You are here
Home > Sastera > XPDC Lebir – 6 – Petanda Awal Khazanah Bangsa

XPDC Lebir – 6 – Petanda Awal Khazanah Bangsa

Di dalam perancangan awal kami, kami akan kehulu Lebir secara berjalan kaki dan bermalam beberapa hari di situ. Selepas itu secara berjalan kaki juga kami akan menyusuri Sungai Lebir sehingga Manek Urai. Di kawasan Lembah Sungai Lebir inilah kami akan berekspedisi dengan satu tujuan iaitu mencari tinggalan khazanah bangsa yang mungkin masih ada. Namun rancangan itu telah diganti dengan satu rancang yang baru, kerana hal jarak yang jauh itu.

Setelah penat dilambung kenderaan pacuan empat roda selama lebih tiga jam merentasi ladang kelapa sawit, akhirnya kami sampai ketempat yang dituju iaitu Sungai Sad, ulu bagi Sungai Lebir. Kami turun dari kenderaan dan membuat sedikit senaman menggerakkan sebahagian anggota tubuh yang tidak banyak bergerak selama  perjalanan. Nik meminta Soo dan Eda mengetuai senaman kami. Maka Soo dan Eda lah yang menjadi Guru Pendidikan Jasmani kami, kerana kami melakukan senaman secara berkumpulan. Tiba-tiba Mazlah, Norhanida dan Ju melompat kehadapan menyertai Soo dan Eda.

Aku turut sama menjadi murid Soo and the gang, mengelek-gelekkan kepala, lehir, tangan dan seterusnya mengikut sepertimana yang dilakukan oleh Soo. Selepas bersenam kami mengambil masa sedikit untuk melihat-lihat kecantikan alam sekeliling sambil menikmati udara segar di kaki Gunung Tahan itu.

“Cuba lihat peta lama ni, sungai kecil di hadapan kita ini adalah Sungai Sad, anak Sungai Lebir. Sungai yang kita lalui tadi ialah Sungai Aring. Tertulis di sini nama-nama kampung seperti Kampung Che Husain, Kampung Perlis, Kampung Nantian dan beberapa lagi,” kata Nik memberitahu aku dan rakan-rakan yang lain yang berhampiran dengannya, dan kemudian menyambung lagi…

“Di dalam peta yang baru ni pula, cuba kawan-kawan lihat kampung-kampung itu telah tidak dicatitkan lagi,” Nik membandingkan perbezaan antara kedua peta yang dibawanya.

“Kalau gitu Nik, kita boleh mencari di sini ni apa-apa tinggalan yang ada sebagai bukti adanya penempatan di sini, yang jauh dari laut dan pantai,” Cikgu Saaid mencadangkan.

“Saya faham maksud itu Cikgu, terima kasih …,” sahut Nik dan kemudian memanggil semua rakan-rakan yang lain untuk satu taklimat pendek.

“Kawan-kawan semua, inilah tempat atau kawasan yang kita cari selama ini. Saya harap kita dapat meneroka dan mencari apa-apa bukti dan artifek yang mungkin masih ada sebagai bahan bukti bahawa terdapat penempatan lama di sini,” Nik memberi taklimat.

“Contohnya Nik?” Wan Zuhanis bertanya.

“Seperti kita pernah bincang dulu, seperti batu-batu yang disusun manusia, tiang-tiang rumah atau surau atau bahan-bahan seperti pekakas rumah atau alatan masak. Carilah apa-apa pun yang difikirkan sebagai bahan sejarah,” jawab Nik.

Selepas taklimat pendek, para peserta pun bertebaran bersama dengan alatan ekspidisi kami beserta dengan kamera masing-masing, meneroka mencari bahan sejarah. Sementara aku bersama Nik, Cikgu Saaid, Cikgu Md. Zain, Cikgu Nayan dan Norhanida Merican menyusuri Sungai Sad. Kami susuri perlahan-lahan dengan hasrat mahu melihat keadaan rupa bentuk sungai yang selalu kami sebut-sebut semasa perbincangan di Serdang.

Lama juga kami menyusuri sungai itu. Berkali-kali kami jatuh terduduk tapi tidaklah luka. Cuma Cikgu Nayan saja yang jatuh terduduk di atas najis babi hutan. Apalagi bau najis yang telah dirusakkan oleh punggung Cikgu Nayan itu terus saja menerpa hidung kami. Baunya sangat busuk hinggakan Norhanida termuntah-muntah kerana tidak dapat menahan baunya yang busuk. Akhirnya Cikgu Mat Zain dan Cikgu Saaid yang menjadi tukang sapu buntut Cikgu Nayan.

