You are here
Home > Sastera > Roy.. Kamu bajai sifat yang ditakuti!

Roy.. Kamu bajai sifat yang ditakuti!

Semalam Roy barkenalan dengan seorang siswi asal Sarawak turunan Penan campur benih darah Barat. Namanya Ira Ziya. Ibunya Penan jati, puteri Penan yang tercantik di seantero Borneo. Bapanya American dari turunan Ireland dan Itali Mediterranean bercampur pula Red Indian America, sekarang campur lagi dengan Penan. Ibu bapa Ira Ziya bernikah halal mengikut adat Penan. Aduh! Bayangkan turunan sedemikian yang datang dari campuran darah-darah manusia besar seantero dunia, mengalir ditubuh insan comel lote diberi nama Ira Ziya.

Tak usahlah melorek wajah rupa Ira Ziya. Cukuplah Roy saja yang berkali-kali jatuh terduduk terlanggar tiang café Fakulti Perubatan karana tidak puas-puas memandang wajah si gadis Penan itu. Roy kita tu memang mudah jatuh, selalu jatuh dan tumbang rebah macam tebu terpukul ribut.

Hari tu tu, kerana mahasiswi perubatan Tahun Pertama ini lah; Roy akhirnya menunggang motosikalnya terkangkang kangkang dalam longkang. Alahai Roy, kita nak beri kasihan kita kat dia pun nampak macam tak patut. Tak pa, nanti kita tanya pada Ella, Jeniffer, Cassandra dan Rumba Rani tentang patut tak patut kita nak campak kasihan kita pada Roy, yanga terkangkang-kangkang tu. Jangan risau mereka boleh sangat jadi hakim yang tidak akan makan sebelah.

Hari tu Roy tayang betoi-betoi motorsikal dia kat Ira Ziya. Depan Ira Ziya saja, Roy sengaja pusing minyak cukup-cukup. Brrumm brruum! Satu fakulti dengar bunyi menderum motorsikal Roy hingga Dekan Fakulti Prof. Dr. Mauluk Melayu sampai buka tingkap pejabat dia kerana nak tau bunyi apa yang bising tu. Demikian penagan Roy kerna  Ira Ziya.

Sebermula di suatu ketika Roy mahu saja menghidupkan injin motornya untuk pulang ke kolej selepas kuliah, tiba-tiba dirinya disapa.

“Saudara, bolehkah tumpangkan saya balik ke kolej?” kata pemilik suara itu.

“Tentu saja boleh!” jawab Roy tanpa menoleh melihat punca datang suara.

“Kolej mana ni?” Roy bertanya pendek.

“Kolej Ke Dua!” jawab suara itu.

“Samalah dengan saya. Saya pun Kolej Ke Dua juga,” Roy menjawab. Roy terasa mahu menoleh kerana lunaknya suara siswi yang membonceng di belakangnya tetapi motorsikalnya sudah mula bergerak menyebabkan dia susah untuk menoleh. Sesekali terasa mungkin bukan manusia yang sedang membonceng dengannya. Tapi akal doktornya cepat-cepat menolak..

“Mana bisa pelajar perubatan mempercayai hantu mantu..!” kata Roy pada diri.

“Saya belum makan malam. Boleh saudari temankan saya makan malam di warung sana tu,” Roy mencari helah. Helah jantan bukan helah pelajar perubatan takut hantu! Dalam bab macam ni Roi nombor satu. Anak muda seluruh Perlis takkan boleh lawan dengan Roy. Roy raja pemikat!

“Boleh, saya pun belum bermakan malam lagi. Nanti saya belanja kamu,” balas yang membonceng.

Roy terus saja membelok jalanannya, masuk ke warung tunggal yang beroperasi di malam hari. Ketika menongkat motorsikalnya Roy berpaling kebelakang melihat pemboncengnya.

“Aduhai! Kamu ini manusia atau bidadari?” tanya Roy segera bila saja melihat siswi yang cantik di hadapannya yang sedang di timang kelam-kelam malam.

“Jangan begitu saudara. Saya manusia biasa. Orang Penan pertama menjadi mahasiswa perubatan. Dokonglah saya agar berjaya. Berjaya menjadi doktor perubatan..,” Ira Ziya memberi reaksi pada Roy.

