You are here
Home > Sastera > JAJA Pendekar Melaka – Bab 6

JAJA Pendekar Melaka – Bab 6

 

Mereka pun tiba di sebuah perkampungan terpencil kemudian berhenti di sebuah warung makan. Mereka cuba mendapatkan maklumat mengenai anak-anak Terandak dari pelanggan warung berkenaan. Jaja dan orang tua Terandak  memilih tempat duduk di tengah-tengah warung bagi memudahkan mereka bertegur sapa dengan pelanggan lain dalam mencari maklumat.

“Tuan tuan mahu makan apa?” tanya tuan warung pada mereka.

“Jika ada nasi sama ikan masak panggang dan sayur berkuah. Kami ingin memesan untuk dua orang,” Jaja menjawab sambil memandang Terandak meminta persetujuan.

“Minumnya tuan,” tanya tuan warung lagi.

“Air kelapa muda saja,” Jaja memesan lagi.

“Tunggu sebentar, saya siapkan pesanannya,” kata tuan warung sambil berlalu dari situ.

Angin bertiup perlahan, air terjun kecil di belakang warung terus terusan mencurah airnya. Bunyi air terjun itu telah bercampur dengan suara dan ketawa makan pelanggan yang sedang menikmati makanan masing-masing. Adunan alam dan laku manusia itulah yang menimbulkan suasana meriah dan ceria bagi warung makan itu.

Teringat Jaja pada gurunya yang pernah beberapa kali membawanya mengunjungi kampung dan pekan di perdalaman. Walau pun pekan dan kampung itu jauh dari pondok mereka di gunung, namun gurunya tetap juga membawa Jaja bersiar-siar sambil melihat keadaan pekan dan kampung orang. Semuanya itu kerana dirinya, agar mudah nanti bilamana tiba masanya untuk menyesuaikan diri.

“Jaja, kelihatan kamu bermenung jauh. Apa yang mengisi fikiranmu saat ini,” tanya orang tua Terandak.

“Saya terkenangkan guru saya,” Jaja menjawab.

“Siapa nama guru kamu?”

“Guru saya namanya Guru, nama sebenarnya saya tidak tahu,” jawab Jaja.

“Kalau begitu kamu ini saorang murid yang baik, lebih suka mengenali guru kamu dengan nama Guru saja. Satu penghormatanku pada kamu Jaja, kepada cara kamu itu,” orang tua memberi pujian.

“Saya pun tidak tahu apakah cara itu baik atau tidak. Tapi biarlah begitu kerana pada saya yang begitu itulah yang begitu. Dan yang begitulah yang baik. Lagi Gurupun tidak membantah,” Jaja menjawab hal mengenai dirinya dengan gurunya.

“Jika begitu, tentulah lama kamu bersama gurumu, apa yang kamu pelajari dari guru kamu itu,” tanya Terandak lagi.

“Menjadi tukang ubat, bapa. Ahli yang mengenal daun-daun dan akar kayu yang berkhasiat dan boleh dibuat ubat,” Jaja memberitahu orang tua itu.

“Kamu suka menjadi tukang ubat?”

“Tentu bapa. Kepayahannya ketika mencampurkan daun-daun herba itu. Ketika menentukan sukatannya,” Jaja menjawab.

Di ketika yang sama pelanggan warung kelihatan terburu-buru dan tergesa-gesa meninggalkan warung makan. Mereka kelihatan sangat cemas.  Ketika meninggalkan warung itu mereka telah melanggar buta sebahagian alatan dan perkakas warung sehingga ada yang menjadi rusak.

“Tuan berdua jangan tunggu lagi di sini, perompak perompak kejam tu sudah datang,” kata seorang pelanggan yang sedang lari meninggalkan warung, pada Jaja dan Terandak.

Kedengaran beberapa barangan dan alatan perniagaan  berantakan kerana disepak dan ditendang. Rupanya perbuatan itu dilakukan perompak bagi menakutkan pelanggan dan sesiapa saja. Jaja melihat dengan rasa  geram. Seorang dari perompak itu menendang bangku panjang sehingga terpelanting bangku berkenaan itu keluar warung.

“Saya kenal penjahat ini, merekalah yang merompak barang dagangan kami pagi tadi. Dan yang berbadan sasa itulah yang telah memukul saya sehingga pingsan..,” kata Terandak sambil bangun mahu menuju kearah perompak berkenaan.

“Bapa duduk dulu, keadaan kesihatan bapa tidak mengizinkan. Biarkan dulu perompak itu bermain sesuka hati mereka. Kita lihat dulu..,” kata Jaja menahan orang tua Terandak dari mencabar para perompak.

Sementara itu seorang perompak dengan wajah begis dan suara yang garau berteriak…

“Hei..orang tua warung, aku mahu makanan yang kamu bawa itu,” kata perompak itu sambil mahu merampas makanan yang sedang ditatang tuan warung.

“Makanan ini dipesan oleh dua tetamu saya di tengah tu,” kata pemilik warung sambil menunjukkan tamu yang dimaksudkan.

“Aku peduli apa dengan pelanggan kamu itu, pokoknya aku yang mahu makanan itu. Bila aku mahu, di maya ini tiada siapa  yang boleh menolak kemahuan aku,” kata perompak itu lagi sambil merampas makanan dari tangan pemilik warung.

Seorang rakan perompak pula menyampok membantu sahabatnya..

“Kamu ni sahabat..,  katalah pada si tua ni yang tiada siapa pun di sini yang boleh membuat apa apa peraturan pada kamu dan pada kita berlima ini. Begitukan lebih sedap di dengar telinga, bertamadunlah sikit bila berbicara,” seorang perompak memberitahu pada rakannya yang pertama tadi. Kemudian mereka ketawa berdekah-dekah.

“Ajaran kamu lebih betul dari caraku, ya sahabat! Seluruh waktu di mayapada akan berterima kasih padamu kerana itu. Tapi…, yang ini lebih bertamadun untuk si tua ni,” kata perompak pertama sambil mengirim satu tendangan yang tepat singgah di perut pemilik warung itu. Orang tua itu rebah dan mengelupur kesakitan.

 

 

Leave a Reply

Top