
Malam itu suasana di warung makan di pekan kecil Alor Muar sibuk sedikit dari malam-malam yang lalu. Para tamu berebut-rebut memesan makanan bagi menjamu selera masing-masing. Para pelayan warung juga turut sibuk melayan memenuhi permintaan pelanggan. Pemilik warung pula dengan senyum-senyum dan ramah mulutnya melayan cakap dengan tamu. Sambil bersembang dengan para pelanggan sambil pemilik warung makan mempersilakan masuk bagi para tamu yang baru tiba.
Jaja dan rakannya turut sama menjadi pelanggan di warung makan malam itu. Mereka memesan nasi dan pisang rebus bersama sambal ikan bilis bercampur hirisan buah pauh muda, sementara minumnya pula nira kelapa hijau. Malam nanti mereka akan bermalam di pondok sewaan pemilik warung makan itu yang berada di belakang warung berkenaan.
Keadaan sibuk warung makan tiba-tiba terhenti. Suara garok dan hilai ketawa berdekah-dekah telah memenuhi ruang makan warung itu. Beberapa orang pelanggan bersama cangkir tuak di tangan kelihatan terhoyong hayang mabuk sambil mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan. Mereka terus menguasai warung itu bersama mabuk mereka.
Kelihatan di hujung ruang makan seorang pendekar yang berpakaian serba putih kelihatan tidak begitu senang dengan gaya dan lagak para pemabuk itu. Walau pun pendekar itu dapat menikmati makan malamnya namun ternyata gara-gara pemabuk itu telah sangat merencatkan selera makannya. Sesekali giginya diketipkan tanda amarah yang cuba ditahannya. Sementara matanya memandang tajam kearah pemabuk itu.
Di suatu sudut lain pula kelihatan sekumpulan lelaki yang berpakaian biasa yang juga sedang menjamu selera. Kumpulan ini tidak sangat berbual di antara mereka, mereka menumpukan kepada makanan masing-masing. Kalau pun mereka bercakap sesama mereka, cakap dan bual mereka sangatlah perlahan.
“Abang Jaja, kumpulan pelanggan yang di sudut sana tu, adalah kumpulan orang Jawa yang singgah di warung makan bapa pada hari itu,” Buyong memberitahu Jaja bahawa kumpulan itu adalah kumpulan orang-orang dari Tanah Jawa.
“Aku merasa hairan kenapa di kawasan seperti ni ada orang-orang dari Tanah Jawa. Kita jangan pedulikan mereka langsung supaya mereka merasa tidak dicurigai. Hati kecil aku berkata yang mereka itu mempunyai urusan penting di sini,” Jaja memberikan pandangannya.
“Cuba abang lihat pula pendekar yang berbaju putih itu, gayanya aneh sedikit,” Buyong memberitahu Jaja pula.
“Pendekar itu seorang perempuan, bukannya lelaki. Dia menyamar. Tentu ada sesuatu yang dicarinya,” Jaja menjawab.
“Ada beberapa hal yang aneh-aneh di sini dan seperti akan ada pergaduhan nanti antara pendekar yang menyamar dengan beberapa pemabuk yang sedang lupa diri itu,” Jaja menyambung katanya.
“Dewasa ini ramai pendekar perempuan memasuki gelanggang persilatan, abang Jaja. Nampaknya mereka telah mula keluar dari tempat perguruan yang mereka belajar. Di warung bapa beberapa purnama yang lalu beberapa pendekar perempuan silih berganti mengunjungi warung makan bapa,” Buyong memberitahu lagi.
Tiba-tiba terdengar suara garuk yang kuat mencabar seseorang untuk berkelahi di luar warung makan.. Rupanya pemabuk-pemabuk itu telah mengelilingi pendekar berbaju putih itu dan mencabarnya untuk bertarung..
“Kamu pendekar lembut, tadi lagi aku nampak kamu melihat kami dengan pandangan jijik. Kamu sepatutnya hanya dengan hal kamu saja. Jangan libatkan hal orang lain yang tiada kaitan dengan diri kamu,” kata seorang dari tiga pemabuk itu.
Pendekar berpakaian serba putih itu masih diam dan meneruskan makannya.
“Kamu bukan saja pendekar lembut, tapi pendekar tuli juga! Jika kamu benar-benar tidak senang dengan kami, aku menunggu di luar atau aku menunggu kamu di ranjang saja. Itu akan lebih syahdunya,” kata pemabuk itu lagi sambil turun dan keluar ke halaman warung menanti pendekar berpakaian putih itu.
Untuk kesekian kali pendekar yang berpakaian serba putih itu diam saja. Dia terus menikmati makanannya namun penglihatannya kelihatan dilebarkan dan dia mengubah letak kakinya di tempat yang lebih bersedia.
“Pendekar pengecut! Berani kamu hanya dari jauh. Mari ke halaman ini kalau kamu tidak suka di kamarku. Di halaman ini pun juga aku boleh melayan kamu..,” kata pemabuk itu lagi sambil diiringi dengan ketawanya yang berdekah dekah. Ketawanya disambut pula oleh dua orang rakannya yang telah turut sama berada di halaman.
Pendekar yang dikatakan pendekar lembut oleh pemabuk itu telah hilang sabarnya. Dia menggunakan ilmu meringankan tubuhnya untuk segera sampai di halaman. Ketiga tiga pendekar mabuk itu terus saja mengelilinginya dan bersedia dengan pedang masing-masing.
“Akhirnya turun juga kamu wahai pendekar yang berwatak lembut. Kami ini pemabuk-pemabuk yang sangat terhormat di jagat raya ini. Kerana ketika kami mabuk kami boleh berkelahi dengan lebih baik dan kelahi kami boleh saja sampai seratus jurus. Itu yang menyebabkan kami ini dihormati dan ditakuti,” kata pemabuk itu dengan ketawa.
“Hah…lalat busuk. Mulut busuk kamu memang besar busuknya. Seenaknya bicara seperti tiada apa yang kamu hiraukan dalam alam ini. Aku akan mengajar kamu bagaimana harus punya sedikit rasa hormat pada orang lain apa lagi di hadapan ramai di warung makan seperti ini,” kata pendekar yang berpakaian putih dengan terus menyerang si pemabuk itu dengan menggunakan pedang yang masih kejap di dalam sarungnya.
Terdengar bunyi hasil dari berantakan antara sarung pedang dengan muka si pemabuk itu. Si pemabuk itu melolong kuat kerana pukulan pendekar itu sehingga dia rebah menyembah bumi. Melihat rakan mereka yang sudah tertiarap di bumi, kedua perompak lagi itu menjadi berang bagai gajah yang sedang naik minyak.
Jaja hanya melihat dengan ekor matanya saja, dia tidak menujukkan tanda-tanda apa pun..
“Abang Jaja tidak mahu turut campur berkelahi kerana pendekar itu dikeronyok oleh tiga pendekar lain,” kata Lati pada Jaja.
Jaja tidak mahu menjawab Lati. Dia sedang memerhati langkah-langkah dan pukulan pendekar berpakaian serba putih itu.
Terdengar pula raungan yang kuat dan ngeri dari pendekar pemabuk kedua kerana tendangan pendekar berpakaian serba putih itu telah singgah dengan tepat di dadanya. Darah dalam bersembur keluar dari mulut pendekar mabuk itu. Hanya tinggal seorang saja lagi pendekar mabuk yang sedang berhadapan dengan pendekar yang berpakaian serba putih itu. Pendekar mabuk yang tinggal seorang itu telah kelihatan cemas..