
Hati Pak Tempua dan Mak Tempua merasa puas. Sarang yang selama ini diidam-idam telah pun siap. Dan Mak Tempua mukanya merah-merah menantikan saat-saat bahagia, saat untuknya bertelur. Kekadang memikirkan masa bertelur menyebabkan Mak Tempua berasa gembira bercampur resah gelisah. Cuma yang pasti kepada Mak Tempua ialah saat-saat yang ditunggu dalam seluruh hayatnya telah hampir tiba.
Melihat perilaku Mak Tempua, Pak Tempua tersenyum sengih. Seronok dan gembira. Hati Pak Tempua merasa puas kerana sarang mereka sarang tercantik dibandingkan dengan sarang-sarang tempua lain. Lagi rendah atau lagi hampir ke bumi, lagi indah kerana lagi mudah mendengar nyanyian unggas dan cengkerik pada siang dan malam hari. Tentu anaknya yang bakal menetas nanti akan tersenyum-senyum mendengar nyanyian merdu sang unggas dan cengkerik itu.
Pak Tempua dalam hatinya mengikat janji sendiri bilamana Mak Tempua bertelur sahaja, sang keralah makhluk pertama yang akan diberitahu. Sang Kera adalah sahabat mereka paling baik, yang paling mengambil berat. Lagipun Sang Kera juga turut resah menanti saat Mak Tempua bertelur. Begitulah Sang Kera dengan Pak dan Mak Tempua.
Al-kisah, di atas muka bumi berhampiran dengan rimbun buluh tempat tempua laki bini bersarang, tersebutlah cerita Sang Tedung yang tenat hampir mati kerana terpijak oleh Sang Badak sakti. Sang Badak sakti yang pekak tuli itu terlalu leka bermain-main dengan anaknya sehinggakan tedung yang tidak pernah bersalah dan berdosa kepadanya menjadi mangsa kakinya yang besar, berat, hitam legam dan lagi hodoh itu. Sang Tedung mengelupur kesakitan lalu meraung meminta tolong. Lama dia meraung kesakitan dan lama dia meraung meminta tolong. Tetapi tiada kawan-kawannya yang datang membantu. Tedung merasai sejarah hidupnya di dunia ini hampir-hampir tamat.
Tiba-tiba di celah-celah semak, muncul seekor ayam jantan yang gagah lagi segak. Melihat Sang Tedung yang derita kesakitan lalu si ayam jantan ini terus mengambil sejenis herba yang berada hampir dengan tempat kejadian itu. Herba itu terus dimasukkan kedalam mulut tedung. Memang si Jalak Jantan ini dukun terkenal, di warisi dari datuknya yang pernah menjadi dukun kehormat kepada si singa, Maharaja Rimba.
Beberapa detik berlalu, Tedung berasa perubahan tiba-tiba menyelinap di seluruh tubuhnya dan beberapa saat kemudian dia merasa segar dan sihat semula. Matanya pun perlahan-lahan dibuka. Dilihatnya seekor ayam jantan berdiri gagah di hadapannya. Hatinya berbisik bahawa ayam jantan inilah yang membantunya. Lalu ia mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Sebelum mereka berpisah, Si Tedung berjanji kepada Si Jantan bahawa dia akan menunaikan kehendak Si Jantan apa sahaja pada masa akan datang.
Si Tedung berjanji demikian kerana pada suatu ketika terdahulu Sang Kera pernah berjanji padanya bahawa akan membantu Sang Tedung apa saja permohonan dan permintaan Sang Tedung. Ini kerana Sang Tedung telah mengubati luka di badan Sang Kera selama tiga purnama lamanya. Pada waktu itu Sang Kera menderita kesakitan kerana ditembak oleh pemburu bengis yang tidak mempunyai apa-apa tujuan.
Oleh kerana itulah Kera berjanji kepada Sang Tedung. Kera menceritakan perkara ini kepada sahabatnya yang paling setia, sahabatnya yang paling rapat, sahabat yang paling disayangi iaitu Pak Tempua dan Mak Tempua.
Ketika berbual-bual kosong bersama Pak Tempua dan Mak Tempua terutama sekali ketika mentari mahu terbenam di ufuk barat, ketika itulah Sang Kera melagu-lagukan kebaikan hati Sang Tedung yang tenang dan sabar mengubati sakitnya berbulan-bulan lamanya. Demikianlah persahabatannya dengan Pak Tempua dengan Mak Tempua malah ketika Pak Tempua sibuk-sibuk membina rumah, Sang Kera turut membantu. Sang Kera juga turut bergembira dan berdebar-debar perasaannya menunggu Mak Tempua bertelur.
Maka apabila tiba detik dan tikanya Mak Tempua pun bertelurlah!
Tersebut kisah Si Ayam Jantan tadi. Malang tidak berbau. Si Jantan terminum air beracun dan Si Jantan menggelupur kesakitan. Dia meraung meminta tolong. Kasihan Si Ayam Jantan sakitnya terlalu berat sehingga dia percaya bahawa saat-saat kematiannya telah sampai.
Pada ketika itu Sang Tedung yang mempunyai pendengaran baik terus cepat-cepat datang membantu Ayam Jantan. Kata Ayam Jantan, mengikut kitab perubatan Atuknya bahawa satu-satunya ubat bagi mereka yang terminum air beracun di tepi Gua Hitam itu hanyalah dengan memakan telur tempua. Hanya telur tempualah satu-satunya bahan yang boleh mengubat sakit ayam jantan itu.
Apabila tedung mendengar jenis ubat itu, terus tedung teringat janjinya pada Si Ayam Jantan. Dalam sekelip mata dia terbayang wajah Sang Kera yang pernah berjanji kepadanya. Tanpa membuang masa, Sang Tedung terus berlari berjumpa Sang Kera lalu menceritakan prihal Ayam Jantan dan juga janji Si Tedung kepada Si Ayam Jantan dan hutang nyawa Si Kera kepada Si Tedung. Si Kera diminta mengambil telur tempua untuk mengubat Si Ayam Jantan.
Bagaikan halilintar memenuhi ruang angkasa dengan petirnya yang dahsyat dan bagaikan letupan gunung berapi Karakatoa, demikian rupa terkejut yang menyerang Sang Kera ketika itu. Sang Kera tahu hanya sarang Pak Tempua dan Mak Tempua sahabatnya yang mempunyai telur itu. Sarang lain belum ada.
Menangis hati Sang Kera. Pak Tempua dan Mak Tempua dengannya punya ikatan persahabatan yang sangat erat dan dengan Sang Tedung dia terikat dengan janji. Dengan Pak Tempua dan Mak Tempua janji persahabatan yang mulia, dengan Sang Tedung janji terima kasih yang membawa makna harga diri dan maruah. Hatinya menangis kerana tiada penyelesaian terhadap perkara ini. Telur tempua yang ada hanyalah telur tempua sahabatnya dan jumlahnya pula hanyalah satu..!
Kata Bestari:
“Anda mengetahui betapa senangnya memiliki teman yang jujur. Jika anda mengemis di ujung jalan untuk mendapatkan teman semacam ini, hal itu lebih baik dari menjadi raja. Oleh kerana itu hargailah teman-teman baik dan jangan anda menyakiti mereka.” Samsud Din Muhammad Hafeez-e Dirazi.
“There is always a best way of doing everything.” R.W. Emerson.
“The first step to wisdom is silence; the second is listening,” Carl Summer.
“Tell me I forget.Teach me and I remember, Involve me and I learn.” Banjamin Franklin.