
Di sebuah perkampungan terdapat sekumpulan petani yang pekerjaan utama mereka ialah bersawah. Pekerjaan lain adalah berkebun, berternak dan lain-lain. Kehidupan mereka kelihatan tidak sangat harmoni, sifat bantu membantu satu sama lain nampaknya longgar.
Apapun pekerjaan mereka, bersawahlah pekerjaan utama yang melibatkan penduduk kampung berkenaan. Al-maklum kerana beras adalah makanan utama, maka sesiapa pun harus menyediakan keperluan asas yang wajib ini.
Biasanya setiap pesawah bekerja di sawah mereka selama lapan jam tidak termasuk waktu rehat. Walau bagaimana pun dari lapan jam itu mereka mengambil selama tiga jam bagi mengangkat air dari atas bukit kesawah mereka. Begitulah mereka lakukan setiap hari.
Suatu hari datang seorang anak muda ke kampung berkenaan. Dia juga turut menjadi pesawah. Setelah beberapa lama dia menjadi pesawah, terfikir olehnya kenapa tidak dibuat aliran air dari bukit berdekatan bagi membawa air kesawah. Jika terjadi seperti itu maka masa tiga jam yang digunakan untuk mengangkat air dapat digunakan untuk bekerja di sawah dan juga di kebun masing-masing.
Anak muda itu pun mengajak pesawah lain agar bergotong royong untuk membina saliran dari atas bukit ke sawah.
“Bapa-bapa, abang-abang dan adik-adik marilah kita bersama-sama membina saliran air dari atas bukit kesawah kita. Dengan demikian tak payahlah kita mengangkat air dari bukit sana,” ajak si anak muda.
“Anak muda. Cadangan kamu ini bukan cadangan baru. Kami telah melakukannya, tapi kami tidak berjaya,” kata penghulu.
“Apa sebabnya tuan sehingga tidak berjaya?” tanya anak muda itu.
“Ada beberapa sebab yang gagal tu. Antaranya timbul perbalahan kerana jika air dari atas itu disalirkan maka sawah siapa yang akan mendapat air dahulu. Tentulah sawah yang berada di kaki bukit. Sawah yang di sebelah bawah tentulah lambat dapat mungkin tiada air langsung. Pertelingkahan berlaku sedangkan kerja-kerja belum pun dijalankan. Maka terbantutlah,” jawab penghulu.
“Sebab yang lain tuan?” bertanya lagi anak muda itu.
“Kami dapat juga meneruskan kerja-kerja membuat saliran itu. Tetapi ramai kami jatuh sakit dan beberapa orang telah meninggal dunia kerananya,” jelas penghulu.
“Oo begitu rupanya! Ada apa-apa lagikah yang menyebabkan usaha itu gagal,”
“Kata sebahagian anak-anak buah saya, kawasan bukit itu berhantu dan berpenunggu, benda itulah yang mengganggu mereka,” jawab penghulu.
“Kalau gitu tuan saya memehon kebenaran untuk saya membuat saliran air dari atas bukit itu langsung kesawah saya. Saya mehon kebenaran dari Tuan Penghulu,”
“Boleh, silakan. Mudah-mudahan berjaya,” jawab Tuan Penghulu.
Orang muda itupun merancang-rancang persediaan, langkah dan strategi untuk menjayakan hasratnya. Akhirnya pada tarikh yang ditetapkan maka dia pun memulakan kerja-kerjanya secara bersaorangan diri.
Dia sangat faham kerja-kerja yang dilakukannya memerlukan semangat yang tinggi, ketabahan pula dalam erti kata yang sungguh-sungguh tabah. Dia mengetahui bahawa dia tidak boleh putus harapan, tidak boleh putus asa, tidak boleh ragu-ragu terhadap diri dan terhadap kejayaan projek. Dan dia harus punya kesabaran tinggi dan stamina yang panjang, rajin dan tidak malas.
