You are here
Home > Sastera > XPDC Lebir – 8 – Bermalam Di Hulu Lebir

XPDC Lebir – 8 – Bermalam Di Hulu Lebir

Sebaik saja mendapat keputusan dari aku, anak-anak buahku semuanya kelihatan sibuk melakukan berbagai bagai kerja. Pertamanya mereka memilih dan membersihkan kawasan berkhemah untuk malam itu. Selepas itu mengangkat alatan berkaitan dari kedua buah kenderaan dan kemudian memasang fly dan ground sheets saja. Ini bermakna kami semua akan tidur hanya di atas ground sheet yang terbentang terbuka dan tidak di dalam khemah. Aku mengikut saja rancangan mereka.

Husein, Loga dan Clara pula sibuk dengan menyediakan tempat memasak untuk memasak makan malam kami nanti. Sungguh gembira mereka bekerjasama melaksanakan tugas masing-masing. Tiada pun kelihatan yang cuba mencuri tulang. Aku berharap dari suka dan gembira mereka bekerjasama itu akan melahirkan dan memahami makna satu keikhlasan bekerja bersama. Sifat itulah nanti menjadi pengubat kepada penyakit hati masing-masing. Demikian hasrat dan takrifanku terhadap maksud aktiviti ko-kurikulum mahasiswa, mudah-mudahan mereka memperolehinya.

Nik mengajak aku berjalan-jalan keluar dari kawasan perkhemahan kami. Setelah memperolehi tempat selesa diatas sebatang pokok besar yang telah tumbang maka kami pun duduk disitu sambil memerhati rakan-rakan kami menyediakan kemudahan bermalam kami.

“Encik, saya ingin bertanya mengapa encik menyebut tadi bahawa bilik tidur penghulu di sebelah kanan dan tekaan encik nampaknya tepat, dan di situlah kita mendapat mata wang lama itu,” Nik bertanya, memperlihatkan selera ilmunya terhadap tinggalan sejarah bangsa masih kuat berkobar.

“Saya hanya meneka Nik. Tekaan saya berasaskan kebiasaan orang yang selalunya sebelah kanan lebih mudah dari sebelah kiri.

“Tapi Nik, rumah tersebut boleh jadi saja rumah tumpangan para pedagang yang bermalam di sini,” kataku menjawab.

“Kalau anggapan kedua encik itu diterima, maknanya bilik-bilik lain juga mempunyai tinggalan barang-barang sejarah yang sangat berharga kerana bilik-bilik tersebut di diami oleh para saudagar,” Nik membuat andaian.

“Boleh saja kita menganggap begitu. Tapi itu andaian saja,” aku menjelaskan.

“Kalau begitu encik, siang besok kita gali kawasan ibu rumah tu. Mudah-mudahan kita menemui lagi khazanah yang kita cari selama ini.,” kata Nik bersemangat.

Aku tersenyum memikirkan hal Nik yang semangat sejarahnya berkobar-kobar tidak henti-henti. Anak muda ini sejak dari mula ketika ekspedisi kami masih dalam proses perancangan lagi telah memperlihatkan minat dan kasihnya yang sangat mendalam terhadap sejarah bangsa. Waktu itu dia sering menunjukkan padaku rencana-rencana sejarah yang berkaitan. Dia meminta aku membacanya dan kemudian berbincang dengannya mengenai raencana tersebut. Topik sejarah kegemarannya ialah mengenai hidup dan mati Kerajaan Melayu Melaka.

“Encik, mata wang lama yang kita jumpa tadi tu emas ke atau tembaga,” Nik bertanya aku, memotong fikiran ku mengenai dirinya.

“Entahlah Nik, saya tak berani meneka. Pandai emas kat Kota Bharu tu nanti akan memberi jawapan yang pasti,” jawabku.

“Itulah kata Sani tadi…, kalau emas maka kayalah kita,” Nik memberitahuku dengan ketawa.

“Sejarah lebih kaya Nik, lebih kaya dari wang emas itu, kalau pun betul tekaan Sani. Kita perlu perkayakan sejarah kita kerana sejarah itu untuk selama-lamanya bagi bangsa kita. Kekayaan dari emas itu hanyalah sementara,” jawabku.

“Saya tidak bermaksud begitu, saya faham mengenai Akta Muzium. Jika benar mata wang itu mata wang Kerajaan Melaka, biar emas atau tembaga maka saya tidak ragu-ragu untuk menyerahkan pada pihak Muzium Negara,” Nik memperlihatkan azam dan cintanya pada sejarah bangsa.

