahu aku.

“Semua perkara yang berkaitan dengan bermalam disini telah kamu fikir dan uruskan ke?” aku bertanya Nik.

“Sudah encik. Alatan kita malam ni telah diuruskan awal-awal tadi masa di Gua Musang. Pada pihak KESEDAR saya telah maklum juga yang kita mungkin sangat bermalam di sini. Kami tunggu kata putus encik saja,” Nik memaklumkan padaku.

 

One thought on “XPDC Lebir – 7 – Akhirnya bertemu juga

Leave a Reply

Top