You are here
Home > Sastera > XPDC Lebir – 3 – Bermulanya Satu Ekspedisi Mahasiswa

XPDC Lebir – 3 – Bermulanya Satu Ekspedisi Mahasiswa

Deruan bunyi keretapi malam yang kami naiki kian bertambah kuat dan nyaring, membelah malam yang kian bertambah sunyi. Sang keretapi yang bagaikan  saorang buroh yang gagah lagi setia, tidak jemu-jemu bertempik di sepanjang jalan. Meredah malam membawa penumpang yang punya agenda masing-masing, termasuklah kami. Ini bukanlah kali pertama aku bersama pelajar  berakativiti ko kurikulum dengan berkeretapi. Kali ini entah telah berapa kali dalam sejarah aku sebagai pegawai HEP. Aku tidak pernah mengira pun berapa kali kesemuanya.

Pelajar yang bersamaku telah mula keletihan. Maklumlah mereka telah sibuk menguruskan persiapan akhir ekspedisi ini dari pagi-pagi lagi. Sebahagian dari ahli  tidak sempat pun tidur malam tadi kerana kerja-kerja persediaan itu. Sebagai pegawai penasihat kepada KAM ini, aku sangat gembira melihat komitmen setia terhadap janji mereka untuk berekspedisi.

Aku gembira dan senang memikirkan kesungguhan para pelajarku itu. Senang hatiku melihat bagaimana pembelajaran dari nilai kerjasama menjalar dan meresap masuk dengan halus di sanubari mereka, tanpa mereka sedari. Semuga mereka mampu menyerap nilai-nilai baik pembelajaran dari aktiviti seperti ini untuk kehidupan masing-masing di hari muka nanti.

Aku tersenyum sendirian mengenang kembali betapa kalut dan bersungguhnya pelajarku menyediakan persiapan dan kelengkapan untuk berekspedisi kali ini. Dalam kekalutan dan kesungguhan mereka itu sempat juga mereka bergurau dan berkelahi kawan.

Aku masih terbayang bagaimana Sazali bersama Basir menyanyikan lagu tema ekspidisi, untuk mengisi kegembiraan. Ketika itu Sazali dan Basir sedang menjemur alatan perkhemahan kami. Sazali memang tidak boleh bernyanyi macam Si Basir Melaka juga. Telinga mereka telinga badak, bila menyanyi mereka sendiri pun tak boleh dengar. Macamana  mereka nak betulkan suara mereka. Apabila saja Sazali dan Basir menyanyi,  Hasnah dan Mazlah yang ketika itu sedang membersih alatan masak, masuk campur mengutuk..

“Kalaulah badak Hippo di Africa  sana tu mendengar Seniman KAM ni bernyanyi,  mau  haiwan air yang gedebab tu berguling-guling kat dalam air. Sesal kerana mendengar. Tak bangun-bangun dia sebab sakit telinga mendengar nyanyian Sazali dan Basir tu,” kata Hasnah kuat.

Selepas itu Mazlah turut campur pula mengutuk..

“Hippo warnanya biru dalam i Pad. Tapi dalam realiti, gelap! Macam kamu berdua, berkulit gelap. Jadi kamu berdualah Hippo yang bernyanyi tu. Ha..Ha..Haa!” kata Mazlah.

“Kami tidak gelap. Cuma kurang putih saja! Yang Hippo tu kamu berdua. Sebab kedua-dua kamu memakai baju dan tudung hitam. Maka kamu berdualah Hippo, Hu..Hu..Haa!” kata Sazali. Lalu kedua-dua mereka bangun dan menari ala orang Afrika sambil menyebut, “Kamu Hippo… kamu Hippo..,kamulah Hippo,” kepada Hasnah dan Mazlah.

Dari gaya dan kelakuan Sazali dan Basir yang seperti orang Afrika mereng tu menyebabkan Hasnah dan Mazlah jadi marah. Lalu mereka menyerang Basir dan Sazali dengan air paip sehinggalah basah kuyup.

Aku tahu kenapa Sazali dan Bahsir tidak mahu melawan, sebabnya tiada air ditangan mereka. Akhirnya mereka tmendapat satu akal. Mereka Lari dan berlindung di sebalik aku. Yang sedang duduk di sebuah kerusi. Terselamatlah mereka dari serangan air Mazlah dan Hasnah.

Begitulah, aku tersenyum gembira mengenangkan tingkah laku mereka..

“Semuga kamu mengetahui wahai sang keretapi yang kamu ini sedang membawa anak-anak dari Menara Gading. Mereka sarat dengan kemahuan mencari makna hidup mahasiswa, mahu memahami sebahagian kecil dari sejarah rupawajah bangsanya,” bisik hatiku gembira, biar pun hanya berkata-kata dengan sang keretapi.

