You are here
Home > Sastera > JAJA Pendekar Melaka – Bab 14

JAJA Pendekar Melaka – Bab 14

Setelah makan tengahari dan berbincang  mengenai agama baru, mereka pun bertolak turun dari dataran. Harapan mereka dapat mendalami agama baru itu lagi bila di Melaka nanti. Menurut Jaja, gurunya pernah menyebut bahawa adiknya di Melaka telah membina sabuah balai yang khusus untuk mendalami agama baru ini. Di situlah berhimpun penganut agama baru itu. Mereka belajar dari para guru yang datang dari Tanah Arab.

Jaja tidak dapat merasai lagi kehadiran susuk-susuk tubuh manusia yang tidak diundang itu. Mungkin mereka telah pergi. Begitu fikir Jaja.

Sambil menurun curam mereka berbual mengenai agama baru itu. Perbualan mereka disulam dengan permainan sepak raga yang bolanya telah siap dianyam Tiar. Seronok mereka bermain sepak raga sambil berjalan menuruni cerun dataran. Permainan yang tidak mengikut aturan biasa kerana gelanggang yang sedemikian rupa dan berubah-ubah pula. Lati merasa sedih kerana tidak dapat menunjukkan kemahirannya bermain.

“Abang Jaja, kedengaran orang berkelahi di sebelah sana. Hebat sungguh bunyinya,” Tiar memberitahu sambil menangkap bola raga yang mereka sedang bermain dan menunjukkan arah bunyi yang didengarnya. Mereka berempat pun segera bergerak ketempat datangnya suara seperti orang berkelahi itu.

“Kamu betul Bakhtiar, ada lima pendekar yang sedang berkelahi, tapi mengapa pula ada seorang perempuan di sana?” Buyong memberitahu apa yang dilihatnya.

“Mungkin pendekar yang lima itu berebut perempuan yang satu itu agaknya,” Lati pula memberikan pendapatnya.

“Boleh jadi begitu Lati, tapi perkelahian para pendekar tua ini bukan perkelahian sembarangan. Jurus-jurus mereka ternyata mereka adalah para pendekar yang berilmu tinggi. Biar kita lihat mereka itu berkelahi dari sini saja..,” kata Jaja sambil mencari tempat duduk yang selesa.

“Mereka inilah susuk-susuk badan yang telah mengintip aku dan kawanku,” kata Jaja perlahan dengan sedikit senyum.

“Sohih. Merekalah tukang intip..!” Bisik Jaja pasti.

Beberapa detik kemudian kehadiran Jaja dan rakannya  telah dihidu oleh para pendekar itu. Setelah mengetahui yang perkelahian mereka sedang diperhati, mereka memberhentikan perkelahian..

“Yang melihat perkelahian kami ini, tentunya yang berani. Yang takut pasti lari terkentut-kentut. Siapa kamu  wahai anak anak muda?” bertanya pendekar yang memakai pakaian serba jingga gelap.

“Kami sedang menuju ke Melaka, bertujuan mencari hidup di sana. Kami terserempak dengan para bapa yang sedang berkelahi. Jadi kami pun berhenti seketika mungkin kami boleh dapat satu  dua pelajaran dari perkelahian bapa-bapa ini.” Jaja menjawab.

“Murah harga diri kamu. Memperoleh tanpa usaha. Kamu mahu percuma..,” balas kata pendekar tua itu.

“Saya tidak mencari percuma itu. Kami lalu dan terserempak para bapa di sini,” Jaja menjawab.

“Kamu punya keberanian melihat kami berkelahi. Kelahi kami boleh saja berjangkit kepada orang lain. Aku mahu mengajak kamu turut campur bersama kami. Kalau  kamu punya berani..

“Tapi kalau kamu bukan anak jantan, baik kamu pergi. Kerana yang bukan jantan jalannya terkepi-kepit…, yang terkepit-kepit itu membuka langkah pun tidak berdaya,” pendekar berbaju jingga berkata lagi sambil ketawa.

“Bapa pendekar ini punya hati yang baik. Tapi kata-kata bapa disampaikan dengan kata-kata yang menyakitkan. Ilmu pendekar bapa telah menguasai diri bapa luar dan dalam. Sebab itu bapa nampaknya sukar memilih kata-kata baik dalam berbicara,” Jaja menjawab.

“Ha ha ha…berani kamu mencaci aku seperti itu. Aku bukan bapamu. Aku mengajak bermain dengan kami kalau kamu bukan anak betina,” pendekar itu terus mengajak Jaja berkelahi sama.

“Saya tidak mahu campur urusan orang tanpa saya punya alasan yang kuat,” Jaja menjawab pantas.

“Kamu sengaja mencari sebab atau kamu mahu melihat sebab? Maka baru kamu mahu bermain dengan kami,” pantas saja pendekar tua itu menjawab.

“Saya akan tinggalkan tempat ini, jika saya melihat sebab perkelahian yang tidak kuat. Beritahu saya kenapa bapa-bapa berkelahi,” Jaja membalas.

“Kalau begitu kamu ada keinginan untuk bermain dengan kami. Kami sedang berebut sebuah kitab milik perempuan ini yang diwarisi dari orang tuanya. Kitab itu ialah Kitab Kehidupan yang mengandungi ilmu agama, ilmu perubatan dan ilmu perang. Itulah yang kami sedang berebut, siapa yang menang dari sayembara ini akan memiliki kitab itu,” pendekar tua menjelaskan.

“Begitu rupanya sebab yang membawa perkelahian. Saya tidak mahu campur. Selamat tinggal,” Jaja membuat keputusan dan melangkah untuk pergi. Rakan-rakan Jaja mengikutnya.

Semasa membelakangkan pendekar yang berkelahi itu, tiba-tiba sahaja pendekar berpakaian jingga gelap melompat dan mendarat disamping Lati. Secepat kilat pendekar itu mendakap Lati dan bersama Lati dia melompat kembali ketempat  rakannya berada.

“Abang Jaja! Tolong Lati, Lati diculik..,” Lati berteriak.

Jaja terkejut. Dia tidak menyangka yang pendekar tua itu sanggup berbuat demikian. Tahulah Jaja yang para pendekar itu mahu bermain-main dengannya. Kalau tidak masakan mereka mahu menawan Lati.

“Dalam dunia yang bersejarah ni, lelaki selalunya sengsara kerana perempuan. Sejarah itu juga telah menjerat diri kamu anak muda,” kata pendekar itu kepada Jaja dengan ketawanya sambil kedua tangannya menggoyangkan bahu Lati.

Jaja meletakkan bunjut barangnya, dia memerhati keadaan sekitar. Jaja mara ketengah bersama dengan tongkat rotannya dan bersedia untuk bermain.

“Bagus kamu wahai anak muda. Pilihan kamu nampaknya ada sebab kuat. Sayembara kami tidak sampai membunuh lawan, sekadar hanya mengaku kalah. Itu syarat sayembara kami berlima..,” kata pendekar berpakaian jingga itu memasang kuda kudanya untuk memulakan perkelahian dengan Jaja.

Leave a Reply

Top