“Cuma Nik, sebagai mahasiswa dan warga Menara Gading, kita harus mengambil kira bahawa satu dari tanggungjawab universiti ialah untuk memelihara warisan bangsa. Tanggungjawab ini selari dengan tanggungjawab universiti terhadap ilmu. Maksud saya ianya menjadi lebih baik jika kita serahkan barang-barang sejarah itu pada pihak universiti. jika ini dapat kita lakukan maka bukan saja kita membantu memperkejapkan fungsi universiti malah kita telah memperluaskan makna ko-kurikulum itu sendiri,” kataku memberi pendapat pada Nik.

“Terima kasih penerangan encik itu, saya faham. Universiti kita patut menubuhkan satu jabatan yang berkaitan dengan perkara ni. Gelari Negara Bangsa contohnya bagi mempamirkan barangan sejarah seperti yang kita jumpa ini,” Nik menjawab.

“Bagus cadangan kamu itu Nik, sejarah itu akan terpelihara dengan belaian ilmu universiti dan aktiviti ko kurikulum mahasiswa pula akan menjadi hidup,” kataku menyokong pendapat Nik.

Angin rimba waktu petang bertiup sepoi, meluru perlahan dan menyelinap di antara pepehon kayu hutan. Tiupan yang tanpa henti itu membuatkan aku terasa nyaman, sejuknya yang menyelinap keseluruh tubuh dan anggota badanku. Aku memejamkan mataku dengan lembut bagi menyambut rasa nyaman bayu rimba yang sangat jarang kurasai. Aduhai.. alam rimba yang selalunya menjadi halangan keselesaan buat sang pengembara, namun ada masa-masa dan waktunya kamu  sibayu menyentuh halus dan lembut akan rasa dan jiwa si pengembara. Aku berhasrat membawa seluruh isi kampus bersamaku kesini, bagi menikmati bayu rimbamu ini!

“Abang Nik dan Encik..kita ada taklimat sekejap di khemah kita tu sekarang ni, jadi mari cepat,” Soo menjemput kami dan dia mengejutkan aku dari candaku bersama bayu rimba.

Aku dan Nik segera mengikut Soo ke khemah. Husein dan Loga yang ditugas menjadi ketua dan penolong ketua perkhemahan  kami disini telah pun bersedia di tengah tengah khemah untuk memberi taklimat. Husein pun memulakan taklimat..

“Kita tidak tidur di dalam khemah, hanya dibawah khemah ini secara beramai-ramai. Ini kerana kita sedang berada di tengah belantara yang asing bagi kita. Mudah mudahan kita selesa dan selamat.

“Di keempat penjuru khemah kita terdapat longgokan kayu kayu hutan yang hujungnya telah ditajamkan menyerupai tombak. Kayu kayu tombak ini ialah senjata kita sekiranya kita terdesak oleh pelbagai perkara yang tak dapat  dijangka. Berhampiran dengan kayu kayu tombak berkenaan terdapat pula longgokan kayu kayu mati untuk kita membuat unggun api yang  menerangi khemah kita. Api berkenaan boleh menakutkan binatan yang ada di kawasan sini.

“Sementara itu parang, golok dan pisau akan diletakkan di tempat berhampiran tombak tombak kayu, tercacak bersama tombak tombak berkenaan. Yang ini betul betul senjata kita dan kita akan dapat gunakan bila perlu. Itulah sedikit taklimat saya. Saya menunggu jika ada apapa yang perlu penjelasan,” Husein menghentikan seketika taklimatnya untuk menjemput pandangan dari rakan-rakan yang lain.

“Lampu suluh kita macamana?” Nik bertanya.

“Jumlah lampu suloh ada lima, Nik dan encik kita berkongsi satu, saya dan Husein masing-masing mempunyai satu dan selebihnya pada Soo, dan Cikgu Md.Zain,” jawab Loga selaku penolong kepada Husein.

“Hal makan pulak ni macamana?” Nik bertanya lagi.

“Ketua tukang masaknya Ati, Cah dan Clara. Cah sebut tadi kita makan saja apa yang dia dan kawan-kawan masak,” jawab Loga dengan memandang pada Cah.

“Soalan saya yang akhir ialah mengenai ruang atau tempat kesenangan awam,” Nik bertanya soalan yang akhir darinya.

“Tuan Pengarah, nampak tak ada dua tempat kepungan di kiri dan kanan perkhemahan kita ni. Yang kanan untuk wanita dan yang kiri tu untuk kita yang lelaki. Ada pelita minyak di sana nanti, dan ada tulisan juga. Tuan Pengarah jangan silap atau buat-buat silap dalam hal tandas ni tau!” jawab Loga dengan senyum pada Nik.