Aku tersenyum sendirian, angin malam yang masuk melalui jendela yang sengaja ku buka memukul mukaku tanpa henti-henti. Aku teringat akan tema ekspedisi kami yang dipilih Nik. Dia mengambil sebuah lagu berentak slow rock sebagai teras yang mendukung makna ekspedisi ini. Lagu tema yang dipilihnya adalah lagu yang menjadi pujaan ramai sedikit masa dahulu iaitu Ku Di halaman Rindu oleh Lefthanded.

Aku masih ingat. di satu pertemuan dengan peserta ekspedisi, Nik berpeluh-peluh menerangkan maksud lagu itu. Dia menterjemahkan maknanya agar bersesuaian dengan tujuan dan matlamat ekspedisi ini. Akhirnya, setelah berpeluh-peluh menerangkannya, bersoal jawab maka lagu itu pun diterima ahli. Soo, Sani, Raha, Anis, Siti Aida, Zack dan Ati lah pendokong kuat lagu itu untuk dijadikan lagu tema  ekspedisi kami ini.

Aku masih teringat..

“Lagu ini lembut, tidak rancak. Tidak memenuhi citarasa kita yang remaja ini! Nanti lagu ini akan menambahkan kita lagi penat di hutan sana tu,” bersuara Acik mengutarakan pendapatnya.

Dewan kecil itu terasa lengang sekejap. Along yang meminati lagu-lagu yang berentak perlahan bangun…

“Saudara Pengerusi. Lagu tidak rancak bukan pertimbangan, kerana irama rancak tidak mampu menyusup masuk ke dalam alam pengertian dan pemahaman kita. Yang mesti jadi perhatian kita ialah kata-kata dan makna yang dibawa lagu Ku Di Halaman Rindu tu. Itu yang utama dan penting!”

Aku teringat, mereka berbalah dalam memilih lagu tema ini. Tetapi balah mereka balah mahasiswa penulis. Jadi seronoklah mendengar balah-balah ilmu mereka itu. Akhirnya bangunlah Shafrin, mahasiswa PBMP asal Pahang yang punya telinga dan hati sastera, lalu berkata menyokong Nik..

“Kepada saya, pemilihan Nik tepat sekali. Lagu slow rock ini mempunyai kekuatan kata dan makna dalamnya yang hebat sebagai sebuah lagu. Kekuatan miliknya itu membuat pendengaran kita begetar dan sifat itu berterusan. Senikatanya  sangat puitis, pemilihan kata oleh penciptanya tepat dan cantik. Maknanya sangat besar, ia sebuah ratapan hati terhadap sebuah peradaban milik bangsa kita. Milik itu telah pergi dan hilang..!

“Tajuknya saja, bila didendangkan menggegarkan rasa dan jiwa kita terhadap keupayaan silam bangsa kita. Sepatutnya kita mahasiswa mengerti makna yang dibawa oleh Ku di Halaman Rindu ini, yakni kita akan berada  di laman peradaban bangsa yang telah lenyap….”

Itulah Sharfrin, bila berhujah,  semua mereka  bersetuju.

Aku juga kira pemilihan Nik itu tepat. Penghayatan yang mendalam terhadap setiap kata dan baris lagu itu boleh mendorong peserta memahami dan menghayati maksud pencarian ekspedisi Lebir ini. Malah lagu ini akan menjadi satu lagu klasik bagi mereka. Biar pun beberapa dekat berlalu, bila saja lagu ini berkumandang maka di kala itu semangat dan makna ekspidisi ini akan bangun dan hadir kembali. Satu haba bara tenaga untuk diri yang sentiasa menerobos ruang waktu bagi berusaha lagi membina diri mereka demi untuk negara tercinta.

“Terima kasih Lefthanded,”  kataku.

Aku pun menyanyikan lagu tema ekspidisi kami itu dengan perlahan sekali sambil cuba menikmati makna dan maksud lagu tersebut. Kemudian aku asimilasikannya dengan matlamat dan tujuan ekspedisi kami ini. Aku tersenyum sendirian mengenangkan kebijaksanaan Nik menjadikan lagu kegemaran anak muda  itu sebagai lagu tema kepada ekspedisi kami. Sebelum kami sampai di Lembah Sungai Lebir pun lagu Ku Di Halaman Rindu itu telah lebih sepuluh kali kami nyanyikan bersama, agaknya berapa kali lagi kami akan nyanyi bersama.  Aku berharap lagu tema ini akan dapat membantu mencapai maksud aktiviti kami ini.

   “Oh sayangku, hanyalah untuk mu!”

“Aduhai sejarah peradaban bangsaku, kamulah yang membentuk negara bangsa kami hari ini. Ekspedisi kami ni memperlihat betapa sayangnya kami pada mu,” kataku.

Keletihan telah mula menjengahku. Ditambah dengan angin malam yang menyapu mukaku tanpa henti, aku mula terasa mataku begitu berat sekali. Aku yakin  sekejab lagi aku juga akan menurut pelajarku yang telah tertidur keletihan. Dan tinggallah siburoh tua yang masih gagah lagi setia menjerit bertugas sendirian…

Leave a Reply

Top