
Awal bulan lalu Roy berkenalan pula dengan seorang siswi Fakulti Sastera. Siswi genit jelita itu terjumpa di klinik Fakulti Perubatan kerana kemalangan. Roylah yang membantu menguruskan hal gadis genit itu di klinik. Dari situlah bermula hubungan mereka yang seketika sahaja telah menjadi intim. Itulah kelebihan hero kita ini, pemikat hebat abad 21.
Mahasiswi Fakulti Sastera dari Disiplin Pengajian Melayu ini berasal dari Tanjung Surat, Johor Darul Takzim. Namanya Sitibijak turunan Melaka Johor di sebelah bapa, sebelah ibu pula dari turunan Jawa Djokja. Kalau diamati nisab turunan nya bolehlah disimpulkan Sitibijak ini berdarah dari istana Kerajaan Melayu Melaka dan Kraton Jawa Majapahit. Kalau dalam sastera lama darah turunan Sitibijak sebegini bukanlah turunan orang sembarangan. Turunan Raden Galuh Cindra Kiratna asal Gunung Merapi Disana Wa.
Demikian asal turunannya. Seperti namanya Sitibijak sememangnya Sitibijak ini bijak orangnya. Kata-katanya adalah kata-kata surat dan bukan kadang-kadang tapi selalu kata-katanya sangat puitis. Pemilihan perkataan di dalam ayatnya bukan saja tepat tetapi mengandung makna besar yang kejap. Demikian hal Sitibijak, kekadang dia menjawab soalan Roy hanya dengan berpantun. Selalunya pantun empat kerat yang membariskan ayat dan kata-kata susastera bersifat tradisi dan klasik.
Roy kita ni boleh juga berpantun, sikit-sikit saja. Tapi pantun yang sikit tu pantun dua kerat. Pantun bangang namanya! Lepas pantunnya Roy iringi dengan tawanya yang kadang-kadang terdengar seperti ketawa bodoh. Sitibijak pernah menasihati Roy jangan berpantun dua kerat lagi kerana pantun jenis itu pantun mandul, pantun yang tak masak macam kelapa mumbang. Dalam hal ni, Sitibijak sampai kata Roy sudah melakukan perbuatan merogol Peradaban Melayu khususnya pantun.
Sebagai kekawan baru yang intim mereka berdua sering berjumpa dan sering bersama. Mereka berdua meronda Lembah Kelang melawat-lawat tempat yang mau dilawat. Kekadang sampai Port Dickson melayan rasa intim mereka.
Cumanya bila berjalan-jalan itu, Sitibijak hanya pakai motornya saja. Roy tak pernah tawar motornya. Minyak pun Sitibijak kena tanggung. Dan makan pun Sitibijak jugalah yang banyak menanggung. Aduhai inilah turunan Siam Perut Hijau, perut ikan kembung! Kedokut tahik hidung masin.
Sitibijak mengamati perilaku sahabat intimnya. Teliti ia melihat tanda-tanda kuat yang membolehkan Roy ini dibuat kawan atau suami. Sitibijak mendapati, tahu Roy mengenai bagaimana seharusnya lelaki bilamana bersama wanita seperti sewaktu minum dan makan, sewaktu melintas jalan, sewaktu memasuki kedai, sewaktu ke kedai membeli barang dan banyak lagi; tahunya sikit saja. Sitibijak membuat kesimpulan Roy perlu pergi berkursus dalam hal ini.
Tangan Roy berat, para pengemis di hujung jalan tidak berterima kasih pada Roy atau mendoakan Tuhan tidak menambah kebaikanNya pada Roy. Tin derma membina surau dan masjid serta makanan anak-anak yatim piatu di kedai-kedai mamak tu senantiasa memaling muka bila Roy mahu membayar makannya. Tabung-tabung itu tak kenal pun Roy, jejaka Melayu campur Siam Perut Hijau ini, pasal berat tangan! Satu hari Sitibijak berpeluang bercakap-cakap panjang dengan Roy. Sitibijak berkata..“Roy, kita dah berkawan hampir lima bulan dan saya telah mengerti tentang kamu ni…” kata Sitibijak.
“Apa yang kamu tahu tentang saya. Saya sedang mahu memahami fikiran mahasiswa sastera dan you pun perlu memahami fikiran mahasiswa sains perubatan,” Roy membalas kata.
“Saya sangat setuju dengan fikiran kamu itu. Tapi ini soal mahasiswa laki-laki. Soal ini sangat penting…” Sitibijak menjawab.
“Siti..kata penulis asal Kelantan, “Lelaki bagaikan tasik, mana-mana perempuan yang masuk ke dalamnya akan merasai basah yang sama; kamu jangan risau hal itu Siti,” jawab Roy yang baharu membaca sebuah novel kerana mahu memahami fikiran mahasiswa sastera.
“Saya bukannya maksud itu. Saya maksudkan kamu ini bukan lelaki pemberi. Perhatikan baik-baik, kamu bukan pemberi. Lelaki mesti jadi pemberi. Bila dia menjadi pemberi lalu ia tidak punya apa-apa. Ertinya lelaki ini bersedia setia dan susah kerana isterinya dan orang lain. Lelaki mesti selalu memberi, memberi sayang pada isteri dan yang lain bukan sebaliknya. Itulah lelaki sebenar dan sejati, pilihan saya adalah lelaki seperti itu, lelaki pemberi!” tegas saja kata Sitibijak.
Terduduk dan tersandar Roy.
Kata bestari:
“Seseorang yang indah secara fizik tidak menjamin dirinya baik dan setia. Ikatkanlah hati anda kepada seseorang yang juga memiliki keindahan dari dalam. Malaikat dan bidadari merupakan simbol keindahan. Namun ukuran kebaikan dan kasih sayang itu adalah seorang manusia yang memiliki kebaikan dan kebenaran..” Hafez.
“Cinta bukan hanya di mata, Cinta hadir di dalam jiwa; Biarlah salah di mata mereka, Cinta kita kita yang rasa,” Suci Dalam Debu-Iklim.
Sejarah memberi kita pengajaran bahawa apa yang telah menimpa generasi terdahulu juga akan menimpa generasi berikutnya. Apa yang akan kita hadapi sebenarnya juga pernah dihadapi generasi sebelum kita. Langkah terbaik yang boleh kita lakukan adalah meneliti apa yang sudah terjadi dan cuba menyelesaikan apa yang sedang terjadi,”-Sheikh Muhammad Al-Ghazali.
“Sudah ku pandang, Sudah ku tenung; Tuanlah seorang, Yang baik hati,” Nasib Penambang-Lagu Ghazal.
“Lidah seseorang, yang arif terletak di hatinya, hati seseorang yang dungu terletak di lidahnya,” Peribahasa Arab.
“Saya tidak mampu mengubah arah angin, tetapi saya mampu memperbetulkan layar untuk sentiasa sampai ke destinasi saya,” Jimmy Dean.
“I learned all about life with a ball at my feet,” Ronaldinho.
“Siapa pun yang bercita-cita besar, rahsianya adalah perubahan diri sendiri,” M. H. Bashori.
“Perhubungan dua hala tanpa hairaki mesti terus diamal bagi membugar ketelusan dan integriti,” Prof. Dr. Sharifah Habsah.
“Kehidupan adalah kemajuan,” Hafeez.