You are here
Home > Sastera > Tulang Ikan vs Berus Gigi

Tulang Ikan vs Berus Gigi

Maka berkatalah sejarah, si setia pencatat peradaban manusia. Cuma kalau bertanya kepadanya, apakah benar kamu ini si setia pencatat peradaban manusia. Maka si sejarah  menjawab, “Aku ini layang-layang yang mampu melayang tinggi. Gagah melawan angin, tapi tali yang kendali ku berada di tangan manusia.”

Suatu masa dahulu, di Kota London tersebutlah kisah seorang dewasa laki-laki yang kelaparan. Dia tidak punya wang untuk membeli roti atau keju. Dia tidak punya saudara mara untuk diminta kasihan. Lalu untuk mengisi perut dia mencuri.

Satu ketika dia ditangkap pihak Penguat Kuasa. Setelah dibicara, dia didapati bersalah lalu dihukum penjara. Tinggallah dia di dalam penjara bersama dengan banduan yang lain.

Para Pegawai penjara garang dan kasar dalam berurusan dengan banduan. Mereka melakukan penganiayaan terhadap banduan mengikut sesuka hati saja tanpa usul periksa. Sehinggakan makanan banduan pun mereka yang memakannya dahulu. Jika di lapurkan kepada pihak atasan, maka lapuran itu hilang di tengah jalan. Begitulah azabnya di penjara Inggeris di abad ke lapan belas.

Suatu hari semasa waktu makan tengahari, si banduan dalam cerita kita ini pun ke dewan makan. Sayangnya makanan telah pun tiada, habis. Yang tinggal hanyalah sisa-sisa kentang putar di pinggan kayu, lalu si banduan kita pun menggunakan jarinya untuk mendapatkan sisa-sisa itu. Kekadang dek kerana lapar, dia terus saja menjilat pinggan kayu itu.

Semasa menjilat itulah pandangannya dihala ke lantai dewan dan terlihat olehnya sepotong tulang ikan yang sebesar ibu jari dan panjangnya sejengkal berada di atas lantai itu. Dia  membongkok dan mengambilnya. Hanya tulang sahaja menakala isi ikan telah pun tiada. Namun kerana ikan itu protin maka dihisap dan dimamah juga tulang itu.

Kasihan dia, yang diperolehinya hanyalah rasa-rasa ikan saja. Begitulah nasib memilih untuk berada dengan si banduan kawan kita dalam cerita sejarah ini. Oleh kerana nasibnya begitu maka si banduan itu pun terus mengisap tulang itu berulang kali sambil berfikir-fikir apa yang boleh dibuat dengan tulang berkenaan selain dari dihisap-hisap sahaja.

Lama sungguh dia merenung tulang ikan berkenaan sambil berfikir apa yang boleh di buatnya dengan tulang tersebut. Kekadang dipejam matanya, dipusatkan fikirnya mencari kemungkinan. Kemungkinan yang boleh dibuat keatas tulang itu untuk kebaikan ramai. Atau kebaikan untuk dirinya. Berkerut dahinya tanda kerja berfikir dilaksanakan dengan payah dan sush. Akhirnya banduan kita itu pun tersenyum lalu melimpahkan ideanya dihamparan mayapada untuk disaksikan jagat buat seketika.

Dia membawa tulang itu balik kekamar penjaranya. Dibuang tulang-tulang kecil yang menjadi seperti jejari pada tulang yang besar. Selepas itu dicarinya besi kecil yang kuat lalu dengan besi itu ditebuknya lubang-lubang kecil di satu hujung tulang berkenaan. Dilakukannya berulang-ulang kali.

Semasa rekreasi, banduan ini bersama-sama berekreasi dengan banduan lain. Cuma banduan kita ini sambil rekreasi sambil dia mencari rumput kering yang keras lalu dibawa masuk kebiliknya.

Rumput kering itu di potong sepanjang satu inci lalu dimasukkan kedalam lubang-lubang kecil di tulang ikan tersebut. Setelah selesai lalu benda itu pun disimpan baik-baik untuk kegunaan suatu masa nanti.

Akhirnya banduan kita ini pun bebas. Dia keluar bersama tulang ikan yang disimpannya. Lalu dibawa tulang ikan itu kepada seorang usahawan. “Tuan, saya bawa satu benda yang akan menggegar orang ramai.”

Maka usahawan itu berkata, “Tunjukkan!”

“Inilah dia wahai Tuan. Dari tulang ikan saya jadikan ia berus gigi untuk orang ramai,” jawab bekas banduan.

“Tahniah. Saya beli idea kamu. Penjara hanya mampu penjarakan badan kamu tapi bukan akal dan idea kamu.”

“Hari ini saya mengait turun idea yang saya hamparkan di mayapada untuk manusia!” senyum saja bekas banduan kita.

Digarap dari cerita sejarah oleh burungpunai.

Kata Bestari:

“Hampir sama cepatnya dengan hari yang berlalu, kita sekali lagi menjadi orang yang menerima, bukan pemberi yang mengukur kebahagiaan melalui apa yang kita peroleh untuk diri kita,” Kent Nerburn.

“Inogomon dibongkirow, tinudungon nud konjolo Ipizo Soribau ngavan, ondomon sorimpuk langit,” Peribahasa Kaum Rungus, Sabah.

“Keberanian yang menjadi asas segala kebaikan itu merupakan sifat yang utama.” Tun Mohamed Salleh Ismael.

“Hidup bukanlah semata-mata berfikir, tetapi bertindak,” Woodrow Wilson.

“Kalau menyemai duri jangan harap menuai mawar,” Peribahasa Hindi.

“Kerjakan yang menurut anda benar dan jangan anda mendengarkan perkataan orang lain. Anda harus jalani pekerjaan itu dengan sungguh-sungguh.” Hafez.

“Tidak ada yang baru di bawah matahari..,” S.M. Al Ghazali.

 

Leave a Reply

Top