“Kalau berbatu macam ni, tentu perahu atau sampan tak akan boleh menggunakan sungai ini di sini,” Nik menyebut.

“Betul Nik, tapi kita berada di hulu sungai, dan di tanah tinggi pula sebab tu sungai ni berbatu-batu dan airnya deras dan laju,” jawab Cikgu Mat Zain.

“Jika berbatu begini mana boleh sampan dagang mudik,” bertanya Norhanida.

“Ya, setuju,” sahut Cikgu Nayan.

“Agaknya berapa jauh dari tempat kita tadi sehingga tempat di mana sampan atau tongkang boleh mudik dan berlabuh di Sungai Lebir ini?” tanya Cikgu Saaid.

“Itu yang kita tidak tahu, asalnya rancangan kita ialah untuk menjejeki sungai ini untuk menentukan perkara tersebut, kan!?” aku menjawab.

“Sayangnya kita tidak dapat buat begitu…,” kata Nik sesal sambil membuka peta dan mencari tempat letaknya yang sesuai bagi memudahkan kami menelaah kedudukan pekara yang kami perkatakan sebentar tadi.

“Kita ke batu hampar kat tengah sungai tu Nik. Di situ lebih menarik dan damai rasanya.” Cikgu Mat Zain mengajak Nik.

Jenuh juga kami bersama saorang pemandu KESEDAR mengharungi  sungai yang dipenuhi batu-batu yang licin itu. Namun bila berada di atas batu hampar yang sederhana besar itu, ternyatalah Sungai Lebir mempunyai kecantikan dan keindahan yang tersendiri. Dengan deruan airnya membelai laju batu-batu yang ada didalamnya telah mampu membentuk irama dan dendangan yang  mengasyikkan. Akhirnya batu-batu yang pada asal mulanya dulu tajam-tajam dan bergerutu, akhirnya menjadi licin dan bulat serta cantik dan menarik. Maka betullah kata-kata saorang pujangga besar bangsa Hindi, Rabindranath Tagore mengenai sifat ilmu, pendidikan dan pembelajaran. Katanya…

 

   “Bukan pengetuk yang menjadikan kerikil itu bulat dan licin, dendangan airlah yang menjadikan ia demikian”.

 

“Aduhai Lebir…”. Fikirku. Dalam aku mengelamun menghadham erti pendidikan dan pembelajaran yang demikian sarat dimaknakan oleh pujangga Hindi itu, mata dan rasaku ku halakan kepehon-pehon yang hijau segar.  Betapa terujanya aku melihat dedaun dari pepehon yang berbuai ditiup bayu rimba yang dinginnya sangat halus, berterusan tanpa henti. Dan bersama dengan iringan air sungai yang mengalir menyelinap di antara batu-batunya, terasa padaku bagai satu simponi cinta yang berirama rindu. Semua itu diserikan pula oleh sekawan rama-rama rimba yang berwarna warni dengan menari-nari riang. Satu paduan dari nyanyian alam yang sangat indah!

Aku ingin berkongsi keindahan dan kecantikkan alam ini dengan semua mahasiswa yang ada di kampus universitiku agar peranan alam sekitar menjadi mudah difahami dan dapat pula membawa makna yang sepatutnya.

“Encik, mari tengok peta ini,” Nik mengejutkan aku dari lamunan alam sekitarku sambil dia menunjukkan sesuatu di peta yang berada dihadapannya.

“Tempat yang terdekat bernama Pahi, jarak dari sini lebih kurang tiga puluh kilometer mengikut kiraan di peta ini,” Nik memberitahu.

Aku memerhati dengan teliti tempat yang disebutkan. Aku bertanya pada pemandu yang menemani kami.

“Encik…betul ke ada tempat nama Pahi yang letaknya seperti di dalam peta ini,” kata ku sambil menunjukkan letak Pahi di peta berkenaan.

“Kalau mengikut peta ini, saya tak tahulah. Tapi memang ada tempat nama Pahi di sebelah hilir sungai ni,” jelas pemandu yang bersama kami.

“Kalau begitu Nik, jika ukuran kamu itu boleh dipakai maknanya dari Pahi ke sini hanya dua siang perjalanan cepat secara berjalan kaki,” kataku.

“Jadi para pedagang itu bermalam di Kampong Perlis atau Kampong Che Husein sebelum mereka berjalan kaki lagi merentasi banjaran Gunung Tahan untuk menyeberang ke Pahang,” Chikgu Saaid mencelah.

“Seperti betul hipotesis itu. Pahi mungkin hentian terakhir sampan atau perahu dagang mereka, mari kita kembali.” kata Nik perlahan.

Leave a Reply

Top