Dia tahu yang dia harus merdeka, bebas dari segala yang lemah-lemah, bebas dari segala belenggu ketakutan dan tidak patuh terhadap pujuk rayu syaitan. Dia hanya patuh pada Tuhan bernama Allah.
Hari demi hari, bulan berganti tahun. Tahun berganti tahun. Siang dan malam kekadang sama saja baginya, baik hujan mau panas, baik ribut maupun tengkujuh melanda, kerja-kerja membina saliran air diteruskan. Entah sudah berapa banyak sakit yang melanda dia, kaki terkehil tangan tergeliat, jari jemari diratah kayu, batu dan parang. Semuanya itu menjadi mainan pada dia akhirnya. Semuanya kerana semangatnya tidak pernah sakit!
Mana-mana episod dalam kehidupan pasti berakhir. Demikian dengan orang muda ini. Rencana saliran airnya telah berakhir, berakhir dengan kejayaan! Lalu teralirlah air dari bukit kesawahnya tanpa mesti mengangkat menggunakan tangan. Alangkah bahagianya kerana dia tidak perlu memberikan masanya selama tiga jam untuk mengangkat air dari bukit kesawahnya. Sekarang masa selama tiga jam diguna sepenuhnya untuk bekerja di sawah, di kebun dan ladang ternaknya.
Orang-orang kampung memerhati kejayaan anak muda ini dengan rasa yang berbagai. Apapun mereka mengaku yang anak muda itu telah berjaya melakukan satu pekerjaan yang dahulunya mereka sangka dan jangka sesuatu yang mustahil terjadi dan tidak masuk akal. Akhirnya hasil telah pun berkata-kata kepada mereka!
Kemudian mereka memehon mahu menggunakan kemudahan saliran air orang muda itu untuk sawah mereka. Orang muda bersetuju dengan syarat setiap tuan sawah hendaklah bekerja selama satu jam di sawah dan ladang milik orang muda itu. Pesawah lain memperoleh dua jam penuh untuk sawah mereka kerana mereka tidak perlu lagi mengangkat air dari atas bukit. Mereka bersetuju.
Orang muda itu hanya mempunyai dua puluh empat jam sehari, seperti orang lain. Tetapi sekarang dia mempunyai lebih lima puluh jam dalam seharinya. Demikian rupa dan wajah kasih sayang Allah! Karya: burung punai.
“Ketahuilah dalam putus harapan terdapat banyak harapan,” Hafez-Pujangga Sufistik Abad Ke 14.
“Anda jangan terus menyalahkan diri anda lalu di mana kasih sayang Allah,” Hafez.
“Seseorang yang terpelajar harus juga berlaku adil sudah sejak dalam fikiran, apa lagi dalam perbuatan,” Pramoedya A. Toer.
“Makin berpeluh makin berkayuh, makin letih makin berlumba,”- Peribahasa kaum Iban.
“Hendak seribu daya. Benci seribu bencana,” Pepatah Adat Melayu.
“Biar lambat asal selamat,” Perpatah Melayu.
“Saatku rindu padamu, Ku seru seru nama mu, Rimbunan rindu yang bertemu, Menjadi hamparan cintaku, Ku serah kepadamu.” Wow-Engkau Yang Satu.
“Dahulukan akhirat daripada dunia maka kamu akan beruntung dalam keduanya,” Sheikh Qadir al-Jailani.
“Kemiskinan mengajar naluri kita mengenali mana yang penting dan mana yang diingini,” Danis Waitly.
“Tiada sesuatu yang lebih mahal daripada kemerdekaan dan tidak ada kebahagiaan yang lebih besar besar daripada menunaikan kewajipan,” Ali Abu Talib.
“Di Universiti sungguh pun berbagai rangsangan mungkin telah wujud, inisiatif untuk belajar tidak dapat digantungkan tanggungjawab itu kepada orang lain. Inilah sikap yang menjadi mutiara dayausaha pembelajaran di universiti,” Prof. Dr. Sulaiman Yassin. (UPM)