Mendengar kata dokonglah saya, Roy terus mabuk asam jawa, teringat akan faham-faham orang Perlis. Itu namanya loklak. Kemudian setelah memesan makanan masing-masing mereka saling bercerita tentang diri masing-masing.

Sejak malam itu  Roy selalu tersenyum-senyum. Di kolej, di fakulti, ketika menunggang, di mana saja Roy tersenyum. Sehingga mamak jual nasi kandar pun hairan melihat Roy. Bila ditanya Roy, dia hanya menjawab, “Ira Ziya”. Jawapan yang sama juga Roy beri pada orang lain, jika ditanya.

Kekadang ketika menyebut nama gadis Penan tu Roy akan meletakkan lima jari kanannya di sekeliling mulutnya yang di muncungkan lalu dia menyebut perkataan ummpph tanda lazat. Tapi bunyi ummph itu sekarang diganti nama Ira Ziya. Mamak nasi kandar menggeleng-geleng kepala, Mamak mengaku yang dia tidak mengerti orang muda punya bicara!

Roy mendapat kesempatan, Prof. Dr. Mauluk Melayu memberi Roy kuasa untuk menganjurkan kursus suaikenal kepada mahasiswa Perubatan yang baru. Roy pun melaksanakan arahan dengan hasrat tersimpan, tiada siapa pun yang tahu terhadap Ira Ziya.

Roy berurusan dengan Biro Tatanegara, meminjam guna Kem Bina Negara mereka di Ulu Sepri. Roy mendapat kebenaran, kerana Roy telah berkawan baik dengan biro berkenaan begitu lama. Gembira sungguh Roy.

Waktu yang ditunggupun tiba. Dalam ucapan perasmian Dekan fakulti telah memuji-muji Roy yang mampu melaksanakan tugas yang diberi. Roy dipuji sebagai berwibawa, mampu menghimpun semua mahasiwa Tahun Satu dan mampu mengendalikan kursus sebagai Ketua Fasilitator dan juga sebagai fasilitator.

Cuma Roy ni, kekadang seperti ada kurangnya dalam kaedah menyampaikan hasrat fakulti dan hasrat ibu bapa peserta. Roy lebih kepada penggunaan kuasa bagi menundukkan kefahaman dan pembinaan keyakinan peserta. Kaedah ini akhirnya membuatkan Roy dilihat sebagai tukang arah dan tukang perintah dan bermegah pula dengannya kerana dia berada di serambi kuasa Fakulti dan Biro. Akhirnya dia menjiwai kaedah itu lalu tatalakunya terhadap peserta berubah dari namba yang tidak minta dipuji kepada tuan yang meminta dipuji dan ditakuti. Dia akhirnya percaya kepada falsafah bahawa kekuatan sebenar adalah kekuatan yang ditakuti.

Lalu datanglah Ira Ziya berkata. “Roy, kekuatan sebenar adalah kekuatan yang tidak ditakuti.”

Roy termangu, terduduk. Jiwa menara gadingnya pengsan.

Kata bestari:

“Risiko terbesar dalam kehidupan adalah kebergantungan hidup kepada orang lain.” Charles Burke.

“Segalanya boleh dilakukan dengan mengarah tetapi hanya dorongan yang dapat mencapai kejayaan,” Goethe.

“Sirami bunganya bukan rumput liar,” Gisele Richardson.

“Keimanan ialah cahaya yang tanpanya, mata orang buta akan tetap buta,” Sheikh Muhammad Al-Ghazali.

“Bagaimana jalan ke Sentubung, Berjalan kaki tengah halaman; Bagaimana cara menangkap burung, Tabur padi di tapak tangan.” Pantun Melayu.

“Kita memerlukan konsep kepimpinan yang baru untuk permainan yang lebih besar,” Dennis Waitley.-Empire of the mind.

“Kalau hendak menjadi kuat, ketahuilah kelemahan diri,” Peribahasa German.

“Hendaklah bersih dalam pemikiran, kata-kata dan tindakan,” Peribahasa Parsi.

 

 

Leave a Reply

Top