You are here
Home > Sastera > JAJA Pendekar Melaka – Bab 11

JAJA Pendekar Melaka – Bab 11

“Saya ingin berada di pusat tamadun dan peradaban Melayu yang akan menjadi payung kepada seluruh Nusantara ini. Saya mahu jadi tukang ikat dan tukang jahit kepada sebahagian dari payung itu,”

“Nak Jaja, setelah mendengar hal kamu dan tujuan perjalanan kamu, ada sesuatu yang patut kamu tahu..,” bersuara lagi pemilik warung makan itu.

“Teruskan bapa,” Jaja meminta.

“Beberapa hari yang lalu datang beberapa orang, mereka singgah di warung ini untuk makan. Dari sembang-sembang mereka itu, mereka bukannya orang Melaka atau orang Johor ataupun Bentan tapi mereka itu dari Tanah Jawa.

“Mereka bercakap mengenai hal pelabuhan Melaka yang sedang diusahakan Paduka Bendahara Tun Perak. Mereka mahu menghalang dan menggagalkan usaha itu. Mereka mahu mengarah pedagang dari timur dan barat ke Jawa,” kata tuan warung memberitahu Jaja.

“Bapa boleh bertutur Jawa?” cepat saja Jaja bertanya.

“Bapa pernah tinggal di Tanah Jawa. Bapa faham kata tutur mereka. Kekadang mereka bercakap bahasa Jawa istana atau keraton, ” jawab pemilik warung.

“Kalau begitu, mereka pasti mata-mata yang disebar oleh sebuah kerajaan di Jawa. Ini menunjukkan yang Melaka memang mempunyai musuh,” Jaja menjawab sambil menggangguk-ngangguk kepalanya.

“Dan kerana bahasa istana itu, tentu sebahagiannya orang-orang besar keraton di dalam kumpulan itu,” pemilik warung menambah lagi.

“Terima kasih bapa. Ini satu peristiwa yang saya jangka besar maknanya pada Tun Perak,” Jaja berterima kasih.

Jaja menung seketika, mengingat kembali kata gurunya mengenai pelabuhan Melaka. Jaja teringat kata gurunya sesebuah negara yang mempunyai pelabuhan akan cepat maju dan kuat. Apa lagi kalau pelabuhan itu di pesisir Selat Melaka, selat paling penting di Nusantara. Selat inilah yang mengawal perniagaan dunia. Sebab itulah Tun Perak bertindak memperelokkan sungguh pelabuhan Melaka dan menggubal Kanun Laut yang berkaitan dengannya. Hasrat hatinya pasti mahu menguasai perniagaan dan perdagangan dunia.

“Demikian hebat pemikiran Tun Perak! Dan tidak sangka yang guruku juga punya fikiran negarawan seperti adiknya,” bisik Jaja pada diri sambil dia tersenyum.

Gema air terjun kecil di belakang warung kian jelas kedengarannya. Hal ini kerana sang unggas yang bising di awal malam telah mula keletihan.

“Jaja…,” bersuara lagi pemilik warung makan itu.

“Anakku ini Buyong namanya, dia mahu mengikut kamu ke Melaka,” kata pemilik warung sambil memandang anaknya, kemudian dia menyambung lagi..

“Aku serah pada kamu saja. Hitam dari kamu maka hitamlah dia, tapi aku percaya yang kamu ini orang baik-baik. Umurnya hampir sebaya dengan umur kamu, Jaja,” kata pemilik warung lagi.

Jaja melirik matanya memandang Buyong.

“Bapa, biar saya bertanya Buyong sendiri…Buyong, aku ingin tahu mengapa kamu mahu mengikut aku ke Melaka,” Jaja bertanya Buyong.

Buyong senyum saja pada Jaja, direnungnya anak mata pendekar muda itu. Setelah hampir puas dia merenung mata Jaja, Buyong menjawab..

“Sebabnya kerana saya ingin berada di pusat tamadun dan peradaban Melayu yang akan menjadi payung kepada  seluruh Nusantara ini. Saya mahu jadi tukang ikat dan tukang jahit kepada sebahagian dari payung itu,” Buyong menjawab dengan tegas sambil memperlihatkan kemahuannya yang kuat.

“Kamu sanggup bersusah payah kerana jawapan kamu itu?” Jaja bertanya Buyong.

“Kalau saya punya nyawa lebih dari satu, semuanya itu akan saya serahkan untuk Melaka. Saya mahu berada di sana, membantu dan menolong membina dan menjadi sebahagian dari sejarah Melaka” jawab Buyong yakin.

“Kalau begitu pilih kamu kawan, besok bersiaplah untuk kita mencipta sejarah bersama,” Jaja bersetuju dan menghulurkan tangan kepada Buyong tanda syabas darinya.

“Salam gembira kami untuk adik guruku…Sang Bendahara Paduka Raja! Kami datang..!” Jaja berbisik kepada hatinya.

Leave a Reply

Top