
Tidak lama Jaja menunggu dan akhirnya kedengaranlah..
“Siapa yang telah membunuh orang kananku, tubuhnya hangus terbakar dan mati di tengah jalan. Siapa hah?” garau saja suara kepala perompak itu bersama dengan amarahnya. Tubuh orang kanannya yang telah di pukul Jaja dengan tenaga dalamnya telah terbakar mati.
“Ketua Atasan, aku minta maaf kerana mengganggu kamu di hujung siang ini. Aku hanya bertanya di mana dua anak muda yang Atasan jadikan tawanan itu. Kemudian tiba tiba saja orang orang kamu menyerang aku,” Jaja menjawab.
“Mereka yang aku tawan itu tiada hubungan dengan kamu,” kata ketua perompak.
“Mereka lemah dan teriniaya. Itu hubungannya aku dengan mereka. Jadi aku minta diserah kembali anak-anak muda itu pada keluarganya,” Jaja meminta.
“Anak muda..,kamu boleh meminta tawanan aku. Itu pun belum tentu aku mahu membebaskan mereka. Tapi sampai membunuh pembantu kananku hingga terbakar hangus tubuhnya, itu bukan lagi main minta-mintaan..,” kepala perompak berkata dengan marah.
“Betul Ketua Atasan! Minta saya juga bukan jenis main-main. Sebab itulah orang kanan ketua mati. Jika Ketua Atasan juga bermain main dengan minta saya itu, ketua juga akan menyusulnya,” Jaja menjawab dengan senyum senyum.
“Kurang ajar, kamu anak sundal yang baru lahir petang semalam! Tinggi benarkah ilmu kamu ini, nah terima ni,” ketua perompak terus saja mengeluarkan jurus tangan berapinya. Dihala terus jurusnya itu tepat kearah dada Jaja. Dia mahu membakar hangus Jaja sepertimana Jaja membakar hangus pembantunya.
Jaja segera mengelak. Ketua perompak itu terus menerus menjurus Jaja. Setiap kali jurusan dihantar maka setiap kali Jaja berjaya mengelak.
Setelah sekian kali Jaja pun mengeluarkan jurus api biruputih miliknya pula. Kedua api dari jurus pendekar yang sedang bertarung itu bertembung di tengah antara keduanya. Tidak lama hal itu berlaku kerana ketua perompak segera menarik balik akan jurus apinya.
Ketua perompak itu tidak dapat menahan dan bertahan dengan bahang panas dari api jurus milik Jaja. Tahulah dia bahawa lawannya mempunyai ilmu dalam yang jauh lebih tinggi darinya. Jaja juga turut menghentikan jurus api putihnya..
“Kenapa kamu tarik balik jurus kamu wahai Atasan Ketua. Aku memberi peluang sekali lagi supaya memberitahu di mana kedua tawanan kamu itu,” Jaja memberi kias pendekar dan masih memberi peluang kepada ketua perompak itu.
“Aku tidak akan meminta nyawa dari kamu orang muda, nyawa milik Tuhan,” jawab ketua perompak dengan tegas.
“Tadi orang kanan kamu berkata dia tidak percaya Tuhan. Semua ahli gerombolan kamu juga tidak mempercayai adanya Tuhan. Kenapa pula dengan kamu wahai Atasan Ketua?” Jaja bertanya.
“Kepercayaan hanyalah sendiri sedirian. Boleh berubah bila suka,” jawab ketua perompak sambil mengeluarkan cemeti dari lilitan di pinggangnya.
Ketua menyerang. Ternyata senjata cemeti milik ketua perompak itu punya tenaga api kerana setiap kali dia memukul cemetinya, terpancar api yang merah menyala. Dengan cemeti itulah dia menyerang Jaja bertalu-talu.
Jaja menggerakkan badannya kekiri dan kanan dan kekadang melompat berpusing di udara mengelakan serangan cemeti lawannya..
“Kamu hanya bermain dengan angin saja wahai ketua busuk,” kata Jaja pada lawannya bila pukulan lawannya hanya singgah di tempat kosong.
“Kamu sombong sungguh anak keparat. Ibu sundal mana yang melahirkan kamu?” balas marah ketua perompak.
Jaja tersenyum. Mainan katanya berjaya mengusik malah mengganggu emosi ghirah perkelahian lawannya.
“Sombongku hanya pada waktu ini dan untuk kamu saja. Di waktu lain aku seorang yang baik,” Jaja menjawab sambil dengan pantas melompat kehadapan ketua perompak itu dan kemudian memukul tangan yang memengang cemeti berapi itu. Cemeti terus saja jatuh ketanah, ketua perompak terkejut yang amat sangat kerana secara tiba-tiba saja Jaja bukan saja berada di hadapannya tapi juga melakukan serangan yang hampir mematahkan pergelangan tangannya.
Aku minta nyawa dari kamu orang muda, ampunkan aku
“Aku minta nyawa dari kamu orang muda, ampunkan aku. Aku tidak akan melakukan kerja merompak lagi.” ketua perompak beralih arah meminta nyawa dari Jaja.
“Baiklah, kamu kembali ketempat kamu dan bawa kedua orang muda tawanan kamu itu ke sini. Aku menunggu, jika kamu tidak kembali, aku akan susul,” Jaja memberi amaran pada ketua perompak.