You are here
Home > Sastera > JAJA Pendekar Melaka – Bab 13

JAJA Pendekar Melaka – Bab 13

Mereka tiba di sebuah dataran ketika mentari telah condong. Mereka berhenti melepaskan penat berjalan, masing-masing mencari tempat duduk untuk berehat. Tiar memilih tempat di sebatang banir besar sebuah pehon, di situlah dia menerus kerja dengan bola rotannya yang belum selesai. Begitu juga Lati dan Buyong telah mendapatkan tempat berehat masing-masing. Sementara Jaja masih berdiri memerhati keadaan sekeliling.

“Ada ayam hutan di sini..,” kata Jaja.

“Mari kita jadikan ayam itu lauk makan tengah hari kita,” sambut Lati sambil mengajak rakan yang lain bersama menangkap ayam hutan.

Kedamaian hutan bertukar menjadi riuh oleh keempat empat anak muda itu. Lati dan Tiar kelihatan bersungguh dalam usaha menangkap ayam itu. Malah Lati seperti menjadi tukang atur yang mengatur  tindakan mereka untuk menangkap ayan hutan itu.

Akhirnya setelah beriuh rendah, mereka pun berjaya menangkap seekor ayam hutan jantan yang besar. Lati mahu meneruskan lagi usaha untuk menangkap beberapa ekor lagi tapi ditegah Jaja.

“Setuju bang Jaja, cukup dengan seekor ini untuk kita berempat, alam di sini akan gembira dengan kita kerana dia yang memelihara haiwan ini,” sahut Buyong menyokong Jaja.

Tiba-tiba perasaan Jaja berdebar. Jaja menggenggam kuat rasanya itu bagi mendapatkan jawapan kenapa. Namun rasanya terus saja berdebar, tiada jawapan. Diperkuatkan genggamannya, tetapi  penglihatannya masih saja kabur. Seperti ada sesuatu yang tidak kena. Dia terus zikir..

“Bawakan ayam itu pada saya Yong, biar saya yang sembelihnya, saya mahu menghantar kepada Pemilik abadinya,” kata Jaja sambil mengeluarkan pisau dari bunjut  barangan peribadinya.

Setelah Jaja menyembelih ayam hutan itu, keempat mereka pun keanak air yang berhampiran. Jaja tidak sama membasuh dan mencabut bulu ayam itu, dibiarkan pada rakan-rakannya yang bertiga itu.

Jaja bermain dengan air sungai itu sambil membersihkan badannya untuk bersolat. Sewaktu itulah menerusi deria pancainderanya Jaja dapat melihat dedaun bergoyang. Ranting-ranting kecil patah terpijak dan beberapa susuk tubuh manusia terhendap-hendap mengintip mereka berempat.

“Apa mahu mereka..?” hatinya bertanya.

Ketika makan tengahari..

“Abang Jaja, boleh saya bertanya sesuatu pada abang..,” Tiar bersuara semasa mereka sedang makan tengahari, makan ayam hutan yang telah dipanggang.

“Silakan..,” kata Jaja sambil mengunyah perlahan daging ayam hutan yang enak itu.

“Dari semalam lagi saya melihat abang ini sering melakukan upacara seperti upacara orang beragama, apa betul bang? Saya ingin bertanya hal itu dari semalam lagi,” Tiar mengemukakan pertanyaan.

“Saya juga mahu bertanya hal yang sama, saya bertanya bapa saya malam tadi tapi kata bapa lebih baik bertanya abang sendiri,” Buyong juga bertanya Jaja soalan yang sama.

Jaja mengambil sedikit masa untuk menjawab..

“Memang upacara yang aku lakukan itu ialah upacara agama, agama Islam. Aku memperolehnya dari guruku. Menurutnya, agama ini agama yang selamat bagi manusia dan Tuhannya ialah Allah..,” Jaja berhenti sebentar sambil memejam matanya untuk melihat susuk-susuk tubuh yang mengintip mereka.

“Agama ini dari Tanah Jawa, ye bang Jaja?” tanya Lati pula.

“Tidak. Mengikut guruku agama ini datangnya dari tanah gersang yang jauh di sebelah barat sana, dimulai oleh seorang yang bernama Rasul,” Jaja menjawab.

“Siapa dia Rasul itu,” Buyong bertanya pula.

“Rasul itu seorang manusia biasa seperti kita. Namanya Muhammad. Dia dipilih dan diangkat Tuhan sebagai pengantara antara kita manusia dengan Tuhan. Melalui Dialah Tuhan yang bernama Allah itu menyampaikan ajaranNya,” Jaja menjawab lagi.