Malam mula menampakkan dirinya, keadaan rimba yang sedemikian rupa menyebabkan malam terlalu cepat hadirnya. Unggas malam mula bernyanyi bersahutan sesama mereka menyambut kehadiran malam. Unggun api mula dinyalakan oleh Husein, Loga dan Peter menjadikan persekitaran perkhemahan kami mula diterangi cahaya unggun api itu.

“Kuat sungguh semangat kamu Nik dalam mencari sejarah bangsa ni,” aku berkata pada Nik.

“Mudah-mudahan selamat kita di rimba ni,” kata Nik yang memahami maksud kataku tadi.

“Saya tidak pernah berkhemah pada malam hari di dalam rimba seperti ni. Saya ingat selepas kita membatalkan rancangan pertama kita, saya tak berpeluang sebegini lagilah. Rupa-rupanya peluang tetap ada juga,” kataku lagi.

“Ya, encik telah mencipta sejarah diri dan akan mendapat pengalaman baru, dan pengalaman itu pula bersama kami mahasiswa. Pengalaman bersama mahasiswa biar apa dan di mana pun pastinya menarik pada pegawai HEP,” kata Nik pada ku kemudian dia menyambung lagi..

“Sebenarnya kita semua yang sedang menjejaki sejarah bangsa ini telah mencipta sejarah bagi diri kita. Ini kerana kesanggupan kita sampai kemari kerana itu. Dan berkhemah di tengah-tengah rimba ini waktu malam begini pasti menambah cantik sejarah tadi,” kata Nik.

“Kamu macam saya juga nampaknya, perngalaman pertama berkhemah di rimba ni..,” aku berkata pada Nik meneka.

“Memang pun. Sebenarnya saya juga risau berkhemah malam-malam di sini. Tapi panggilan sejarah itu sangat kuat meruntun-runtun hati saya supaya bermalam untuk penerokaan besoknya. Pada saya, masa yang lain kita tidak akan ada kesempatan seperti ni lagi. Itu yang menyebabkan saya membuat keputusan bermalam di sini ni,” Nik memberitahu aku.

“Kamu ni Nik seorang petriot tulin yang berjiwa kental. Mudah-mudahan niat kamu terhadap sejarah itu kuat dan bersih. Ia akan menjadi sempurna dan menolak apa-apa yang tak diingini di sepanjang ekspedisi kita. Syabas Nik!” kataku menatang sifat petriotik Nik dengan memberi semangat lagi padanya.

Makan malam kami hanya nasi berlauk sardin dengan kobis mentah sebagai sayurnya. Walau pun makan malam kami sangat simple namun selera bukan pandai pun memilih-milih pada waktu seperti ini. Dia telah menjadi hamba yang patuh pada apa kata dan kemahuan perut. Maka makanlah kami dengan lahapnya.

Selepas makan aku berehat kekenyangan. Husein dan Loga sibuk menambah kayu diunggun api di hujung khemah sementara Soo, Ati, Clara dan Cah  membersihkan alatan memasak kami yang tak seberapa itu. Nik, Sani dan Peter sedang bersembang mungkin sedang berbincang kerana serius nampaknya sembang mereka itu. Tentunya mereka sedang merangka mengenai kerja-kerja menjejaki bahan-bahan sejarah besoknya. Sementara aku dengan  pemandu KESEDAR berbual-bual kosong sambil aku cuba mendapatkan maklumat tambahan dari mereka mengenai kawasan tempat kami berkhemah ini.

“Abang Man, di kawasan ni ada ke binatang buas?” aku bertanya.

“Terus terang saya beri tahu memang ada pun binatang buas kat sini. Kami kerap juga berburu rusa di tempat ni,” jawab Abang Man.

“Pak Belang ada tak di kawasan ni Abang Man,” aku bertanya.

“Haiwan tu payah nak jumpa dinkawasan ni tapi babi hutan memang banyak. Tadi pun waktu kita makan dah kedengaran sekawan babi hutan meronda ronda berhampiran khemah kita tu,” jawab Abang Man lagi.

“Wah..kacau kita malam ni Bang Man, sekawan haiwan tu menyerang kita mahu lintang pukang kita jadinya nanti,” kataku risau.

“Kami berdua ada membawa senapang buru, kami akan berjaga sampai pagi. Kalau haiwan itu menyerang kita tembak saja. Tapi haiwan hutan ni takut dengan cahaya api. Encik pastikan pelajar encik nyalakan api setiap masa,” Abang Man berpesan.

Aku merasa lega bila mendengar kata-kata Abang Man itu. Aku yakin mereka berdua mempunyai pengalaman hutan yang banyak. Keyakinan aku itu bertambah bila Abang Man menunjukkan senapang burunya.

 

Leave a Reply

Top