“Kenapa Tuhan yang bernama Allah itu tidak memilih bangsa Melayu menjadi RasulNya. Tuhan abang itu seperti tidak suka pada bangsa kita,” Buyong bertanya lagi.

“Bukan begitu sefaham aku Yong, Tuhan memilih dan mengangkat Rasul itu seorang saja dari kalangan manusia dan bangsa Arab yang dipilihNya. Bangsa Arab ini  penghuni tanah gersang di sana itu.

“Sifat pilihan ialah seperti mana sifatnya pilihan. Pilihan ialah satu, bukannya semua bangsa Arab itu diangkat menjadi Rasul. Cumanya seorang, sesiapa dan di mana pun itu persoalan yang Allah saja mengetahui!” kata Jaja.

“Tapi, apalah ada di tanah gersang itu sehingga Tuhan abang mengangkat RasulNya dari penghuni tanah yang sebegitu,” Buyong macam bertanya lagi.

“Mengikut guruku, tanah gersang itu menjadi halangan dan pemisah alam semula jadi antara orang Arab dengan tamadun bangsa lain yang lebih awal. Sempadan pemisah ini yang menjadikan agama Islam itu bersifat tulen dan asli..

“Ianya tidak dipengaruhi oleh mana-mana pemikiran dan budaya mana-mana tamadun yang terdahulu. Lalu agama Islam itu menjadi suci, apalagi datang dariNya. Demikianlah kehendakNya!” Jaja menjawab.

“Tapi kenapalah Tuhan agama abang tu suka dengan tanah gersang yang macam padang pasir tidak berpokok itu,” Buyong terus bertanya.

“Entahlah Yong,  menurut guruku tanah seperti padang pasir itu mempunyai kelebihan tertentu. Kata guruku cuaca di tanah seperti itu mempunyai iklim yang melampau. Siangnya sangat panas dan malamnya pula sangat sejuk. Sementara tanahnya pula berbatu batu tajam.

“Namun apa saja yang ada di dunia ini mempunyai dua sisi. Iklim panas di sana menyebabkan tumbuhan sukar hidup. Tapi iklim itu juga mengasuh jiwa rasulNya menjadi kuat, gagah dan merdeka. Dengan kegagahan itu ajaranNya dapat disampaikan kepada semua manusia oleh RasulNya itu, tanpa takut-takut. Demikian kesan alam pada manusia. Sebab itulah ajaran RasulNya sampai sehingga kepada kita di sini,” Jaja memetik kata-kata gurunya.

“Guru abang mendapat agama baru itu dari siapa?” tanya Buyong lagi.

“Guru dan adiknya menerima dari seseorang. Aku tidak tahu siapa orangnya. Kita ni sedang  mencari adik guruku di Melaka sana. Di sana kita boleh mendalami agama baru ini jika kamu semua mahu,” kata Jaja.

“Saya ingin ke Tanah Gersang satu hari nanti. Saya mahu melihat tempat kelahiran RasulNya itu dan  merasai kelebihan alam di sana,” Buyong menyatakan hasrat hatinya.

“Mudah-mudahan Yong, aku juga mahu ke sana. Di sana ada Kaabah. Itu rukun terakhir dalam agamaku,” Jaja menjawab Buyong.

“Kaabah itu apa, abang Jaja?” Tanya pula Lati.

“Kaabah tu rumah Allah. Rukun Islam yang kelima meminta penganutnya yang mampu kesana membuat lawatan dengan melakukan tawaf,” Jaja menjawab.

“Kenapa ada Kabah dan kenapa kena tawaf?” Lati bertanya lagi.

Jaja diam seketika. Penglihatan dan rasa di tujukan pada susuk-susuk tubuh yang tidak lagi bergerak. Jaja menjawab Lati..

“Nanti di Melaka kita minta adik guruku menerangkannya. Apapun jawapan pada soalan kamu itu Lati ialah ketika Allah memutuskan untuk mencipta manusia, malaikat seperti membantah. Lalu Allah marah. Malaikat takut lalu memehon maaf  dan ampun dengan membuat tawaf keliling tempat bersemayam Allah. Lalu Allah perintahkan Kaabah dibina dan diperintah pula manusia pembina itu melakukan tawaf seperti malaikat melakukan tawaf terhadap tempat semayam Allah. Itulah kata guruku.

“Selain dari itu aku sudah tidak tahu lagi. Paduka Raja Tun Perak tentu ada jawapan. Paduka kami datang!”

Leave a Reply

Top